Friday, September 6, 2024

Gobind: DAP kekal bantah Akta Hasutan

malaysiakini.com
Alyaa Alhadjri & Wong Kang Jia
Diterbitkan: Sep 6, 2024 5:45 PM
Dua pemimpin DAP hari ini mengesahkan pendirian parti itu menentang Akta Hasutan.

Bagaimanapun mereka menyorot bahawa kabinet sedang menyemak akta itu dan menurut mereka akta itu ketika ini terhad kepada kes yang dikaitkan dengan dakwaan terhadap raja.

Ditanya sama ada DAP telah menukar pendiriannya sejak mempertahankan mendiang Karpal Singh daripada tuduhan hasutan, Timbalan Pengerusi DAP Gobind Singh Deo menegaskan sebaliknya.

“Pendirian kami mengenai Akta Hasutan adalah sangat jelas.

“Apabila Karpal Singh didakwa, kami mempertahankannya. Tetapi seperti yang dikatakan oleh Anthony Loke, pada masa ini terdapat semakan semula Akta Hasutan,” kata Gobind, yang juga anak Karpal.

“Ketika ini, pemakaian Akta Hasutan adalah terhad kepada kes-kes tertentu seperti yang dikatakan oleh Loke.

“Melangkah ke hadapan, pendirian kami (DAP) mengenai Akta Hasutan kekal, tetapi seperti yang telah kami katakan berkali-kali, ini (semakan) masih dalam perbincangan,” katanya pada sidang media di Petaling Jaya.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata kajian semula yang dimulakan tahun lepas sedang berjalan, dan sebarang keputusan yang dibuat mengenai pindaan yang diperlukan akan memastikan undang-undang era British itu "lebih terpakai" kepada konteks semasa.

“Mengenai Akta Hasutan semasa, saya rasa perdana menteri telah menjelaskan dengan jelas bahawa ia hanya terpakai buat masa ini untuk isu berkaitan raja.

“Jadi sesiapa yang menyentuh isu raja, sudah tentu akta semasa terpakai kepada mereka,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menolak tuduhan mengatakan kerajaannya hipokrit kerana mempertahankan penggunaan Akta Hasutan terhadap Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Menjawab tuduhan Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin, Anwar berkata pengerusi Perikatan Nasional itu mesti menghadapi akibat daripada kenyataannya yang didakwa berbaur hasutan terhadap raja.

Selain Muhyiddin, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor, yang juga dari PN, dikenakan dua pertuduhan di bawah Akta Hasutan berhubung kenyataan yang menyentuh Sultan Selangor.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-