Sunday, April 7, 2024

Vern's jelaskan logo pada tapak kasut disalah tafsir

malaysiakini.com
Diterbitkan: Apr 7, 2024 7:18 PM
Pengeluar kasut Vern’s Holdings Sdn Bhd menjelaskan rekaan logo pada tapak kasut syarikat itu telah disalah tafsir sehingga mencetuskan kontroversi.

Ini selepas logo pada tapak kasut tumit tinggi salah satu produk keluaran syarikat itu didakwa menyerupai kalimah Allah.

Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata logo tersebut tidak bertujuan menghina mana-mana agama atau kepercayaan, sebaliknya hanya rekaan grafik garisan tali yang bersambung dengan tapak kasut tumit tinggi.

"Untuk pengetahuan semua, logo ini 100 peratus diilhamkan berdasarkan bayangan garisan tali yang bersambung dengan sebuah kasut tumit tinggi, seperti yang tertera di gambar yang dilampirkan.

"Bagaimanapun, kami akui terdapat kekurangan pada rekaan logo tersebut yang boleh mengakibatkan ia disalah tafsir, seterusnya menyinggung perasaan ramai pihak,” kata Vern dalam satu kenyataan.
Vern’s berkata pihaknya telah mengambil langkah segera menghentikan penjualan kasut dan logo berkenaan serta bersedia untuk memulangkan kembali wang kepada pelanggan yang telah membeli barangan tersebut.

"Dengan rasa rendah diri, kami pihak pengurusan ingin memohon kemaafan semua dan mengharapkan belas ihsan untuk diberikan ruang memperbaiki kesilapan yang telah berlaku,” kata Vern’s.

"Ini adalah pengajaran yang sangat bernilai untuk kami memperhalusi dan lebih teliti dalam setiap keputusan yang diambil bagi memastikan perkara seperti ini tidak berulang lagi di masa hadapan,” tambahnya.

Dakwaan bahawa logo pada tapak kasut tumit tinggi keluaran syarikat itu menyerupai kalimah Allah mula dibangkitkan di media sosial pada 23 Mac lalu.

Namun ia menjadi tular selepas satu lagi video membuat dakwaan serupa hari ini.

Polis buka kertas siasatan

Terdahulu, polis Pulau Pinang mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa mereka telah menerima laporan mengenai perkara tersebut.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Usuf Jan Mohamed berkata laporan itu dibuat seorang guru selepas melihat satu hantaran mengenai perkara itu di media sosial.

Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menghina agama dan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) Mohd Na’im Mokhtar juga telah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menghubungi syarikat kasut tersebut esok.

Kontroversi ini timbul ketika kemarahan sebahagian umat Islam terhadap kedai serbaneka KK Mart masih belum reda, berikutan isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah baru-baru ini.

Insiden itu menyebabkan tiga percubaan membakar kedai KK Mart berlaku di Perak, Pahang dan Sarawak.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-