October 29, 2024
Photo used for illustration purposes only.
KUALA LUMPUR: Adakah rakyat bersedia dengan rasionalisasi subsidi RON95 yang akan bermula pada pertengahan tahun hadapan?
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pelaksanaan tersebut akan memberi kesan kepada rantaian ekonomi negara.
“Perkara sebegini sudah dijangka walaupun Perdana Menteri mengatakan 85 peratus rakyat tidak terjejas,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Larut, Perdana Menteri ada menyatakan bahawa hanya 15 peratus sahaja rakyat yang akan terkesan daripada rasionalisasi subsidi RON95 tersebut.
“Walaupun begitu semalam beliau sendiri mengakui bahawa golongan T15 masih belum dimuktamadkan lagi setelah dikritik oleh banyak pihak.
“Hakikatnya ialah rakyat negara ini terutamanya golongan B40 dan M40 masih lagi terkesan teruk daripada keadaan ekonomi pada masa ini.
“Inilah yang berlaku apabila subsidi diesel dirasionalisasikan oleh pihak kerajaan itu sendiri,” ujarnya.
Sehubungan itu, Hamzah menyatakan rakyat tidak pernah lupa akan janji yang diberikan oleh Perdana Menteri sebelum memegang pemerintahan kerajaan pusat.
“Rakyat tidak pernah lupa tetapi juga menanti janji-janji yang diberikan oleh Perdana Menteri berulang-ulang kali,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.