Showing posts with label bukan Islam. Show all posts
Showing posts with label bukan Islam. Show all posts

Friday, February 14, 2025

Berhentilah beri cadangan pelik, kata Pemuda Amanah P Pinang

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 14, 2025 8:59 AM
Pemuda Amanah Pulau Pinang berpendapat, memang tiada keperluan untuk kerajaan mewujudkan portfolio khas dalam kabinet bagi mengelola hal-ehwal agama bukan Islam.

Pengarah komunikasinya, Abrar Sadiq, berkata negara sudah memiliki mekanisme yang mencukup bagi menguruskan aspek keharmonian dan kebebasan beragama rakkyat Malaysia.

Langkah mewujudkan portfolio tersebut juga, katanya, boleh memberi implikasi besar kepada kewangan negara.

“Justeru adalah lebih baik wakil-wakil rakyat DAP berhenti daripada mengemukakan cadangan-cadangan pelik sebaliknya memberikan fokus untuk membina negara bersama.

“Cukup-cukuplah memberi ruang kepada pembangkang seperti PAS untuk menjadikan cadangan seperti itu sebagai modal perkauman mereka,” katanya dalam kenyataan media.

Baru-baru ini Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui, menyarankan agar diwujudkan satu lagi jawatan menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi mengelola urusan penganut agama selain Islam.

Untuk rekod ketika ini salah seorang menteri di JPM bertanggungjawab dalam urusan pentadbiran Islam.

Ada di peringkat negeri

Menurut Chow, langkah itu dicadangkan agar isu keharmonian serta perpaduan negara dapat dibincangkan denngan lebih berkesan, selain dapat mengelak sesuatu kontroversi.

Ia mendapat kecaman daripada PAS apabila ketua dewan ulama parti itu, Ahmad Yahaya, menganggap saranan tersebut adalah usaha terancang DAP untuk meletakkan Islam setara dengan agama lain di Malaysia.

Ahmad juga menyelar Chow sebagai gagal memahami prinsip perlembagaan negara.

Umno juga menyelar cadangan berkenaan dan menganggap tiada keperluan jawatan menteri baru diwujudkan. Sebaliknya, kata parti itu, bagi menangani isu yang dibangkitkan Chow, Kementerian Perpaduan Negara perlu menjalankan tugasnya dengan berkesan.
Chow Yu Hui
Seorang ahli parlimen PKR pula mengingatkan portfolio berkaitan agama bukan Islam wujud dalam pentadbiran negeri, termasuk di Kedah yang diterajui pemimpin kanan PAS serta Selangor.

Kata Sim Tze Tzin, sikap ditunjukkan PAS adalah hipokrit apabila tidak membantah portfolio exco tersebut di Selangor ketika parti berkenaan menjadi sebahagian daripada kerajaan Pakatan Rakyat.

Menurut Ahli Parlimen Bayan Baru itu, Selangor memiliki exco yang mengelola hal ehwal agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme.

“Ada exco yang memegang portfolio tersebut.

"Parti PAS menganggotai kerajaan Selangor selama 10 tahun dari 2008 hingga 2018. Portfolio agama bukan Islam tidak pernah menjadi isu.

“Islam terus dimartabatkan di Selangor. Hal ehwal agama bukan Islam diberi hak seperti termaktub dalam perlembagaan negeri. Kenapa sekarang menjadi isu?

“PAS buat boleh, orang lain buat tak boleh. Adakah ini satu hipokrasi,” katanya semalam
Sim Tze Tzin
Menurut Abrar, Malaysia wajar bergerak ke hadapan dengan memberikan tumpuan kepada aspek pembangunan, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Kita tak perlu bergerak ke hadapan dengan mencetuskan isu yang boleh mencabar sensitiviti masyarakat,” katanya.

‘Tak perlu jabatan hal ehwal bukan Islam’, pemimpin Bersatu, PAS beritahu sekutu

freemalaysiatoday.com
Anne Muhammad
14 Feb 2025, 10:51 AM

Semalam, Timbalan Presiden MIPP S Subramaniam cadang kerajaan wujudkan jabatan hal ehwal bukan Islam di bawah Kementerian Perpaduan Negara.
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Afnan Hamimi Taib Azamudden berpendapat peranan Kementerian Perpaduan Negara memadai dalam menguruskan isu berbangkit berkait ehwal bukan Islam.

PETALING JAYA: Pemimpin Bersatu dan PAS menolak cadangan salah seorang sekutunya dari Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) supaya kerajaan mewujudkan jabatan hal ehwal bukan Islam di bawah Kementerian Perpaduan Negara.

Cadangan itu dilontarkan Timbalan Presiden MIPP S Subramaniam semalam menerusi aplikasi X bagi membantu menyelesaikan pelbagai masalah wujud tanpa disedari dalam pengurusan agama bukan Islam dengan sistematik.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata cadangan itu tidak perlu dilaksanakan memandangkan urusan dan isu berkait penganut agama bukan Islam sudah berada di bawah menteri perpaduan.

“Apa sahaja soal berhubung masalah penganut agama bukan Islam tak kira Buddha, Kristian atau Hindu…perkara ini boleh bincang dalam ruang lingkup dan akta sedia ada dalam Kementerian Perpaduan Negara.

“Kalau ada pertikaian antara Islam dan bukan Islam juga boleh dibincangkan menteri perpaduan dan menteri agama,” kata bekas timbalan menteri perpaduan dari 2021 hingga 2022 itu kepada FMT.

“Tak perlu ada jabatan atau menteri sebab peranannya di bawah menteri perpaduan, struktur telah ada ikut Perlembagaan Persekutuan. Jadi, tiada isu seperti diminta timbalan presiden MIPP.”

Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden turut senada dengan menyatakan Kementerian Perpaduan Negara dengan sendiri mempunyai peranan menguruskan hal ehwal bukan Islam.

“Maka, tiada keperluan ada jabatan,” katanya yang juga ketua pemuda PN.

Menerusi hantaran di media sosial, Subramaniam turut menyokong cadangan Ahli Parlimen Raub Chow Yu Hui supaya portfolio menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada Islam dan bukan Islam.

Menurut Chow dari DAP, beberapa kerajaan negeri seperti Pulau Pinang, Perak dan Negeri Sembilan sudah lama mempunyai exco hal ehwal bukan Islam dan menyarankan kerajaan Persekutuan mencontohi langkah tersebut untuk menjamin hak semua rakyat.

Kenyataannya itu dipercayai lanjutan dari cadangan mengenai garis panduan umat Islam menghadiri perayaan bukan orang Islam yang menjadi kontroversi dan mengundang pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata tiada keperluan garis panduan berkenaan diwujudkan.

Thursday, September 12, 2024

Hadi: Bukan Islam ‘naik kepala’ sebab pemimpin Islam k'jaan lemah

malaysiakini.com
N Faizal Ghazali & Hariz Mohd
Diterbitkan: Sep 12, 2024 5:59 PM
MUKTAMAR PEMUDA PAS l Presiden PAS Abdul Hadi Awang membidas pemimpin Melayu-Islam dalam kerajaan perpaduan kerana tidak berupaya menangani rakan-rakan pimpinan bukan Islam.

Keadaan itu katanya menyebabkan pemimpin bukan Islam ‘naik kepala’.

“Ini menunjukkan betapa kerajaan perpaduan yang dikuasai oleh Umno yang Melayu-Islam, PKR ada Melayu- Islam dan Amanah ada Melayu Islam, tak boleh menguasai keadaan, tak berwibawa.

“(Mereka) tak mampu nak menangani rakan-rakan orang bukan Islam, orang bukan Islam naik kepala dengan begitu rupa. Ini satu pendekatan yang sangat lemah,” katanya.
Ahli Parlimen Marang itu berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena Muktamar Pemuda PAS ke-65 di Kerdau, Temerloh, hari ini.

