Tuesday, September 17, 2024

Punca rakyat Malaysia `serbu' selatan Thailand musim cuti

bharian.com.my
Oleh Farah Marshita Abdul Patah 
farahmarshita@bh.com.my
Suasana kesesakan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah semalam yang menyaksikan ribuan pelancong Malaysia memasuki Thailand sejak Khamis sempena cuti sekolah dan Hari Malaysia. - Foto ihsan FB Imigresen ICQS Bukit Kayu Hitam

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu lebih agresif dalam mempromosikan tradisi rakyat berbilang kaum dan tidak terikut budaya moden Barat dalam usaha menarik lebih ramai pelancong ke negara ini.

Pengerusi Konsortium Pakatan Pelancongan Dalam Negeri, Uzaidi Udanis berkata ketika ini terlalu sikit produk kebudayaan Malaysia yang berada di pasaran dan diketengahkan kepada pelancong asing serta tempatan.

Katanya, mengambil contoh Korea Selatan, Jepun dan Bali, pelancong yang melancong ke negara itu sanggup menyewa pakaian tradisi seperti Hanbok dan Kimono, semata-mata untuk merasai pengalaman rakyat tempatan.

"Malaysia terkenal dengan kepelbagain budaya, namun sekarang kita jauh ketinggalan berbanding negara lain di rantau ini. Kita lebih kepada negara Barat yang moden. Pelancong bukan nak datang tengok menara semata-mata, tapi mereka mahukan pengalaman.
Uzaidi Udanis. - Foto Bernama
"Pelancong asing terutamanya sanggup membayar harga yang tinggi untuk belajar membuat kimchi, tarian kecak, merasai pengalaman menaiki unta. dan sebagainya," katanya kepada BH.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemasukan lebih 51,000 pelancongke Thailand bersempena cuti persekolahan dan Hari Malaysia.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Kedah Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata, jumlah berkenaan direkodkan sejak Khamis hingga semalam dan dijangka terus meningkat.

Katanya, jumlah pelancong yang memasuki Thailand melalui ICQS Kota Putra, Kuala Nerang pada Jumaat dan Sabtu lalu adalah sebanyak 6,003.

Mengulas lanjut, Uzaidi berkata, sejak dulu Thailan adadalah destinasi pelancong yang popular untuk rakyat Malaysia kerana kepelbagaian aktiviti, pilihan makanan yang murah dan servis bagus.

Katanya, walaupun harga minyak di Thailand jauh lebih mahal, namun negara itu masih mengeluarkan produk makanan dan barang mentah sendiri.

"Ini menjadikan produk pelancongan mereka lebih murah berbanding Malaysia. Selain itu, pelancongan di selatan Thailand juga sekarang lebih terarah kepada aktiviti berorientasikan kekeluargaan," katanya.

Uzaidi berkata antara aktiviti yang boleh dipertengahkan di negara ini adalah 'walking tour' di kawasan seperti Bukit Nanas, Putrajaya dan kawasan sekitar Masjid Negara.

"Kita perlu ada penceritaan ketika lawatan bagi menerangkan kepada pelancong mengenai sejarah dan juga keunikan yang ada di negara ini.

"Sebagai contoh, baru-baru ini kita adakan lawatan solat jumaat di Masjid Putrajaya, bagi memberi peluang kepada pelancong bukan Islam melihat sendiri pengalaman solat Jumaat.

"Selepas selesai solat Jumaat, kita adakan sesi teh tarik bersama Imam, supaya sekiranya ada persoalan, ia boleh dijelaskan secara langsung," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-