Friday, September 6, 2024

Kaum lain patut kenang budi bangsa Melayu, kata Hadi

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 6, 2024 12:50 PM
Abdul Hadi Awang berkata, bangsa bukan Melayu sepatutnya mengenang budi kepada orang Melayu negara ini di sebalik sejarah panjang yang dikaitkannya dengan zaman Rasulullah SAW.

Kata Presiden PAS itu juga di Malaysia ini ada hubungan yang erat di antara Melayu dan Islam dan ia "tidak boleh dipisahkan" dan wajar dihargai oleh bangsa lain "yang dibawa masuk oleh penjajah".

Dakwa Abdul Hadi, di negara ini sesiapa saja yang menganut Islam akan dinamakan Melayu tanpa mengambil kira suku kaumnya, termasuk jika individu terbabit berasal dari Arab, India, Cina dan sebagainya.

"Apabila seseorang Melayu keluar dari Islam, maka dia dikira bukan Melayu lagi," katanya dalam catatan di media sosial.

Tambah Abdul Hadi lagi Perlembagaan Persekutuan pula menetapkan Islam ialah agama bagi persekutuan, hak istimewa Melayu dan bumiputera (dijamin), serta bahasa kebangsaannya ialah bahasa Melayu.

Selain itu Ahli Parlimen Marang berkenaan mendakwa bahasa Melayu dan tulisannya yang berhuruf Arab dan Parsi menjadi bahasa kebangsaan, serta menjadi perantaraan masyarakat majmuk.

Seterusnya, kata Abdul Hadi, bahasa Melayu menjadi bahasa agama di samping bahasa Arab sehingga dijadikan bahasa ilmu di Nusantara.

"Maka Melayu Islam boleh dijadikan syarat kepimpinan kerajaan di rantau ini seperti kedudukan raja-raja Melayu yang dikekalkan," katanya lagi.

Dianggap lemah dan hina

Dalam konteks itu Abdul Hadi menegaskan amalan tersebut dibuat sebagai mencontohi langkah Rasulullah SAW serta kerajaan Islam selepas baginda.

"Penerimaan bangsa Melayu Islam terhadap masyarakat majmuk ialah pengaruh ajaran Islam yang pernah berdaulat, dan ia sepatutnya dihargai dan dikenang budinya oleh kaum dan bangsa lain yang dibawa masuk oleh penjajah selepas mereka merampas kuasa Islam di rantau ini," katanya lagi.

Penegasan berasaskan kaum itu bukanlah yang pertama dibuat Abdul Hadi.

Sebelum ini dia yang pernah dilantik sebagai duta khas bertaraf menteri mendakwa amalan rasuah di negara ini banyak melibatkan orang bukan Islam atau bukan bumiputera.

Menurut Abdul Hadi lagi pemikiran orang ramai khususnya Melayu dirosakkan oleh penjajah walaupun bangsa itu telah "dimuliakan oleh Islam" sehingga menjadi kaum yang memimpin sejak Islam tiba.

Kini dakwa ahli politik berusia 76 tahun itu orang Melayu menjadi bangsa yang lemah di tanah air sendiri.

Keadaan bangsa yang lemah dan hina, menurut pandangan Abdul Hadi, ada diperingatkan oleh Allah dalam al-Quran.

Memetik ayat ke-38 dan ke-39 surah at-Taubah, Abdul Hadi mendakwa kelemahan tersebut berlaku apabila ada bangsa yang tidak berjuang mendapatkan kuasa politik Islam.

Bahkan dia turut mengaitkan keadaan itu dengan orang Melayu di Singapura dan mencadangkan agar ia dijadikan pengajaran di Malaysia.

"Hilangnya kuasa politik Arab sehingga kekayaannya tidak berfaedah dan tidak mampu membebaskan Palestin yang dikuasai Zionis yang kecil jumlahnya, malah menjadi hina.

"Begitu juga hilangnya kuasa politik Melayu di Singapura menjadi teladan terdekat, apabila hilangnya kesedaran akan kepentingan peranan politik," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-