Abdul Hadi berkata dia menasihatkan rakan-rakan yang masih bersekongkol dengan kerajaan yang tiada keupayaan.

Tambahnya walaupun duduk dalam kerajaan, orang Islam dalam kerajaan itu tak ada keupayaan menyebabkan Islam tiada dan tiada kehebatan.

“Sehingga kita saksikan berlakunya isu-isu yang sangat mendukacitakan. Isu-isu orang bukan Islam berani bercakap attack Islam, berani bercakap perkara orang Islam. Yang mutakhir ialah isu murtad, halal dan haram.

“Ini hak orang Islam diganggu, padahal ini hak orang Islam. Orang Islam ada hak untuk menentukan halal dan haram.
“Halal dan haram ini penting bagi orang Islam, untuk jaga rohnya, jaga diri dia, jaga iman, jaga hubungan dengan Allah. Tak ada kena mengena dengan orang bukan Islam,” tegasnya merujuk kontroversi membabitkan Ahli Parlimen DAP Teresa Kok berkait isu pensijilan halal.

Thursday, March 14, 2024

Pemimpin PN tak sepakat isu tutup kantin

malaysiakini.com
Shamz Johan & Zarrah Morden & Isabelle Leong
Diterbitkan: Mar 14, 2024 1:52 PM
Isu kantin sekolah yang dibenar beroperasi sepanjang bulan Ramadan mendapat reaksi berbeza dalam kalangan pemimpin Perikatan Nasional (PN).

Presiden Gerakan, Dominic Lau berkata parti itu tidak berkongsi pandangan sama dengan PAS yang menganggap tindakan tersebut sebagai tidak menghormati bulan Ramadan dan sengaja mencetuskan polemik.

"Saya rasa kita mempunyai interpretasi berbeza dalam perkara ini. Tiada siapa yang salah dan bukan semua pandangan perlu dikritik.

"Bagi kantin sekolah, biarlah ia beroperasi. Apa yang penting adalah nilai hormat menghormati kepercayaan dan amalan keagamaan dalam kalangan pelajar," katanya kepada Malaysiakini.
Sebelum ini, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Ahmad Yahaya mendakwa arahan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek supaya kantin sekolah mesti beroperasi seperti biasa sepanjang bulan Ramadan sebagai keterlaluan.

Katanya, arahan itu seolah-olah sengaja mencetuskan polemik sedangkan pelajar bukan Islam boleh membawa bekal makanan dan makan di ruangan yang dibenarkan.

“Perkara sebegini hanyalah mencetuskan polemik tidak perlu dan membuang masa,” katanya pada Selasa.

Namun, Fadhlina menegaskan bahawa langkah itu bagi membolehkan pelajar bukan Islam dapat makan dengan selesa.

“Saya tidak mahu anak-anak (pelajar) bukan Islam makan di dalam stor dan tempat yang tidak sepatutnya, padahal semua sekolah ada kantin.

“Kita (kementerian) sarankan kantin dibuka sepanjang Ramadan khususnya bagi sekolah yang mempunyai anak-anak bukan Islam,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Pendidikan (KPM) di Dewan Rakyat, semalam.

Tambah Dominic lagi, parti Gerakan berpegang kepada prinsip Perlembagaan Persekutuan yang memberi ruang kepada semua rakyat Malaysia kebebasan dalam beragama.

Sementara itu, seorang pemimpin Bersatu menyokong pendirian PAS dalam isu tersebut.

Bercakap atas kapasiti peribadi, Razali Idris berkata dia tidak bersetuju dengan saranan untuk membenarkan kantin dibuka semasa bulan Ramadan.

Menurutnya, pelajar bukan Islam sepatutnya boleh menguruskan diri sendiri kerana amalan berpuasa di bulan Ramadan merupakan kewajiban yang menjadi rutin umat Islam setiap tahun.
"Murid bukan Islam boleh menguruskan diri sendiri ketika bulan Ramadan dan mereka kena faham rutin tahunan murid Islam akan berpuasa pada masa ini.

"Tapi tak perlulah sampai minta mereka makan di stor, boleh makan di kantin tapi kantin tak dibuka dan berjualan macam biasa," katanya yang juga Ketua Penerangan Bersatu.

Tambahnya lagi, pendirian ini tidak ditujukan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) ataupun Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) tapi kepada sekolah harian.

Razali berkata jika terdapat kes murid bukan Islam diarah makan di stor atau tempat-tempat yang tidak sepatutnya, pihak kementerian perlu mengambil tindakan.

"Kita mahukan supaya ada kelainan sempena bulan Ramadan dan mengajar murid dari peringkat awal tentang amalan menghormati bulan Ramadan.

"Yang Menteri kata semalam, pada saya, kalau ada pelajar yang diarah makan di stor, itu perlu ambil tindakan pada pengetuanya. Kenapa kena makan di stor? Sekolah mana? nyatakan. boleh makan di kantin. cuma kantin tidak buka. itu sahaja," tambahnya.

Sunday, July 12, 2020

GERAKAN beri amaran jangan paksa bukan Islam belajar Jawi


Tong Keong tuduh Dr Zulkifli ada agenda tersembunyi, ekstrem


PULAU PINANG, 19 Zulkaedah 1441H, Sabtu – Timbalan Presiden GERAKAN, Oh Tong Keong bertegas, mahu menentang habis-habisan jika orang bukan Islam disuruh untuk mempelajari tulisan Jawi.

Beliau berkata demikian susulan pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri bahawa hari Jumaat diumumkan sebagai ‘Hari Jawi’ bermula, semalam.

Dr Zulkifli berkata, bagi menzahirkan iltizam memartabatkan tulisan Jawi, kepala surat rasmi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan menggunakan tulisan Jawi bagi urusan rasmi.

Beliau turut menyeru seluruh kementerian, jabatan, agensi di peringkat Persekutuan dan negeri, badan bukan kerajaan (NGO) dan seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama dalam usaha memelihara warisan negara ini

Tidak berpuas hati dengan perkara itu, Tong Keong memberi hujah bahawa, Perlembagaan Malaysia dengan jelas menetapkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi negara.

“Mengapa menteri ini perlu membangkitkan isu penggunaan Jawi. Ini menunjukkan pihak sana ada agenda yang lebih besar tersembunyi di belakang tabir.

“Malaysia ialah sebuah negara majmuk, kalau beliau berpendapat setelah mendapat kelulusan Kabinet, beliau boleh menyebarkannya (Jawi) kepada orang bukan Islam, mereka telah membuat kesilapan besar.

“GERAKAN bakal bersungguh-sungguh menghalang muslihat ini,” katanya seperti dilapor portal berbahasa Cina, Oriental Daily.

Tong Keong yang juga merupakan Pengerusi GERAKAN Pulau Pinang berkata, sebelum ini pemimpin PAS telah berterusan mencetuskan ketidakpuasan hati orang bukan Islam.

Namun kini, katanya, bekas Mufti Wilayah Persekutuan yang telah menyertai Kabinet pula berbuat demikian.

“Walaupun Zulkifli tidak menyertai Kabinet atas tiket PAS, tetapi menilai dari tutur kata dan perlakuannya, tiada beza dengan pemimpin PAS yang ekstrem dan selalu memainkan isu perkauman.

“Kalau beliau mahu mengikut jejak pemimpin PAS, maka bersedialah menghadapi akibatnya,” katanya memberi amaran.

Tong Keong juga mengingatkan Dr Zulkifli jika ia Hari Jawi adalah gerakan yang bermatlamat untuk menggalakkan penggunaan Jawi, maka ia hanya patut melibatkan orang Islam sahaja.

“Jika niat beliau ialah untuk memaksa orang bukan Islam terlibat sama, GERAKAN akan menentang habis-habisan.

