Thursday, April 18, 2024

Tarif air Perak 75 sen semeter padu mulai 1 Mei

bharian.com.my
Oleh Muhammd Zulsyamini Sufian Suri
bhnews@bh.com.my
 - April 18, 2024 @ 10:42am
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad. - Foto NSTP/L Manimaran

IPOH: Tarif baharu air bagi kategori domestik di negeri ini akan dinaikkan pada kadar 5 sen bagi setiap meter padu bermula 1 Mei ini.

Penetapan itu yang pertama selepas 18 tahun, jauh lebih rendah berbanding kadar purata 22 sen yang ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sebelum ini.

Pejabat Menteri Besar Perak dalam satu kenyataan berkata menerusi kenaikan itu, tarif baharu air kini 75 sen per meter padu bagi penggunaan sehingga 20 meter padu sebulan.

Katanya, bagi penggunaan 21 hingga 35 meter padu sebulan, ia ditetapkan pada kadar RM1.08 berbanding RM1.03 sebelumnya.

"Bagi mengurangkan kesan perubahan tarif kepada pengguna domestik, Lembaga Air Perak (LAP) turut memberikan rebat pada kadar 40 sen setiap meter padu bagi penggunaan sehingga 10 meter padu pertama sebulan iaitu bersamaan RM4.00 sebulan.

"Dengan rebat berkenaan, kadar purata tarif bagi penggunaan sehingga 20 meter padu dapat dikurangkan kepada hanya 55 sen bagi setiap meter padu berbanding 75 sen sekiranya tanpa rebat.

"Caj minimum bagi penggunaan domestik pula adalah RM7.50 sebelum mengambil kira pemberian rebat. Selepas rebat, caj minimum adalah RM3.50 berbanding sekarang iaitu RM3," kata kenyataan berkenaan hari ini.

Pejabat Menteri Besar Perak berkata penetapan tarif baharu berkenaan tidak menjejaskan program air percuma 25 meter padu sebulan untuk golongan sasar dan program air percuma 20 meter padu kepada rumah ibadat.

Katanya, bagi pengguna bukan domestik pula, kenaikan juga adalah sebanyak 5 sen bagi setiap meter padu penggunaan.

"Pun begitu, kerajaan negeri sudah memutuskan supaya LAP memanfaatkan sebaiknya penetapan tarif baharu itu untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan termasuk menggantikan paip-paip lama dan menambah baik aspek penyelenggaraan.

"Dalam hubungan itu, LAP memerlukan dana mencukupi bagi membiayai program-program penambahbaikan termasuk membina loji-loji rawatan air khususnya di kawasan-kawasan pembangunan baharu," katanya.

Semalam, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang juga Pengerusi LAP dalam satu majlis di pejabatnya, di sini melahirkan keyakinan kadar tarif baharu itu masih boleh diterima oleh rakyat.

"Saya yakin ia (kenaikan) boleh diterima rakyat. Pertama, sebab ia sudah melepasi puluhan tahun kita tak pernah menaikkan tarif itu.

"Keduanya, ada keperluan khusus bagi LAP mempunyai wang mencukupi untuk memperbaiki perkidmatannya.

"Jadi kita perlukan sedikit tambahan wang dan kos untuk membolehkan LAP seperti untuk nak ganti paip baharu, nak perbaiki mana-mana paip lama serta pelbagai sistem-sistem baharu termasuk meter dan sebagainya.

"Kenaikan itu bukan untuk keuntungan LAP tetapi akan dipulangkan semula dalam bentuk perkhidmatan kepada pengguna.

"Saya harap pengguna tak akan terlampau melenting disebabkan kenaikan ini yang tidak pun terlampau besar hingga menyusahkan pengguna. Kenaikannya masih munasabah," katanya.

Saarani turut mengumumkan pelantikan Lokman Abd Rahim sebagai Pengurus Besar LAP baharu berkuatkuasa hari ini, menggantikan Datuk Ishak Abd Rahman yang bersara wajib pada 10 April lalu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-