Sunday, September 8, 2024

Muhyiddin: Perjuangan Bersatu pertahan hak bumiputera, Islam dilabel 3R

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 8, 2024 8:15 PM
Perjuangan Bersatu untuk mempertahankan hak bumiputera dan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan tanpa mengganggu hak etnik dan agama lain dilabelkan sebagai kesalahan 3R (kaum, agama, dan raja), kata Muhyiddin Yassin.

Presiden Bersatu itu berkata ia berlanjutan sehingga mereka dituduh menghasut dan dibawa ke mahkamah.

“Ironinya, kerajaan ini ketika di zaman pembangkang dahulu kuat memperjuangkan hak dan kebebasan rakyat atas nama reformasi. Hari ini mereka menjadi diktator paling rakus.

"Meraka tanpa segan silu menggunakan instrumen undang-undang dan institusi kerajaan untuk menyekat kebebasan bersuara rakyat, khususnya lawan politik mereka," katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini, sempena ulang tahun ke-8 Bersatu.

Muhyiddin berkata kerajaan berbuat demikian untuk kepentingan politik dan terus kekal berkuasa dengan naratif politik yang menurutnya "tidak mengiktiraf kedudukan bangsa pribumi sebagai bangsa teras di negara ini".

“Kerana itulah mereka begitu rakus menyekat kebebasan kita untuk menyuarakan hak orang Melayu dan bumiputera serta kedudukan Islam sepertimana yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas perjuangan parti kita.

"Mereka melakukan perkara ini dengan cara yang paling kotor, paling tidak demokratik dan paling tidak berperlembagaan. Tindakan mencabul hak kebebasan rakyat ini bakal menjerumuskan Malaysia ke gaung negara diktator.

"Namun mereka tidak peduli kerana kebimbangan mereka hanya satu. Selagi mana kita bersuara, selagi itulah perancangan songsang mereka akan terencat,” katanya lagi.

Pada 27 Ogos, Muhyiddin mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas tuduhan menghasut di Mahkamah Sesyen Gua Musang di Kelantan.

Pertuduhan terhadap presiden Bersatu itu dirangka mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan berhubung ucapannya di Felda Perasu di Kelantan pada 14 Ogos, menjelang PRK Nenggiri.

Pengarah Lawyers for Liberty Zaid Malek menyelar pertuduhan itu, dan mengingatkan bahawa mempersoalkan atau mengkritik pelaksanaan kuasa perlembagaan oleh Yang di-Pertuan Agong bukanlah tindakan menghasut kerana raja bukanlah pemerintah feudal di negara yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan.

Dalam kenyataannya hari ini, Muhyiddin berkata walaupun Bersatu baru berusia lapan tahun, rantai perjuangan parti itu mempunyai sejarah yang panjang dan amat penting kepada kelangsungan bangsa dan tanah air di masa hadapan

"Sebagai sebuah parti nasionalis yang inklusif, Bersatu menjulang dan mempertahankan identiti Malaysia sebagai sebuah negara yang berteraskan masyarakat pribumi dan pada masa yang sama menghormati hak-hak yang sah bagi semua kaum.

"Ini adalah asas perpaduan dan keharmonian Malaysia yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan kontrak sosial yang dicapai sebelum merdeka lagi.

"Di atas asas inilah kita membina sebuah negara yang aman, harmoni dan makmur. Di atas asas ini jugalah kita mengekalkan kestabilan politik dan memacu kemajuan negara yang rakyatnya berbilang kaum dan agama. Sejak berdekad lamanya, inilah model kejayaan Malaysia.

"Namun, asas ini semakin dicabar secara terang dan halus," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-