“Pada zahirnya Dr Zulkifli berkata bahawa matlamatnya adalah untuk menggalakkan penggunaan Jawi tetapi kita tidak tahu apa yang beliau akan lakukan secara tersembunyi,” katanya.

Tuesday, January 28, 2020

Menteri gesa henti sekat pelancong ke lokasi tumpuan


BERITA

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan menulis surat kepada pihak yang berkenaan agar menghentikan larangan kepada pengunjung yang mahu melawat sesuatu lokasi tumpuan pelancong.

Menterinya, Mohamaddin Ketapi, berkata larangan tersebut adalah tidak bagus dan salah sama sekali.

"Orang yang dah masuk ke negara ini adalah yang sihat dan kita akan (tulis) surat kepada pusat-pusat pelancongan ini," katanya.

Menurut beliau pihak yang berkenaan diminta memberikan kerjasama untuk tidak menghalang mana-mana pelancong yang berhajat mengunjungi tempat yang menarik minat mereka.

"Tolong jangan halang pelancong untuk melawat tempat yang perlu dan yang nak dilawati oleh pelancong-pelancong ini.

"Ini tak bagus, ini salah sama sekali. Kita nak halang orang melawat dalam negara kita, apa semua ini?" soalnya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat khas dan taklimat bersama kementeriannya dan Kementerian Kesihatan Malaysia, di Putrajaya, hari ini.

Mohamaddin berkata demikian sebagai mengulas langkah pentadbiran Masjid Putra di Putrajaya yang menutup rumah ibadat itu kepada pengunjung bukan Islam.

Sasaran tak berubah

Langkah itu bermula sejak 26 Jan lalu ekoran kebimbangan terhadap penularan virus Novel Coronavirus 2019 (2019-nCoV).

Jurucakapnya dilaporkan berkata, penutupan itu berkuat kuasa sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan kelak. Buat masa ini masjid tersebut hanya dibuka kepada pengunjung beragama Islam yang datang untuk menunaikan solat.

"Pelawat bukan Islam masih boleh mengambil gambar, tetapi sehingga hadapan pintu gerbang masjid sahaja (sebelum pos kawalan masjid)," katanya.

Sementara itu, mengulas langkah kerajaan menggantung visa kepada pelancong dari wilayah Hubei dan kawasan terjejas wabak koronavirus, Mohamaddin berkata, tindakan berkenaan langsung tidak menjejaskan sasaran yang ditetapkan kementeriannya.

Sebaliknya Mohamaddin berkata, kementerian itu tetap positif akan mencapai sasaran tersebut.

"Kita masih kekalkan sasaran 30 juta pelancong dan RM100 bilion pendapatan dapat dicapai.

"Kita ada pelancong (lain) dari Australia, England dan seluruh dunia," katanya.

Mohamaddin berkata, keyakinannya itu berdasarkan keupayaan Malaysia menangani setiap bencana yang melanda negara.

"Malaysia mempunyai pengalaman yang cukup dalam mengendalikan kes ini dan saya masih lagi bersemangat tinggi, agenda nasional akan diteruskan dan kita harap kita akan berjaya," katanya.

Semalam, kerajaan mengumumkan langkah penggantungan kemudahan imigresen kepada penduduk Hubei dan bandar Wuhan serta sekitarnya.

Kemudahan imigresen berkenaan termasuklah eNTRY (kemudahan masuk tanpa visa), Visa Semasa Ketibaan (Visa on Arrival), e-visa dan visa manual.

Thursday, October 31, 2019

Ulama PAS: Larangan undi calon bukan Islam tak mutlak


PRK TG PIAI | Ulama PAS menegaskan, larangan parti itu untuk mengundi calon bukan Islam dalam pilihan raya bukan bersifat mutlak, sebaliknya bergantung kepada keadaan tertentu.

Ketua Ulama PAS Pusat, Dr Nik Zawawi Salleh, berkata penentangan parti itu terhadap calon bukan Islam berdasarkan kepada sentimen berlainan agama atau bangsa.

"Malah Islam sendiri tidak melarang untuk berbuat baik dan melakukan keadilan kepada non-Muslim yang tidak melawan Islam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nik Zawawi berkata demikian semasa membuat gesaan kepada pengundi Tanjung Piai untuk memberikan undi kepada calon dari MCA - yang mewakili pembangkang - dalam PRK kali ini, iaitu Wee Jeck Seng.

"Walaupun calon dari Muafakat Nasional (gabungan PAS dan Umno) yang diwakili oleh BN adalah non-Muslim, namun ia bukanlah terlarang secara mutlak," katanya.

Untuk rekod dalam PRK Cameron Highlands, Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata pengundi Islam wajib menyokong calon BN berdasarkan kepada sifat keagamaannya.

“Dimaklumkan dia seorang pegawai polis yang tak pernah melakukan apa-apa salah laku, semasa khidmat dia jadi anggota polis,” katanya.

PH letak calon Islam

Tambah Hadi, umat Islam tidak sepatutnya memilih calon DAP yang menurutnya menunjukkan tanda-tanda negatif yang tak dapat disembunyikan terhadap Islam.

“Kita minta supaya kaum yang bukan Islam kalau mahu selamat, jangan undi DAP.

Undi calon Islam ini, semua selamat. Orang Islam selamat, orang bukan Islam pun selamat,” katanya.

Seorang lagi ulama kanan PAS, Mokhtar Senik, berpendapat anggota PAS, petugas dan penderma PAS mendapat pahala kerana membantu kemenangan BN di PRK Cameron Highlands dan Semenyih.

Menurut anggota Jawatankuasa Pusat PAS itu mengalahkan PH adalah sebahagian daripada amalan mencegah kemungkaran yang tarafnya sama penting dengan menegakkan kebaikan.
Untuk rekod, bagi PRK Tanjung Piai yang akan berlangsung pada 16 Nov ini, PH menurunkan calon Melayu dan Islam, iaitu Karmaine Sardini, yang juga ketua Bersatu kawasan parlimen berkenaan.

Nik Zawawi berkata walaupun calon terbabit bukan dari DAP, memberi undi kepada PH didakwanya boleh dianggap mengekalkan kuasa parti terbabit dan ia adalah mudarat besar yang mesti dielakkan.

"Sehubungan itu, Dewan Ulama PAS Pusat menyokong calon yang dikemukakan dari MCA, Wee Jeck Seng untuk bertanding dalam PRK Tanjung Piai pada 16 November 2019 nanti.

"Sokongan ini berasaskan kepada semangat Muafakat Nasional yang telah dimeterai di antara PAS dan Umno pada 14 Sept lalu, sekali gus melibatkan parti-parti dalam komponen Gagasan Sejahtera dan BN.

"Lantaran itu, secara asasnya apa sahaja syarat bersama pada perkara yang tidak mengandungi unsur haram dan percanggahan syariat adalah dihormati dan disempurnakan," katanya.

Baca Mokhtar Senik: Nik Zawawi ini level menteri

Anggota parlimen Pasir Puteh itu menyatakan "wajib" untuk menyokong usaha "menyelamatkan negara" ketika ini.

"Perlu difahami bahawa penentangan ke atas DAP adalah kerana sikap mereka yang keras memusuhi agenda umat Islam yang dizahirkan oleh pimpinan mereka dalam banyak isu, serta keterlibatan pimpinan mereka dengan kumpulan pengganas iaitu LTTE.

"Menyelamatkan negara dan agama Islam dari terus menjadi mangsa kerakusan PH merupakan satu kewajiban pada masa kini.

"Maka apa sahaja usaha untuk menjayakan kewajiban ini sekali gus juga menjadi wajib," katanya.

Monday, September 9, 2019

Apa hal Guan Eng macam kera kena belacan, kata presiden MCA

News | Diterbitkan Hari ini 10:45 malam 


Presiden MCA Wee Ka Siong membidas Lim Guan Eng yang mencadangkan MCA gagal bersuara terhadap dakwaan kempen boikot produk bukan Islam.

