Thursday, August 12, 2021

Jho Low hadir mesyuarat ahli lembaga pengarah 1MDB, mahkamah diberitahu

freemalaysiatoday.com
Ho Kit Yen
-August 12, 2021 3:10 PM

Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho menghadiri salah satu mesyuarat ahli lembaga syarikat 1MDB, 12 tahun lalu ‘atas jemputan’. (Gambar AP)

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pegawai 1MDB memberitahu Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan laporan audit Najib Razak dan Arul Kanda Kandasamy bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho hadir dalam salah satu mesyuarat ahli lembaga pengarah syarikat, 12 tahun lalu.

Bekas pengarah pelaburan 1MDB, Kelvin Tan, berkata Low atau dikenali sebagai Jho Low menghadiri mesyuarat itu pada 26 September 2009.

Katanya, turut hadir ialah bekas pengerusi syarikat Mohd Bakke Salleh serta beberapa pengarah Ismee Ismail, Azlan Mohd Zainol dan Che Lodin Wok Kamaruddin, ketua eksekutif Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan eksekutif syarikat Tang Keng Chee.

“Saya mengambil minit mesyuarat pada hari itu bagi pihak setiausaha syarikat (Lim Poh Seng). Nama Jho Low direkodkan di bawah senarai ‘atas jemputan’,” katanya.

Bagaimanapun, Tan berkata dia tidak tahu mengenai kewujudan satu lagi salinan minit mesyuarat pada 26 September 2009 yang tidak memasukkan nama Low.

“Saya tidak tahu bagaimana minit dipinda yang tidak memasukkan nama Low Taek Jho.

“Hanya salinan ini ditunjukkan kepada saya oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muhammad Hafidz Othman ketika merakamkan kenyataan saya,” katanya.

Tan turut memberitahu mahkamah, Low tidak memegang sebarang jawatan dalam 1MDB untuk membolehkannya menghadiri mesyuarat ahli lembaga pengarah.

“Ketika mesyuarat itu, Tan Sri Lodin mempersoalkan peranan Low dan dia (Low) membalas bahawa dia mempunyai peranan dalam lembaga penasihat syarikat.

“Kami maklum dengan perkara ini dan tiada siapa bertanyakan mengenainya lagi,” katanya.

Najib dibicarkan kerana didakwa menyalahguna kuasa sebagai perdana menteri dan menteri kewangan untuk memperoleh kekebalan undang0undang dan menyebabkan pindaan terhadap laporan audit akhir 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Bekas ketua eksekutif 1MDB Arul Kanda dituduh bersubahat dengannya.

Sebelum ini, mahkamah mendengar testimoni daripada bekas ketua audit negara Ambrin Buang, yang berkata dia diberitahu untuk mengeluarkan nama Low dalam laporan audit 1MDB Jabatan Audit Negara dengan alasan ia adalah “isu sensitif” dan untuk mengelakkan pembangkang memusing fakta.

Dia berkata beberapa perkara lain dikeluarkan daripada laporan audit adalah dua kenyataan kewangan yang bercanggah bagi 2014, bahagian mengenai terbitan nota jangka-sederhana Islam dan pelanggan sekunder bon Islam.

Ketika pemeriksaan soal balas oleh peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah, mengenai sama ada pengarah dan kakitangan pengurusan terkejut dengan kehadiran Low, Tan menjawab dengan tegas.

“Saya tidak membaca air muka orang lain ketika mereka semua menunjukkan ‘muka selamba’. Ia adalah mesyuarat rasmi,” katanya.

Ditanya sama ada dia masih ingat sama ada Low berkata apa-apa, Tan berkata dia teringat Low menyerahkan telefon bimbitnya kepada Bakke sambil menambah individu dalam talian adalah Najib.

“Bakke terkejut PM berada dalam talian,” katanya.

“Saya tidak ingat apa sebenarnya yang menyebabkan Low menyerahkan telefon bimbitnya kepada Tan Sri (Bakke) untuk bercakap dengan PM.”

Tan turut berkata dia dinamakan sebagai salah seorang defendan dalam saman difailkan oleh 1MDB terhadap bekas kakitangan dan pengarahnya.

“Mereka (1MDB) mendakwa saya melakukan penipuan membabitkan kerugian syarikat berjumlah RM1 bilion. Saya rasa kemungkinan besar mereka melakukan kesilapan,” katanya sambil menambah saman itu tidak mempunyai merit.

Pendengaran di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan akan bersambung.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-