Thursday, September 12, 2024

Pertembungan Akmal-Kok untungkan Umno, kata penganalisis

malaysiatoday.com
Mohamad Fadli
12 Sep 2024

Penganalisis berkata pertembungan antara ketua Pemuda Umno dan naib pengerusi DAP pamer bahawa Umno sedia berselisih dengan DAP.
Penganalisis percaya perbalahan antara Dr Akmal Saleh dan Teresa Kok tidak akan ganggu hubungan Umno dan DAP dalam kerajaan.

PETALING JAYA: Penganalisis percaya pertembungan antara Dr Akmal Saleh dan Teresa Kok berhubung kenyataan balas berkait isu pensijilan halal akan beri keuntungan politik kepada Umno.

Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, menjelaskan pertembungan antara ketua Pemuda Umno dan naib pengerusi DAP itu mempamerkan kepada orang ramai bahawa Umno sedia berselisih dengan DAP walaupun kedua-duanya parti pemerintah.

Pertembungan ini lebih beri keuntungan kepada Umno kerana dapat mempamerkan pendapat dan pandangan bertentangan dengan DAP walaupun dalam kerajaan yang sama, katanya kepada FMT.

Sebaliknya DAP tidak guna untuk mereka melawan isu dengan Akmal kerana tetap akan memberi persepsi negatif kepada DAP dan Teresa.

Sementara itu, Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah percaya perbalahan antara Akmal dan Kok tidak akan ganggu hubungan kedua-dua parti.

Saya fikir perbuatan mereka adalah bersifat peribadi, iaitu perbezaan pendapat secara umumnya dan tidak mengganggu hubungan Umno dan DAP dalam kerajaan perpaduan, katanya.

Terbaharu, Kok mengancam akan menyaman Akmal yang didakwa memfitnahnya dalam video TikTok, yang menyentuh kenyataannya mengenai cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan tertentu mendapatkan pensijilan halal.

Dalam surat tuntutan dilihat FMT, peguam mewakili Kok berkata anak guamnya menuntut ganti rugi RM25 juta daripada Akmal jika beliau gagal memenuhi tuntutan.

Surat itu menyatakan Akmal sengaja membesar-besarkan dan/atau secara berniat jahat memutar belit kenyataan Kok dengan niat untuk memfitnahnya.

Akmal berkata beliau sedia berdepan Kok di mahkamah.

Sebelum ini, Akmal dilapor berkata tindakan Kok memalukan negara dan lebih elok diam kalau tidak tahu mengenai agama Islam.

Pada Ahad, polis dilapor membuka kertas siasatan mengikut prosedur operasi standard isu kaum, agama, raja (3R) terhadap Kok.

Dalam pada itu, seorang lagi penganalisis, Syed Arabi Idid, berkata Akmal sepatutnya tumpu pada isu ditimbulkan Kok, dan tidak menggunakan gelaran ‘nyonya tua’.

Beliau percaya, jika perkara itu berlarutan ia boleh menjadi isu pada PRK DUN Mahkota kelak.

Jika berlarutan dan tidak dinasihati oleh pihak pemimpin atasan dalam kedua-dua parti itu, mungkin boleh merebak menjadi isu nasional di PRK DUN Mahkota, katanya.

Umno menerusi perhimpunan agung bulan lalu sekali lagi membulat tekad untuk mendapatkan kembali sokongan orang Melayu, menyusuli kemenangan pada PRK Nenggiri, Kelantan.

Parti itu akan perlu sekali lagi membuktikan pengaruhnya pada PRK Mahkota, Johor, akan datang.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-