"Lim Guan Eng apa hal ini, melenting lagi macam kera kena belacan?" Soalnya.

Wee berkata orang Islam berhak memilih produk halal dan mempertikaikan penguasaan Bahasa Malaysia menteri kewangan itu sekiranya Lim mentakrifkan perlakuan ini sebagai boikot barangan keluaran bukan Islam.

"Eh kamu macam tak faham bahasa, kena balik sekolah ambil SPM balik. Bahasa Malaysia kamu faham tak?

"(Antara) boikot dengan seseorang Islam kalau dia rasa was-was hendak beli barangan halal, itu dia punya pilihan.

"Kalau kamu anggap itu sebagai boikot barangan, saya sedih lah," kata MP Ayer Hitam itu pada hantaran di media sosial malam ini.

Terdahulu hari ini, setiausaha agung DAP dilaporkan berkata walaupun Umno dan PAS menafikan menganjurkan dakwaan boikot itu tetapi kedua parti tersebut menyokong kempen berkenaan.

“Walaupun kempen boikot seperti ini, ia disesali ada parti politik bukan Islam atau bukan Bumiputera seperti MCA atau MIC, yang tanpa segan silu menjatuhkan maruah mereka dengan meneruskan kerjasama politik mereka dengan PAS dan Umno.

“Setakat ini, mereka tidak berani bantah secara langsung kepada ‘master’ politik mereka dalam PAS dan Umno," kata Lim.
Bagaimanapun, Wee berkata beliau telah mengeluarkan kenyataan membantah tindakan boikot sedemikian pada 2 September lalu.

"Pada 2 September lalu saya dah buat kenyataan begitu jelas sekali, tak faham ke atau tak baca?"

"Kalau kamu tak baca, bukan salah saya. Tolong baca jangan malas. Saya tanya sendiri dengan (Presiden Umno) Datuk Seri Zahid (Hamidi), dia kata mana ada Umno buat,” katanya lagi.

Menurut Wee, PH sebagai kerajaan berkuasa untuk bertindak sekiranya mendapati kempen boikot sebegitu menyalahi undang-undang.

“Kamu sekarang ini kerajaan dan ada kuasa ambil tindakan jika kempen itu sabotaj ekonomi.

“Jangan buat cerita semberono. Jangan reka-reka cerita, tolong. Sekarang nak laga-laga kita kenapa. Kamu tak senang ke hidup secara harmoni?” Soalnya lagi.

Wee turut mengulang dakwaan yang mempertikaikan Lim sebagai seorang akauntan bertauliah.

"Sudah tujuh bulan tidak tunjuk apa-apa. Kenapa? Takut lagikah? Pengecut," katanya lagi.

Friday, September 6, 2019

Bukan boikot, sudah lama orang Islam utamakan produk halal – Ameer Mydin

By Manzaidi Mohd Amin
- 5 September 2019

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Ameer Ali Mydin bercakap kepada media selepas Majlis Pelancaran Kolaborasi Kempen Sayangi Sawitku bersama Mydin Mohamed Holdings Berhad di Pasaraya Mydin USJ Subang Jaya, Selangor.
 foto HAZROL ZAINAL, 05 SEPTEMBER 2019.

SUBANG JAYA – Tidak ada istilah boikot barangan bukan Islam, tegas Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Wira Dr. Ameer Ali Mydin.

Katanya, apa yang berlaku hari ini ialah orang Islam dan Melayu lebih mengutamakan produk bumiputera memandangkan ia berkait rapat dengan hukum hakam agama.

Mengulangi pendiriannya untuk kali kedua berhubung isu kempen beli barangan Malaysia, beliau menjelaskan, pada masa sama ada juga rakyat juga berlaku adil dengan membeli produk bukan Islam sekiranya barangan berkenaan tidak dikeluarkan oleh usahawan Islam.

Jelas beliau, ekonomi negara tidak terjejas dengan tindakan itu, kerana ada juga pasar raya yang diuruskan oleh bumiputera mendapatkan bekalan dari kilang bukan Islam.

“Tidak ada isu mengenai apa yang berlaku ini sebenarnya. Sudah lama umat Islam dan orang Melayu mengutamakan produk yang bagi mereka serratus peratus halal.

“Bahkan, pengusaha bukan Islam juga turut mendapat manfaat ini kerana barangan mereka turut mendapat permintaan dari usahawan muslim,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran Kolaborasi Kempen Sayangi Sawitku bersama Mydin Mohamed Holdings Berhad di Mydin Wholesale Hypermarket di sini, hari ini.

Kempen itu dilancarkan Menteri Industri Utama, Teresa Kok.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Kelapa Sawit Malaysia (MPOC), Datuk Dr. Kalyana Sundram.

Semalam, Jemaah Menteri bersetuju usaha memboikot barangan keluaran pengusaha bukan Islam di negara ini adalah sangat tidak wajar.

Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan, mesyuarat yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail itu menolak pemikiran dan pendirian sempit berasaskan sentiment perkauman yang cuba dimainkan pihak tertentu.

“Ia boleh menjejaskan keharmonian dan kesejahteraan negara.

“Sebaliknya, rakyat diseru untuk menyokong kempen beli barangan buatan Malaysia kerana ia akan memberi kebaikan kepada negara,” kata kenyataan itu.

 – MalaysiaGazette

Wednesday, September 4, 2019

Tak wajar boikot barangan bukan Islam - kabinet


Kabinet menolak tindakan memboikot barangan keluaran pengusaha bukan Islam dan menyifatkan kempen itu sebagai tidak wajar.

“Jemaah menteri menolak pemikiran dan pendirian sempit berasaskan sentimen perkauman yang cuba dimainkan oleh pihak tertentu kerana ia boleh menjejaskan keharmonian dan kesejahteraan negara.

“Sebaliknya rakyat diseru untuk menyokong kempen beli barangan buatan Malaysia kerana ia akan memberi kebaikan kepada negara,” menurut kenyataan Jabatan Perdana Menteri hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas mesyuarat kabinet yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail hari ini.

Kempen “beli produk Muslim dulu” dikesan sejak akhir tahun lepas, bertujuan menggalakkan pembelian produk keluaran Muslim.

Kempen itu kurang mendapat perhatian luas sehingga sekitar Ogos, apabila semakin ramai orang menyertai laman dan kumpulan kempen tersebut di media sosial.

Bagaimanapun, terdapat penyokong kempen itu pergi lebih ekstrem dengan mengajak orang ramai memboikot produk bukan Muslim.

Thursday, May 16, 2019

Sheikh Omar kecam orang bukan Islam dilabel anjing


Tindakan melabel orang bukan Islam yang masuk masjid sebagai anjing merupakan perbuatan dangkal, maklum Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Sheikh Omar Ali.

"Saya tidak setuju dan mengecam perbuatan menggelar bukan Islam yang masuk ke dalam masjid sebagai anjing kerana sangat dangkal," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Sheikh Omar yang juga anggota lembaga pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia mengulas suatu hantaran di media sosial yang mempertikaikan kehadiran Anggota Parlimen Labis, Pang Hok Liong di Masjid Tenang Stesen pada 10 Mei lalu.

Hantaran media sosial itu berjudul "Adun Tenang bawa masuk anjing dalam masjid?"

"Adoi apa nak jadi ni, apa kejadahnya bawa masuk apek ni dalam masjid? Dia nak bagi tazkirah ke? Atau ceramah agama?

"Kita yang Islam ni nak masuk masjid pun kena bersihkan badan, apek ni dah mandi wajib ke? Dah la tak sunat!

"Hello Pang Hok Liong, jangan ingat lu (kamu) Ahli Parlimen Labis (DAP) lu boleh berucap sesuka hati dalam masjid," kata hantaran itu.

