(Oleh Norasikin Samsi)
AMPANG 2 DIS: Penswastaan syarikat Beras Nasional (Bernas) yang menguntungkan hanya seorang individu umpama lintah darat yang menghisap 200,000 pesawah miskin di negara ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, penguasaan Bernas oleh jutawan Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary antara contoh penyelewengan pimpinan Umno.
Menurutnya, Bernas yang diswastakan pada 1995 dan awal ’96 diluluskan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad ketika beliau menjawat Timbalan Perdana Menteri (TPM) dan Menteri Kewangan.
“Bila Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir putus nak swastakan Bernas, dia luluskan dulu kemudian barulah kertas sampai kepada Menteri Kewangan,” dedah Ketua Umum KEADILAN itu.
Anwar berkata, ketika itu beliau memberi jaminan di luar dan di dalam Parlimen jika berlaku penswastaan, kerajaan tidak sesekali meminggirkan kepentingan pesawah padi.
“Saya bagi jaminan walaupun kita swastakan, kerajaan tidak akan bertolak ansur untuk pertahankan kepentingan pesawah padi di negara ini,” katanya lagi pada Ceramah Perdana dan Penerangan GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) di Padang Tasek Tambahan, Ampang malam tadi.
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, kerajaan pada waktu itu menjamin Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) yang juga dianggotai pesawah padi akan diberikan 10 peratus saham.
Begitu juga Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) termasuk nelayan-nelayan kecil memperoleh 10 peratus saham, manakala Pertubuhan Peladang (Mada), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) dan pekerja Bernas masing-masing memperoleh 5 peratus saham meliputi jumlah keseluruhan 45 peratus.
Tauke besar bantah
Menurut Anwar, agihan saham itu yang pada mulanya dibantah kroni Umno berjaya dilaksanakan hanya sehingga beliau dipenjarakan pada 1998.
“Tauke-tauke besar macam Tun Daim (Zainuddin) bantah, dia kata buat apa nak bagi 45 peratus kepada pesawah, peladang sebab mereka tak tahu berniaga.
“Industri beras ini menyentuh kepentingan rakyat miskin. Siapa lagi yang nak pertahankan golongan itu bila beras diswastakan. Alhamdulillah pemberian saham dapat dipertahankan 45 peratus,” katanya.
Sambung Anwar, nasib pesawah tidak lagi terbela apabila pemberian saham tersebut ditarik semasa beliau dipenjarakan dan saham tersebut dianugerah kepada Syed Mokhtar yang mengaut keuntungan berlipat ganda.
“98 saya cuti di ‘istana hinggap’ Sungai Buloh, 45 peratus saham itu dan syarikat Bernas dibeli atau dijual kepada Tan Sri Syed Mokhtar. Syed Mokhtar sekarang mempunyai 84 peratus daripada saham Bernas. Mana dia saham untuk Nafas, Peladang, nelayan, staf Bernas? Semuanya kosong.
“Berapa untung Syed Mokhtar dapat? Import beras setahun satu juta metrik tan. Satu metrik tan dari Vietnam dan negeri-negeri lain untung RM700 setahun dia untung RM700 juta. Apa yang diperoleh pesawah padi…kosong! Syed Mokhtar untung RM1 bilion. Ini yang dikatakan bela nasib Melayu,” bidas Anwar.
Sebab itu katanya beliau membantah keras dan meminta Ahli-Ahli Parlimen Umno menjawab isu ini tetapi mereka menikus malah mencerca beliau di media Umno.
“Saya kata saya bela hak 170,000 pesawah padi miskin dan angka ini menurut Jabatan Pertanian. Dari jumlah itu, 95 peratus adalah Melayu. Selebihnya sedikit kaum Cina di Sekinchan, Bidayuh, Iban dan Kadazan di Sabah dan Sarawak. Tetapi kalau mengikut Lembaga Pertubuhan Peladang, jumlah pesawah dan petani seramai 200,000.
“Dalam Parlimen, saya tanya MP BN mana pembela Melayu? Kamu bela Melayu mana? Saya pula jawab, saya pertahankan hak 200,000 pesawah padi Melayu miskin. Tapi kamu guna kuasa pertahan seorang yang bernama Syed Mokhtar, seorang pun MP BN tak berani bangkit. Dia maki saya dalam TV3 tiap malam tak apa. Bila berdepan tak ada seorang yang berani bangkit kerana ini adalah fakta.
“Bernas ini syarikat kerajaan, pasal apa nak bagi dekat seorang. Dia balas saya balik, dia kata pasal apa Anwar marah sangat Melayu ini (Syed Mokhtar) sebab dia kaya.
“Saya tak peduli. Dia kaya bagus…tapi jangan jadi lintah darat yang hisap darah orang miskin. Sebab itu mereka gunakan media untuk cerca kita. Mereka kata kita ini khianat pada Melayu. Melayu mana? 200,000 pesawah yang miskin, siapa sebenarnya yang khianat,” kata Anwar menegaskan penyelewengan ini mesti dihentikan dan pastikan perubahan akan berlaku.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.