Saturday, September 21, 2024

Anwar cabar pembangkang bawa usul undi tak percaya

malaysiakini.com
N Faizal Ghazali
Diterbitkan: Sep 21, 2024 

Anwar Ibrahim mencabar pembangkang membawa usul undi tidak percaya kepadanya sebagai perdana menteri pada sidang Dewan Rakyat akan datang.

Perkara itu dipercayai diungkapnya sebagai respons selepas Pemuda PAS membuat usul dalam muktamar parti pada minggu lalu supaya Anwar meletakkan jawatan.

Presiden PKR itu turut menempelak gesaan itu sebagai tidak tahu hukum dan peraturan.

“Mahu main-main dengan kita, ada 30 orang (suruh) Anwar turun, negara apa? Sistem apa? Datang ke sini bagitahu suruh Anwar turun.

“Ingat negara dia? Tak ada ikut peraturan tak ada ikut hukum. Nak turunkan sila, saya bagi jaminan. Ada sidang parlimen pertengahan Oktober, bawa usul cepat, kalau lambat pun saya luluskan.

“Bawa usul undi tidak percaya kepada Anwar sebagai perdana menteri, tak payah jerit. Kamu itu turun dulu, banjir pun tak terurus, muka ini juga nak pergi tolong,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap di Himpunan Keadilan ‘Suara Rakyat Suara Keramat: Dari Reformasi ke Malaysia Madani’ di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selangor, malam tadi.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan Pemuda PAS dalam muktamar yang diadakan di Temerloh, minggu lalu mendesak Anwar meletakkan jawatannya atau diturunkan dengan kadar segera.

Usul tersebut dibawa dan dibentangkan perwakilan Pemuda PAS Kawasan Tambun, Abdul Abidi Mohd Maznan yang kemudiannya dibahas dan diluluskan dengan sebulat suara.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun menyifatkan pihak pembangkang ketandusan modal untuk menghentamnya.

Malah katanya pembangkang hanya menggunakan hal-hal lampau dan isu dirinya sebagai bekas banduan.

“Hari ini mereka boleh bercerita hal-hal lampau, pembangkang tidak ada modal paling tidak apa mereka kata? Ya bekas banduan jadi perdana menteri.

“Ya saya memang bekas banduan, tetapi banduan terhormat dengan tuduhan zalim dan keji dan dulu bapa-bapa kamu, pemimpin-pemimpin PAS antara yang pertama benteng pertahankan kami dan menolak fitnah itu.

“Sekarang anak-anak mereka yang jahil tentang sejarah yang menjadi perkakas kepada perasuah, yang menjadi alat kepada orang-orang yang mencuri harta sekarang mahu jadi jaguh?” ujarnya.

Acara himpunan itu diadakan sebagai memperingati tarikh 20 September iaitu hari Anwar ditangkap selepas dipecat daripada jawatan timbalan menteri pada 26 tahun lalu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-