Sultan Johor murka

Menurut Sheikh Omar pendekatan sebegini akan menimbulkan kekeliruan terhadap Islam, selain menyukarkan usaha dakwah kepada bukan Islam.

"Pendekatan (hantaran media sosial tersebut) pada hemat saya, akan menimbulkan kekeliruan imej Islam.

"Pada masa akan datang, saya muslim bawa seorang bukan muslim masuk masjid untuk berdakwah kepada dia, sebagai contohnya untuk tunjuk keindahan Islam.

"Kemudian orang non-muslim akan takut nak ikut saya, kerana dia akan katakan bukan Islam tidak dibenarkan masuk masjid kerana dia akan jadi anjing dan sebagainya," katanya lagi.
Terdahulu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini menyatakan rasa murka terhadap tindakan seorang ahli politik DAP yang dianggap mencabul kesucian Islam apabila berpolitik dalam masjid.

"Semua aktiviti ahli politik di masjid dan surau di Johor hendaklah segera dihentikan dan pencabulan yang telah berlaku tidak boleh berulang lagi," titah baginda.

Walaupun tidak menyebut sebarang nama kenyataan tersebut diyakini merujuk kepada kehadiran MP Labis.

Pang dikhabarkan hadir ke masjid untuk menyampaikan sumbangan.

Gambar Pang berucap kemudian menjadi tular dan dia didakwa memberi ucapan politik di situ.

Sementara itu Pang ketika dihubungi Malaysiakini memberitahu dia tidak membangkitkan sebarang isu politik semasa berucap di majlis berkenaan.

Katanya dia datang ke situ hanya untuk menyerahkan bantuan kepada masjid dan surau dalam kawasan berkenaan sempena Ramadan.

Wednesday, December 5, 2018

Kenyataan Hadi 'lebih ramai MP bukan Islam' provokatif - Lim

Diterbitkan 5 Dis 2018, 6:22 petang 


Kenyataan Abdul Hadi Awang bahawa lebih ramai bilangan anggota parlimen bukan Islam di Dewan Rakyat disifatkan sangat provokatif, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Lim mengulas kenyataan presiden PAS itu yang bimbang Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) akan tetap diratifikasi memandangkan komposisi anggota parlimen bukan Islam di Dewan Rakyat lebih ramai.

"Daripada menyebarkan perpaduan nasional di kalangan semua rakyat Malaysia yang berbeza latar belakang etnik dan agama, Hadi terus mencuba dan memecahbelahkan rakyat Malaysia, dengan membuatkan orang Islam menentang orang bukan Islam."

"Pertama, angka yang dipetik oleh Hadi tidak tepat. Beliau berkata terdapat 66 anggota Parlimen bukan Islam dan 58 anggota Parlimen Muslim dalam Harapan. Sebenarnya, ada 62 orang anggota Parlimen Muslim dalam Harapan.

"Anggota Parlimen Bumiputera, termasuk Bumiputera bukan Islam, melebihi jumlah bukan bumiputera. Adakah Hadi menganggap Bumiputera bukan Islam dari Sabah dan Sarawak tidak sama, hanya kerana mereka bukan Islam?" kata Lim yang juga menteri kewangan.

Ahad lalu Abdul Hadi dilapor berkata pembangkang akan meneruskan himpunan kejayaan bantahan Icerd yang dijadualkan berlangsung pada 8 Disember ini di ibu negara.

“Dalam kerajaan Pakatan Harapan, 66 kerusi Parlimen dipegang orang bukan Islam dan hanya 58 milik orang Islam. Entah di mana silapnya jadi begini.

“Namun, jangan salah gunakan bilangan ini untuk luluskan Icerd dan sebab itu juga kita akan teruskan himpunan kejayaan membantah Icerd. Kita bukan nak buat huru-hara, tapi nak tunjuk protes,” kata Hadi seperti dilaporkan Sinar Harian.

Mengulas lanjut Lim berkata daripada 28 anggota kabinet, termasuk senator, 17 daripada mereka beragama Islam, manakala hanya 11 orang bukan Muslim, dan di kalangan timbalan menteri, 18 beragama Islam dan hanya sembilan bukan Muslim.
Tambah beliau, daripada 222 anggota Parlimen, 140 daripadanya adalah Muslim, dengan hanya 82 dari mereka yang bukan beragama Islam.

"Bagaimanakah hak-hak orang Islam boleh terancam apabila anggota parlimen Muslim terdiri daripada 63 peratus anggota parlimen di Parlimen? Dengan menggunakan logik Hadi, tidakkah orang bukan Islam merasa terancam oleh 63 peratus anggota parlimen Muslim di Parlimen? "Katanya.

Lim berkata desakan PAS untuk menyertai perhimpunan anti-Icerd pada Sabtu ini hanya demi memenuhi survival dan kepentingan politik parti Islam itu meskipun kerajaan sudah berjanji Icerd tidak akan ditandatangani.

Beliau berkata adalah lebih baik PAS mengadakan protes terhadap semua skandal kewangan yang berlaku di bawah pentadbiran Umno BN daripada berhimpun bagi membantah Icerd yang sudah tidak lagi relevan.

"Ini akan menjadi perkara yang baik untuk semua rakyat Malaysia, baik untuk orang Islam mahupun untuk orang bukan Islam," katanya.

Thursday, August 9, 2018

Pilihan Raya PBT: Islam perlu bersatu

HAJI AHMAD AMZAD HASHIM 09 AUGUST 2018


UMAT Islam kena bersatu. Jika kita berpecah, kita tak ke mana walau 65 peratus rakyat negara ini orang Islam.

Pilihan Raya PBT yang akan bermula dengan Kuala Lumpur akan bakal menyaksikan bilangan pemilih di ibu kota, Ibu Negara Malaysia yang bilangan bukan Islam lebih ramai memilih sendiri siapa mereka mahu untuk uruskan Kuala Lumpur.

Isu penyusunan semula masyarakat antara tumpuan utama Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan 1970 yang mengenal pasti punca ketegangan kaum yang mencetuskan Peristiwa 13 Mei 1969 adalah ketidakseimbangan antara kaum yang wujud dalam pelbagai faktor misalnya pegangan ekonomi, kependudukan bandar dan luar bandar. Ia masih gagal hari ini dan telah diganti dengan pelbagai dasar afirmatif lain setelah itu.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dilihat agak berat mulut untuk memperjuangkan dasar afirmatif yang membantu memperbaiki kedudukan orang Melayu, Islam sebaliknya bersikap longgar dalam isu teras seperti bahasa, dasar pendidikan, kedudukan agama, kuota Bumiputera.

Bandaraya-bandaraya utama di negara ini didiami majoritinya bukan Melayu. Ia menjadi kubu kuat parti seperti DAP yang semua sudah maklum sikapnya terhadap kedudukan Islam dan Melayu.

Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu menyaksikan antara lain kedudukan susunan Ahli Majlis Bandaraya seperti di Taiping, Perak sepenuhnya dikuasai bukan Islam.

Pilihan Raya PBT bermula di Kuala Lumpur bakal melahirkan Datuk Bandar bukan Melayu, ahli Majlis Bandaraya seperti di Taiping.

Kuala Lumpur adalah Ibu Negara Malaysia yang selama ini menjadi dasar kerajaan menumpukan segala urusan pentadbiran dan pengurusan pelbagai sektor di Kuala Lumpur.

Petroleum yang dikeluarkan hasilnya dari perut bumi Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak, kesemuanya Negeri-negeri Melayu dan Bumiputera yang pada kedudukan negeri termiskin dalam Malaysia, akan tetapi kerajaan yang tetapkan dasar, soal pentadbiran dan pengurusannya di Kuala Lumpur.

