Saturday, April 6, 2024

'PN jangan ambil kesempatan tunggang isu stoking'

malaysiakini.com
Diterbitkan: Apr 6, 2024
Perikatan Nasional (PN) khususnya PAS diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan dengan menjadikan isu stoking tertera kalimah Allah sebagai modal politik.

Peringatan itu diberikan oleh pemimpin Umno Kedah susulan kenyataan Pemuda PAS yang dikatakan bersolidariti bersama Ketua Pemuda Umno Dr Muhammad Akmal Saleh yang ditahan sebaik saja dia tiba di Kota Kinabalu, Sabah pagi semalam.

Timbalan Ketua Penerangan Umno Negeri Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata kenyataan Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden itu dilihat bercanggah dengan pendirian mereka sebelum ini.

"Dahulu, mereka berpendirian untuk tidak ikut campur dalam hal ini. Tetapi apabila Akmal ditahan untuk memberikan keterangan di Sabah semalam, mereka dilihat seolah-olah mahu bersolidariti dengan beliau. Perkara ini menampakkan seperti mereka mahu 'menunggang' isu ini," katanya dipetik Umno Online.

Afnan semalam dilaporkan berkata dia kesal dengan penahanan Akmal, yang merupakan antara pemimpin politik lantang menggesa kempen boikot terhadap KK Mart susulan penjualan stoking kontroversi berkenaan.

Mengulas lanjut, Syed Mohd Johan berkata konsep Islam yang dibawa oleh PN samar-samar apabila Umno yang paling terkehadapan dalam isu tersebut.

"Ketika isu ini hangat diperkatakan, saya lihat hanya Umno sahaja yang lantang ke depan untuk mempertahankannya. Sedangkan PAS dan PN yang kononnya mempertahankan Islam hanya diam... sembunyikan diri.
Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden
"Afnan Hamimi juga bertanya ke mana Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pergi apabila Akmal ditahan. Jawapan saya mudah, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) baru-baru ini telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka menyokong usaha beliau untuk menegakkan kalimah suci Allah tersebut.

"Adakah mereka tidak ikut cakna dengan perkembangan semasa ataupun mereka sengaja menimbulkan polemik bagi mencetuskan kemarahan rakyat?" soalnya.

Justeru Syed Mohd Johan yang juga Naib Ketua Umno Bahagian Alor Setar mengingatkan kepimpinan PAS dan PN untuk berhenti menunggang isu stoking kalimah Allah ini.

Dia mendakwa Akmal ditahan untuk siasatan kerana kesilapan PAS dan PN.

“Inilah yang terjadi apabila agama dihina dan umat berpecah belah kerana kepentingan politik sendiri.

"Sudah-sudahlah menunggang isu yang kamu semua sebenarnya langsung tidak kisahkan. Jangan menangguk di air yang keruh. Biar Umno teruskan perjuangan kami untuk membela agama Islam, bangsa dan raja-raja Melayu," katanya.

Gesa boikot bukan jenayah

Seorang lagi pemimpin PN yang menyokong Akmal sebelum ini ialah Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang menyifatkan penahanan ketua Pemuda Umno itu sebagai keterlaluan.

Menurut ahli Parlimen Machang itu, tindakan tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana Akmal telah dijadualkan memberi keterangan di Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi hari ini.

“Apakah keperluan membuat tangkapan terhadap Akmal di Sabah sedangkan beliau sudah pun dijadualkan untuk memberi keterangan di IPD Dang Wangi, hari ini?

“Mana mungkin panggilan untuk memboikot boleh dianggap telah melakukan suatu jenayah?” katanya.
Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
Wan Ahmad Fayhsal turut mempersoalkan tindakan polis yang melakukan siasatan ke atas Akmal di bawah Akta Hasutan seperti diumumkan oleh Ketua Polis Negara Razarudin Husain.

Sehubungan itu Wan Fayhsal menggesa semua ahli dalam sayap parti itu mempertimbangkan kedudukan mereka di dalam kerajaan perpaduan yang menurutnya tidak lagi mengamalkan kebebasan dalam menyuarakan hak dan kepentingan agama, bangsa dan tanah air.

“Apakah pendirian penentang Akta Hasutan khususnya parti DAP dalam isu ini yang mana Akmal kini telah disiasat di bawah Akta tersebut?” soalnya.

Terdahulu media melaporkan bahawa polis telah menahan Akmal sebaik saja dia tiba di Kota Kinabalu, Sabah pagi semalam.

Akmal berkata dia ditahan walaupun dijadualkan memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur hari ini.

Dia kemudian menghabiskan masa selama lebih dua jam memberikan keterangan kepada pihak berkuasa terbabit sebelum dibebaskan kemudian.

Bernama melaporkan Akmal sebagai berkata kenyataan yang diberikan itu termasuk melibatkan laporan polis berhubung ceramahnya di Kelantan baru-baru ini dan tidak berkaitan dengan sebarang aktiviti atau isu di Sabah.

Bagaimanapun, Sinar Harian kemudian melaporkan Akmal dipanggil semula ke ibu pejabat polis Kota Kinabalu pada sebelah petang, untuk menjawab beberapa soalan tambahan daripada polis.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-