Tuesday, August 4, 2015

Adakah pemberontakan dalam Umno semakin membara?

OLEH SHERIDAN MAHAVERA
Published: 4 August 2015 9:56 AM
Tindakan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak memecat timbalannya minggu lalu mula mencetuskan pergolakan di kalangan ahli di peringkat akar umbi. – Gambar fail The Malaysian Insider, 4 Ogos, 2015.

Kurang seminggu selepas Datuk Seri Najib Razak mencabuli kelaziman parti Umno dengan memecat timbalannya daripada Kabinet, bibit pergolakan kelihatan mula tercetus di kalangan ahli parti di peringkat akar umbi.

Keresahan terhadap tindakan Najib yang mencambahkan pertikaian itu merupakan cabaran terkini terhadap kepimpinan perdana menteri itu.

Ia hadir sewaktu beliau kini bergelut mempertahankan kuasa sewaktu disiasat atas tuduhan menerima wang yang mempunyai kaitan dengan dana sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Walaupun cengkaman Najib ke atas 199 bahagian parti yang membentuk lapisan pertengahan parti adalah kukuh, masih wujud kemungkinan rungutan ahli peringkat bawahan bercambah dan berkembang biak sehingga mengancam kedudukan Najib.

Rungutan menjadi perdebatan
Buat julung kalinya dalam sejarah Umno, ahli bawahan parti di peringkat bahagian, yang berjumlah lebih 1 juta orang, merasakan mereka berhak bersuara dalam mempengaruhi keputusan kepimpinan parti.

Setiausaha Umno Bahagian Kepong Ahmed Zaharani Yusof Omar berkata, ini kerana kepimpinan bahagian yang memilih presiden serta timbalan presiden parti.

Ini membuatkan ahli biasa berasa lebih terlibat dalam memilih individu yang akan mengemudi parti, kata Zaharani.

Katanya, ia berdasarkan kelaziman 2 pemimpin tertinggi parti akan memikul tanggungjawab sebagai perdana menteri dan timbalan perdana menteri.

Namun sehingga kini, kebanyakan rasa kurang puas hati itu disalurkan menerusi saluran yang sesuai seperti mesyuarat cawangan dan bahagian, kata Zaharani.

“Ia amalan sihat buat ahli parti dalam menyampaikan pendapat mereka dan ia membuktikan kita terbuka dan demokratik,” katanya.

Rungutan bertukar menjadi perdebatan hangat di cawangan dan bahagian Umno di Johor dan Selangor, terutamanya di kalangan sayap Pemuda parti.

Sebilangan kepimpinan Pemuda di Johor dan Selangor bertindak melepaskan jawatan yang mempunyai kapasiti membuat keputusan, sebagai membantah tindakan Najib.

Pada satu peringkat yang ekstrem, Ketua Umno Bahagian Jerai Datuk Ahmad Ikmal Ismail berkata, sesetengah bahagian membatalkan jemputan kepada Muhyiddin dan Naib Presiden Datuk Seri Shafie Apdal untuk merasmikan mesyuarat bahagian mereka.

Shafie turut digugurkan daripada jawatan menteri kemajuan luar bandar dan wilayah dalam rombakan Kabinet baru-baru ini.

“Semua masih terkejut dengan rombakan dan mengambil kira personaliti yang terlibat, pastinya ada reaksi emosional daripada kedua-dua belah pihak,” kata Ikmal.

Apa yang merumitkan keadaan, kata seorang pemimpin Wanita Umno Bahagian Hulu Selangor adalah, ketua-ketua bahagian turut bingung dalam memahami rombakan Kabinet baru-baru ini.

“Apabila anda cuba menjelaskan kepada ahli parti, terutamanya mereka yang muda, mereka akan membidas hujah anda dengan perkara yang mereka baca di media sosial," kata pemimpin wanita itu yang enggan dinamakan.

“Maka sebahagian ketua bahagian memilih berdiam diri sehingga semuanya reda apabila masanya tiba.”

Membina momentum
Pendekatan ini turut akan memberi ruang kepada mereka yang berbeza pandangan dalam melaksanakan agenda mereka menerusi ratusan mesyuarat bahagian yang akan berlangsung sehingga September.

Buat masa ini, rungutan ini masih mampu dikawal, kata Zaharani.

“Saya tidak fikir akan wujud 'snowball effect' (situasi yang meningkat pada kadar cepat) dan pemberontakan terhadap presiden," katanya.

Namun, beliau mengakui segalanya masih terlalu awal dan keadaan boleh berubah jika ahli yang tidak berpuas hati mendesak bahagian mereka mengembalikan pemilihan parti yang ditangguhkan, ke tahun ini.

Majlis Tertinggi Umno menangguhkan pemilihan parti yang sepatutnya berlangsung tahun depan, selama 18 bulan.

Penganalisis politik Wan Saiful Wan Jan berkata, pemilihan parti adalah cara mencabar Najib dan kepimpinannya secara langsung.

"Namun, untuk berbuat demikian, golongan yang memberontak ini harus mendesak penangguhan pemilihan dibatalkan dan mereka perlu memulakan gerakan ini secepat mungkin sementara momentumnya masih ada," kata Wan Saiful dari Institut Hal Ehwal Ekonomi dan Demokrasi (Ideas).

Katanya, kemungkinan pemberontakan dalam skala yang lebih besar tidak boleh dipandang ringan walaupun keresahan masih lagi dapat dibendung.

Pada kesudahannya, kata seorang lagi pemimpin Umno dari Selangor, ahli parti khuatir masalah dalaman akan menjejaskan keupayaan parti pada pilihan raya umum akan datang. – 4 Ogos, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/adakah-pemberontakan-dalam-umno-semakin-membara#sthash.rTuS3Vxn.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-