Ibu pejabat Petronas di Kuala Lumpur. Tender, persidangan, perundingan pelaburan, exhibition yang utama. Maka semua entiti berkaitan industri petroleum, rangkaian pembekal peralatan, bahan, perkhidmatan, juru perunding, semua buka ibu pejabat sekitar Kuala Lumpur, mendaftar syarikat di sana dan membayar cukai korporat, cukai pendapatan individu jutawan-jutawan taikun industri petroleum, semua dibayar ke akaun hasil di Kuala Lumpur.

Ianya dasar kerajaan. Maka itulah bilangan jutaan rakyat berhijrah dari Terengganu dan Kelantan, Sabah, Sarawak mencari kerja di Kuala Lumpur sehingga semua orang merungut masalah kesesakan di Kuala Lumpur.

Atas faktor kesesakan dari dasar kerajaan inilah pula, kerajaan memutuskan pelaburan beratus billion ringgit Malaysia lagi dalam pelbagai projek mega di Kuala Lumpur dan sekitarnya untuk menangani masalah sistem pengangkutan, MRT, LRT dan pelbagai lagi.

Beratus billion nilai projek wang rakyat ditumpukan di Kuala Lumpur! Kaya raya tauke-tauke di Kuala Lumpur. Punca. Dasar Kerajaan pusatkan di Kuala Lumpur. Begitu juga pentadbiran hasil pertanian. Getah, Sawit.

Pilihan Raya PBT adalah ketidakadilan kepada rakyat luar bandar yang mengizinkan sumber asli bumi mereka diurustadbir di ibu kota sehingga mengkayakan orang bandar sahaja dengan jurang peruntukan pembangunan yang terlalu melampau jauh beza di negeri penyumbang.

HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Kuala Terengganu

 - HARAKAHDAILY 9/8/2018

Sunday, April 22, 2018

5 kerusi untuk sampaikan suara

PASFUAD AHMAD
22 APRIL 2018
KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, parti itu bertanding lima kerusi parlimen di Sarawak pada PRU14 untuk menyampaikan suara daripada PAS.

Katanya, keberadaan lima calon itu sekiranya menang kerusi masing-masing adalah untuk menyampaikan amar makruf nahi mungkar

“Calon-calon yang kita pilih untuk bertanding ini, kalau menang dia menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran di Parlimen.

“Yang baik dia sokong, yang mungkar dia bangkang. Ini calon kita bukan calon yang angguk-angguk begitu saja

“Kalau tak menang, kita PAS ni kita berjuang Islam. Kita percaya kita dapat pahala kalau kita tak menang,”ujar beliau dalam Program Pidato Perdana Ke Arah Malaysia Yang Sejahtera yang dibuat di Taman Matang Jaya, Petrajaya, Sarawak semalam yang disiarkan menerusi laman facebook.

Beliau menjelaskan bahawa ada di kalangan nabi seperti Nabi Noh yang umurnya panjang namun pengikutnya tidak ramai sekitar 80 orang atau 20 orang mengikut riwayat yang lain

“Kalau yang ikut dia 80 orang, bertanding pilihan raya duit deposit pun tak (dapat) balik, tapi yang penting dia menyampaikan suara Islam,” kata beliau

Bukan Islam jangan takut

“Jangan takut jangan bimbang, Islam ini adil pada semua,” terang beliau

Beliau membawakan contoh keadilan kepada orang bukan Islam seperti mana yang ditunjukkan PAS semasa memerintah Kelantan, Terengganu dan Kedah sehinggakan ramai orang bukan Islam yang ingin memasuki PAS

“Maka kita tubuh Dewan Himpunan Penyokong PAS di kalangan orang bukan Islam.

‘Pilihan raya ini kita bertanding 160 kerusi di antaranya kerusi orang bukan Islam. Kerusi orang Cina, kerusi orang India bertanding.

“Pernah di Sarawak Pilihan Raya Negeri dulu kita kerusi orang Iban, jadi calon kita orang Iban walaupun dapat ratus-ratus saja tapi satu benih baru yang kita nak tunjuk Islam adalah adil untuk semua,” ujar beliau. 

HARAKAHDAILY 
   22/4/2018

Tuesday, October 10, 2017

'Kita jangan minum ber dan kita tak makan dadah'


Saya diberitahu ramai yang marah saya kerana tidak menyatakan sokongan saya terhadap bantahan perayaan beer (beer festival – Oktober Fest) oleh orang bukan Islam.

Bagi saya kalau orang bukan Islam yang tidak haramkan minum alkohol atau beer hendak minum beer sampai pengsan, itu masalah mereka. Yang penting mereka jangan timbul masalah kepada orang lain, atau memandu kereta di waktu mabuk.

Yang saya amat dukacita ialah penyalahgunaan dadah oleh anak orang Islam sehingga menyebabkan kematian 23 murid sekolah tahfiz apabila mereka membakar asrama sekolah.

Ternampak seolah-olah orang Islam menerima pembunuhan murid ini sebagai perkara biasa. Ya. Memang ada mereka yang berpendapat ini semua takdir. Oleh itu terima sahajalah. Seperti yang telah dinyatakan oleh guru tahfiz, anak yang mati setelah ke sekolah tahfiz akan menunggu ayah dan emak di pintu syurga kelak.

Tetapi bagi saya soal yang timbul ialah kenapa ada anak orang Melayu / Islam yang terlibat dengan dadah. Kenapa tidak didengar anak Cina dan India terlibat dengan dadah. Apakah ini juga takdir. Tidak adakah apa-apa yang boleh dibuat untuk menentu anak Melayu / Islam menolak dadah?

Allah SWT berfirman dalam al-Quran bahawa Allah tidak akan memperbaiki keburukan yang menimpa manusia melainkan manusia itu sendiri cuba memperbaikinya terlebih dahulu.

Penagihan dadah disebabkan kurang kawalan anak oleh ibu bapa di zaman ini. Tanggungjawab menyemai sikap menolak dadah sepatutnya diletak di bahu guru agama dalam sekolah.

Tetapi di sekolah, selain dari mengajar ibadat tertentu untuk pahala tidak ada tekanan yang cukup terhadap pengajaran budi pekerti Islam; terhadap dosa pahala, baik buruk, amalan hidup dalam Islam. Dengan itu anak mudah terjebak dengan yang tidak baik, termasuk penggunaan dadah.

Jika kerana disemai dengan kawalan diri mencegah yang buruk dan mengamal yang baik (amal ma’aruf nahi mungkar) sebagai sebahagian dari tuntutan agama Islam, kemungkinan perlakuan perkara-perkara yang dilarang akan berkurangan. Tetapi setakat yang saya tahu tidak ada latihan dan pengajaran secara sistematik dalam bidang ini di sekolah-sekolah.

Ilmu sahaja tidak berguna jika tidak dikawal oleh budaya yang baik. Saya amat malu membaca laporan berkali-kali akan perlakuan yang tidak baik oleh orang Islam, terutama anak muda. Saya berpendapat perkara ini perlu diberi perhatian lebih oleh orang Islam dan bukan melarang orang bukan Islam minum beer.

Ini adalah pendapat saya. Jika nak kecam dan nak marah saya kerana tidak memecah botol beer di hadapan pejabat MB, marahlah.

Oktober Fest, perayaan minum beer pada bulan Oktober adalah tradisi budaya orang Jerman.

Jerman menerima satu juta pelarian Islam dari Syria. Apakah balasan pelarian ini kepada orang Jerman sebagai tuan rumah ialah dengan melarang mereka dari minum beer dalam Oktober Fest mereka.

Orang Melayu berkata jaga tepi kain sendiri. Tentukan kita jangan minum beer dan kita tak makan dadah. Itu lebih baik dari pecah botol beer.

Sunday, February 19, 2017

Kenapa mereka menentang Akta 355 ?

 AIDCNEWS
A. Karim Omar – Sukar untuk kita faham apabila cadangan pindaan Akta 355 yang HANYA untuk orang-orang Islam [baca cadangan pindaan Akta 355] ditentang sungguh-sungguh oleh sesetengah orang BUKAN ISLAM. [Kenapa Mereka Bantah Pindaan Akta 355?]

