Sunday, June 21, 2015

Usahawan Cina, Sunny Ung bantu pusat tahfiz, ada lebih 250 anak angkat

Sunny (tengah) bergambar dengan pelajar tahfiz dan anak yatim pada majlis berbuka puasa di Kota Bharu. - Foto TRP/Adnan Mohamad

KOTA BHARU, 21 Jun:

Meskipun berlainan bangsa dan agama, Datuk Seri Sunny Ung mungkin satu-satunya individu di negara ini yang ikhlas membantu sebuah pusat tahfiz al-Quran tanpa sebarang syarat.

Yang lebih menariknya, usahawan berjiwa emas ini juga antara pihak yang pertama sekali tampil menghulurkan bantuan apabila pusat tahfiz al-Quran PEKAYATIM, di sini, dilanda banjir tahun lalu.

Difahamkan, selain membantu di segi keperluan asas seperti barangan dapur kepada lebih 20 pelajar tahfiz terbabit, Sunny juga turut mendermakan pelbagai buku rujukan dan kitab agama kepada pusat tahfiz itu.

Paling menyentuh rasa, usahawan terbabit juga turut menyumbangkan kitab al-Quran kepada pusat tahfiz itu yang sebelum ini banyak rosak dimusnahkan bah besar Disember tahun lalu.

“Sebenarnya saya rasa bangga sekiranya semua pelajar atau anak-anak yatim yang saya biayai ini berjaya dalam kehidupan mereka. Bagi saya, kejayaan mereka adalah kejayaan saya sendiri.

“Bagi saya semua kanak kanak ini istimewa dan saya tidak pernah memilih samada mereka beragama atau berbangsa apa untuk diberikan sumbangan bantuan,” katanya ketika ditemui The Rakyat Post pada majlis berbuka puasa bersama pelajar tahfiz dan keluarga angkatnya.
Sunny Ung (baju hitam) bertanya khabar kepada sebahagian pelajar pusat tahfiz al Quran di Kota Bharu yang dibantunya.Foto TRP/Adnan Mohamad

Sunny yang berasal dari Pasir Mas berkata setakat ini dia mempunyai lebih 250 anak angkat serta lebih lima keluarga angkat yang diketahui berdepan pelbagai kesukaran di dalam kehidupan mereka.

Katanya, dia akan cuba sedaya upaya termampu membantu mereka ini termasuk membaiki tempat tinggal, menyalurkan bantuan bulanan serta membiayai pelajaran sehinggalah mereka mampu sehingga ke universiti.

“Sebenarnya saya puas hati sekiranya mengetahui kesemua anak angkat saya ini berjaya. Mungkin pada masa hadapan mereka akan menurut jejak langkah saya serta tidak melupakan asal usul mereka dengan.membantu mereka yang dalam kesusahan,” katanya.

Sementara itu, Pengetua Pusat Tahfiz al Quran PEKAYATIM, Ahmad Hilmi Ahmad berkata, pihaknya amat mengalu-alukan sumbangan daripada Sunny.

Beliau berkata sumbangan boleh diterima daripada sesiapa sahaja termasuk mereka yang bukan Islam seperti Datuk Seri Sunny Ung.

“Setahu saya beliau seorang yang suka membantu sesiapa sahaja yang menghadapi kesusahan tanpa mengira bangsa dan agama.

“Apa yang penting sumbangan yang diberikan itu dapat dimanfaatkan dengan langkah yang betul dan dapat membina satu insan yang cemerlang di.kemudian hari,” katanya.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/06/21/usahawan-cina-sunny-ung-bantu-pusat-tahfiz-ada-lebih-250-anak-angkat/#ixzz3dhY0wkwm

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-