Kita faham bahawa tauke-tauke pusat-pusat maksiat judi, kelab-kelab malam dan reban pelacuran mendapat keuntungan besar. Tauke-tauke ini tahu bahawa apabila hukuman Mahkamah Syariah akan dinaikkan apabila pindaan Akta 355 diluluskan nanti.

Apabila hukuman dinaikkan maka sudah pastilah:
Pelanggan Melayu Islam mungkin akan berkurangan – kerana mereka mulai takut dengan hukuman yang jauh lebih besar. Setakat denda beberapa ratus sekarang ini mungkin mereka tidak kisah, namun apabila hukuman atau denda yang yang lebih tinggi dikuatkuasakan ianya akan memberi kesan kepada perniagaan tauke kelab-kelab malam ini.
Anak-anak gadis Melayu Islam yang menjual tubuh di reban-reban pelacuran akan mulai terkesan dengan hukuman serta denda yang lebih tinggi. Kalau dulu ibu-bapa ayam hanya penjam mata menunggu di luar Mahkamah Syariah untuk tolong bayar denda yang dikenakan, kini mungkin mereka tidak lagi sanggup untuk berkali-kali mengeluarkan bayaran denda yang sudah dinaikkan.

Maka sebab itulah kita lihat tentangan yang hebat dari mereka yang mendapat manfaat perniagaan haram ini. Kemewahan sumbangan dari tauke-tauke judi, kelab malam dan pusat pelacuran akan berkurangan. Maka tentangan yang bersungguh ini dapat kita lihat dari mereka yang tidak senang untuk melihat moral dan Jiwa orang Melayu Islam yang lebih baik. Mereka mendapat laba dari kebejatan sosial orang Melayu Islam.

Siapa untung dari pindaan Akta 355?
Orang Melayu Islam sudah pastinya akan mulai berkurangan melanggani pelacur dan pusat judi dan minuman arak.
Tauke-tauke kelab malam, pusat judi dan ibu-bapa ayam yang menjual tubuh anak gadis Melayu akan merasa rugi.

ANDA FIKIR. Anda lihat siiapa yang akan tentang.

Wednesday, July 20, 2016

Orang bukan Islam tetap tak akan terima hudud

WARTAWAN SINAR HARIAN
20 JULAI 2016
Mohd Sayuti Omar
KOTA BHARU - Golongan bukan Islam tetap tidak akan menerima pelaksanaan kanun jenayah syariah walaupun selepas pelaksanaannya, ia dilihat berjalan secara adil.

Pemerhati politik, Mohd Sayuti Omar berkata, mereka bukan tidak memahami hukum pelaksanaan kanun itu, namun tidak boleh menerima dan takut dengan Islam secara menyeluruhnya.

“Kefahaman rang undang-undang (RUU) daripada konteks keadilan sejagat perlu dijelaskan bagi mengelak kekeliruan berterusan. Seperkara lagi, bukan Islam sengaja buat tak faham sebab perkara itu dijadikan isu dan modal politik mereka,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menjangka selepas Akta 355 diperluaskan dan dilaksanakan, orang bukan Islam mula memilih syariah Islam kerana melihat undang-undang itu dijalankan secara adil.

Katanya, tindakan menolak hukum Islam menandakan penentangan sebahagian daripada bukan Islam terhadap Islam itu secara keras, tegas dan tanpa diplomasi.

Mengenai penubuhan parti baharu dan cadangan pakatan pembangkang baharu, Sayuti berkata, ia akan menjadi sejarah politik tanah air jika berjaya dilakukan kerana sebelum ini usaha menjatuhkan Umno dan BN tidak pernah berjaya.

“Sekiranya yang diuar-uarkan ini jadi kenyataan, Tun Dr Mahathir (Mohamad) tubuh parti baru dan bentuk pakatan dengan pembangkang, ia sejarah atau pakatan pertama melibatkan Dr Mahathir sendiri menjatuhkan BN. Ia juga boleh dikira sesuatu yang baru dan unik yang mungkin membawa kesan apabila pakatan pembangkang kali ini mungkin tidak melibatkan parti agama,” katanya.

Saturday, September 5, 2015

Penganalisis: Hala tuju politik Pas kian kabur

MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI

SHAH ALAM - ‎ Penganalisis politik berpandangan berdasarkan penilian masa hadapan parti politik di Malaysia, parti Pas lah yang dilihat kian 'hilang arah' kerana hala tuju politik parti itu dilihat kian kabur.

Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM) , Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani ‎berkata, ini berdasarkan tiga analisis komprehensif yang 'ditinjau' oleh beliau.

"Pas tidak jelas dari segi hala tuju politik. Dilihat semakin rapat dengan Umno.

"Dalam pada itu Pas dilihat terlalu kolot. Meminggirkan fahaman progresif. Hanya ada dominasi golongan konservatif agama. Tidak galakkan perdebatan dan kepelbagaian pandangan," katanya kepada Sinar Online hari ini.

Sementara itu, Mohd Azizuddin ‎berkata isu bai'ah dan hudud turut menjadi faktor.

"Obsesi ke atas isu hudud. Menolak DAP menyebabkan dipinggir bukan Islam.

"Dan isu bai'ah talak tiga menjejaskan Pas menyebabkan orang Islam mula semakin menolak Pas," katanya.

Sementara itu menurut Pensyarah Sains Politik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr Mohamad Agus Yusof ketika ditanya perihal ini, Agus mengakui prestasi Pas kian merosot.

‎"Pas merosot teruk," katanya ringkas kepada Sinar Online.

Wednesday, July 15, 2015

Akar umbi bimbang masa depan PAS selepas putus dengan DAP

OLEH SHERIDAN MAHAVERA
PAS perlu bersedia dengan penurunan sokongan bukan Islam selepas putus hubungan dengan DAP, kata ahli dan aktivis. – Gambar fail The Malaysian Insider, 15 Julai, 2015.

Semua kerusi pantai barat tidak lagi selamat buat PAS, kata ahli akar umbi dan aktivis selepas parti Islam itu memutuskan hubungan rasminya dengan DAP.

Walaupun hubungan tidak rasmi masih wujud di antara ahli PAS dan DAP tetapi keputusan parti Islam itu memutuskan hubungan sekali gus memberi isyarat mereka perlu bersedia dengan penurunan sokongan bukan Islam.

Ia merupakan sokongan komuniti pemimpin akar umbi seperti kata Dr Sheikh Ibrahim Salleh yang merupakan orang penting dalam kemenangan PAS di pantai barat dari Kedah ke Johor.

Ahli akar umbi lain dari Kuala Lumpur pula menyifatkan:“Sokongan bukan Islam kepada PAS di luar jangka ketika mengadakan hubungan bersama DAP. Jadi, bila hubungan PAS-DAP berakhir maka begitulah juga sokongannya.”

Pantai barat tidak selamat lagi

Bagi sesetengah pemimpin akar umbi, penurunan sokongan bukan Islam dapat dilihat sejak sebelum muktamar bulan lalu yang meluluskan usul tanpa bahas untuk memutuskan hubungan dengan DAP.

Ia berikutan keputusan DAP pada April untuk memutuskan hubungan dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Resolusi itu mengeruhkan lagi keadaan. Dr Sheikh Ibrahim berkata, bukan Islam meminggirkan PAS sejak krisis menteri besar Selangor pada pertengahan 2014.

Dalam krisis itu, Hadi tidak bersetuju dengan keputusan yang dibuat PKR dan DAP untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Imej PAS merosot sejak itu. Rakan bukan Islam kita mohon maaf berkata mereka tidak lagi menyokong PAS,” kata Sheikh Ibrahim yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Abong.

“Sokongan kepada PAS akan sangat berkurang dalam PRU akan datang.”

Beliau berkata PAS melakukan yang terbaik di Johor dan kebanyakan tempat di pantai barat dalam pertandingan kerusi campuran di mana nisbah Islam dan bukan Islam ialah 60% kepada 40%.

“Apabila majoriti Melayu lebih daripada 60%, PAS lebih sukar untuk menang. Jadi semua kerusi yang dipegang PAS di Johor tidak selamat kerana kita kehilangan sokongan bukan Islam.

“Perkara sama berlaku kepada tempat di Kedah, Perak malah di Selangor,” katanya.

Majlis Syura Ulama (MSU) secara rasmi memberi lampu hijau untuk memutuskan hubungan dengan DAP, selepas lebih sebulan usul berkenaan diluluskan tanpa bahas.

Mereka berkata keputusan itu diambil ekoran tindakan provokasi berterusan DAP dan sikap suka campur tangan dalam urusan PAS.

Keputusan yang diluluskan itu akan dilaksanakan oleh Jawatankuasa PAS Pusat selepas MSU bertindak sebagai badan tertinggi yang menetapkan hala tuju dan dasar parti.

Menyalakan semula api lama

Hubungan PAS dan bekas rakan pakatannya, PKR dan DAP menyukarkan ahli biasa bagi mendapat sokongan penyokong yang lebih ramai, kata pemimpin akar umbi Selangor Shazni Munir.

Selepas mengadakan program bersama di bawah satu payung Pakatan Rakyat (PR) sejak 7 tahun lalu, ahli dan aktivis di peringkat akar umbi enggan menjemput DAP ke acara rasmi kerana bimbang dimarahi pimpinan atasan parti.

Keakraban ikatan yang dibayangkan pengundi Malaysia dan diidamkan ahli PAS yang sanggup bekerja tanpa bayaran, kini tiada lagi, kata Shazni.

Sukar memenangi kembali hati pengundi bukan Islam yang sedekad lalu tidak pernah bermimpi mengundi PAS.

“Amat menyedihkan apabila kita berbicara dengan pakcik Cina dan mereka bertanya mengapa PAS tidak menjaga hati orang bukan Islam. Adakah PAS tidak menghargai sokongan mereka?,” kata Shazni yang merupakan timbalan ketua kawasan Sijangkang.

“Pada ketika kita masih susah memenangi undi Melayu kawasan pedalaman, kita sangat menghargai sokongan bukan Islam.”

Ahli PAS Titiwangsa berkata dapat dilihat penurunan kehadiran bukan Islam dalam program PAS tahun ini.

Pengundi Cina dan India mewakili 30% populasi di kawasan Parlimen Titiwangsa yang biasa ditandingi PAS dan kekalahan ini pastinya akan dirasai dalam PRU akan datang.

Walaupun semangat mereka masih lemah, pemimpin DAP Anthony Loke berharap akan ada perubahan.

Hubungan rakyat di peringkat akar umbi masih utuh, katanya dan di sesetengah kawasan, ahli kedua-dua parti masih menjalankan program bersama.

“Kawasan saya di Jelebu, hubungan dengan akar umbi PAS masih utuh. Kami masih menghadiri sesi buka puasa dengan ahli PAS di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Johor dan Kota Baru,” katanya.

Antara yang dapat dilihat ialah majlis buka puasa bersama personaliti PAS bersama pimpinan tertinggi PKR dan DAP di Kuala Lumpur pada 23 Jun.

Pada majlis itulah, timbul ura-ura satu parti Islam baru akan ditubuhkan ahli PAS yang disingkirkan dengan kerjasama DAP dan PKR.

Biasanya, pemimpin PAS dan mereka yang wala’ akan cepat mengulas mengenai penubuhan parti baru seperti bekas setiausaha agung Datuk Mustafa Ali yang menjangkakan parti baharu akan dilihat proksi DAP dan tidak kekal lama.

Di sebalik dakwaan itu, ahli biasa PAS dan DAP masih menanti sama ada parti baharu ini mampu menghidupkan kembali semangat lama PR yang membantu mereka menghampiri Putrajaya.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/akar-umbi-bimbang-masa-depan-pas-selepas-putus-dengan-dap#sthash.ixfAIOLQ.dpuf

Sunday, June 21, 2015

Usahawan Cina, Sunny Ung bantu pusat tahfiz, ada lebih 250 anak angkat

Sunny (tengah) bergambar dengan pelajar tahfiz dan anak yatim pada majlis berbuka puasa di Kota Bharu. - Foto TRP/Adnan Mohamad

KOTA BHARU, 21 Jun:

Meskipun berlainan bangsa dan agama, Datuk Seri Sunny Ung mungkin satu-satunya individu di negara ini yang ikhlas membantu sebuah pusat tahfiz al-Quran tanpa sebarang syarat.

Yang lebih menariknya, usahawan berjiwa emas ini juga antara pihak yang pertama sekali tampil menghulurkan bantuan apabila pusat tahfiz al-Quran PEKAYATIM, di sini, dilanda banjir tahun lalu.

Difahamkan, selain membantu di segi keperluan asas seperti barangan dapur kepada lebih 20 pelajar tahfiz terbabit, Sunny juga turut mendermakan pelbagai buku rujukan dan kitab agama kepada pusat tahfiz itu.

Paling menyentuh rasa, usahawan terbabit juga turut menyumbangkan kitab al-Quran kepada pusat tahfiz itu yang sebelum ini banyak rosak dimusnahkan bah besar Disember tahun lalu.

“Sebenarnya saya rasa bangga sekiranya semua pelajar atau anak-anak yatim yang saya biayai ini berjaya dalam kehidupan mereka. Bagi saya, kejayaan mereka adalah kejayaan saya sendiri.

“Bagi saya semua kanak kanak ini istimewa dan saya tidak pernah memilih samada mereka beragama atau berbangsa apa untuk diberikan sumbangan bantuan,” katanya ketika ditemui The Rakyat Post pada majlis berbuka puasa bersama pelajar tahfiz dan keluarga angkatnya.
Sunny Ung (baju hitam) bertanya khabar kepada sebahagian pelajar pusat tahfiz al Quran di Kota Bharu yang dibantunya.Foto TRP/Adnan Mohamad

Sunny yang berasal dari Pasir Mas berkata setakat ini dia mempunyai lebih 250 anak angkat serta lebih lima keluarga angkat yang diketahui berdepan pelbagai kesukaran di dalam kehidupan mereka.

Katanya, dia akan cuba sedaya upaya termampu membantu mereka ini termasuk membaiki tempat tinggal, menyalurkan bantuan bulanan serta membiayai pelajaran sehinggalah mereka mampu sehingga ke universiti.

“Sebenarnya saya puas hati sekiranya mengetahui kesemua anak angkat saya ini berjaya. Mungkin pada masa hadapan mereka akan menurut jejak langkah saya serta tidak melupakan asal usul mereka dengan.membantu mereka yang dalam kesusahan,” katanya.

Sementara itu, Pengetua Pusat Tahfiz al Quran PEKAYATIM, Ahmad Hilmi Ahmad berkata, pihaknya amat mengalu-alukan sumbangan daripada Sunny.

Beliau berkata sumbangan boleh diterima daripada sesiapa sahaja termasuk mereka yang bukan Islam seperti Datuk Seri Sunny Ung.

“Setahu saya beliau seorang yang suka membantu sesiapa sahaja yang menghadapi kesusahan tanpa mengira bangsa dan agama.

“Apa yang penting sumbangan yang diberikan itu dapat dimanfaatkan dengan langkah yang betul dan dapat membina satu insan yang cemerlang di.kemudian hari,” katanya.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/06/21/usahawan-cina-sunny-ung-bantu-pusat-tahfiz-ada-lebih-250-anak-angkat/#ixzz3dhY0wkwm

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-