Showing posts with label 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Show all posts
Showing posts with label 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Show all posts

Friday, February 21, 2025

1MDB: Pegawai penyiasat akui ke Riyadh untuk salin dan tampal kenyataan putera Arab, makan dan balik

hmetro.com.my
Ahmad Johari Mohd Ali
am@hmetro.com.my

GAMBAR fail. FOTO NSTP

Putrajaya: Pegawai penyiasat asal skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mengakui kunjungan pasukan siasatan ke Riyadh, Arab Saudi, sudah dirancang lebih awal untuk hanya 'salin dan tampal' kenyataan 'putera Arab', makan dan pulang.

Saksi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu, Nasharudin Amir, mengakui bahawa beliau sendiri selaku pegawai penyiasat tidak berpuas hati bahawa 'putera Arab' yang ditemui pasukannya di Riyadh adalah Putera Saud Abdulaziz bin Majid Al Saud.

"Saya tidak pasti jumpa atau tidak orang itu, sebab saya tidak diperkenalkan kepadanya pun," katanya.

Putera Saud adalah putera Arab yang dikatakan menulis dan menandatangani empat surat 'derma Arab' kepada bekas Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak.

Ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, Nasharudin bersetuju bahawa beliau sendiri tidak berpuas hati dengan hasil siasatan bahawa empat surat 'derma Arab' berkenaan adalah sahih dan wang RM2.6 bilion yang diterima dalam akaun Najib datang daripada Putera Saud.

Terdahulu, Nasharudin bersetuju dengan cadangan Ahmad Akram bahawa kenyataan yang dirakamkan pegawai perakam daripada Putera Saud melalui wakilnya, Mohammad Abdullah Al Koman, dan kenyataan Eric Tan Kim Loong, iaitu sekutu Low Taek Jho, sudah tersedia lebih awal dan tugasnya hanya untuk 'salin dan tampal' ke dalam format SPRM sahaja.

Ahmad Akram: Setuju tiada soalan dan pertanyaan berlaku (ketika rakaman percakapan diambil)?

Nasharudin: Ya.

Ahmad Akram: Tiada mereka kemukakan dokumen yang menyokong kenyataan itu?

Nasharudin: Ya.

Ahmad Akram: Siasatan ini ada dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara?

Nasharudin: Ya, dan syor adalah untuk siasat lebih lanjut.

Ahmad Akram: Tuan sendiri tidak berpuas hati surat (derma) itu sahih?

Nasharudin: Ya.

Ahmad Akram: Kunjungan itu sudah dirancang lebih awal, lengkapkan cerita, tidak tanya apa-apa, anda pergi makan dan balik?

Nasharudin: Ya.

Sementara itu, saksi bersetuju dengan cadangan Ahmad Akram bahawa beliau tidak menjalankan analisis fizikal terhadap Putera Saud terlebih dahulu sebelum berlepas ke Riyadh bagi tujuan mengesahkan surat derma.

Menurut Nasharudin, beliau juga tidak berpuas hati dengan penelitian pasport diplomatik Putera Saud, di mana beliau sebagai pegawai penyiasat tidak melihat langsung dokumen itu, malah tiada salinan dibuat.

Saksi bersetuju dengan cadangan bahawa sepanjang rakaman kenyataan diambil, hanya Mohammad Abdullah berada dalam bilik di mana kenyataan itu diambil, dan bukannya Putera Saud.

Nasharudin, selaku saksi pembelaan ke-10, berkata demikian pada prosiding bela diri Najib yang didakwa terhadap empat tuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.

Pada prosiding sebelum ini, Penolong Kanan Pesuruhjaya, Fikri Ab Rahim, memberitahu mahkamah bahawa pasukan siasatan ke Riyadh bersama Nasharudin; Pegawai SPRM, Datuk Mohd Hafaz Naza; Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Tan Sri Azam Baki; dan Tan Sri Dzulkifli Ahmad, yang ketika itu sebagai wakil Jabatan Peguam Negara.

Menurut Fikri, mereka ke Istana Riyadh antara 27 hingga 29 November 2015 untuk mengesahkan ketulenan empat surat derma daripada Arab Saudi dan menemuramah Putera Saud, iaitu individu yang dikatakan menandatangani surat derma kepada Najib.

Saksi itu berkata, beliau boleh merumuskan bahawa pihaknya berpuas hati dengan kenyataan wakil putera Arab, bagaimanapun siasatan masih diteruskan berkaitan derma itu sehingga betul-betul mendapatkan keterangan yang lebih kukuh.

Katanya, Azam memaklumkan bahawa mereka masih perlu mendapatkan keterangan lain selain keterangan putera Arab dan dokumen 'derma' terbabit.

Fikri berkata, pada pertemuan itu, pasukan siasatan hanya dibenarkan merekod keterangan putera Arab melalui wakilnya kerana mereka dilindungi imuniti (kekebalan).

Menjelaskan lanjut, saksi itu berkata, mereka dibawa ke satu ruangan yang besar dalam istana dan melihat tiga individu, di mana salah seorangnya ialah Putera Turki yang beliau kenal pasti melalui gambar sebelum itu.

Katanya, Putera Turki kemudian meminta Putera Saud mengeluarkan pasportnya, yang kemudian diserahkan (melalui pembantu istana) kepada Azam untuk disahkan.

Beliau kemudian diserahkan kepada dokumen itu untuk diteliti dan disahkan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Lawrence Sequerah bersambung Isnin ini.

Disiarkan pada: Februari 21, 2025 @ 2:58pm

Wednesday, October 30, 2024

Skandal 1MDB: Tuduhan terhadap Najib tak cacat - Hakim

bharian.com.my
Oleh Ahmad Johari Mohd Ali 
bhnews@bh.com.my
Oktober 30, 2024 @ 10:07am
Najib Razak diiringi pegawai Penjara ketika hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim

KUALA LUMPUR: Empat tuduhan menyalahgunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion yang dihadapi Datuk Seri Najib Razak adalah sah, dan tidak cacat.

Demikian diputuskan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah ketika membacakan penghakiman Mahkamah Tinggi, di akhir kes pendakwaan.

Sequerah berkata, tuduhan yang dikenakan ke atas Najib tidak kabur dan bekas perdana menteri itu tidak dikelirukan serta tidak diprejudiskan berhubung kesalahan berkenaan.

Sequerah masih membacakan penghakiman beliau yang bermula sejak jam 9.25 pagi tadi.

Najib yang juga bekas perdana menteri dan menteri kewangan didakwa dengan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Tarikh keputusan di akhir kes pendakwaan itu ditetapkan Datuk Collin Lawrence Sequerah yang kini Hakim Mahkamah Rayuan, pada 3 Oktober lalu selepas selesai mendengar hujahan melalui prosiding berlangsung selama 12 hari yang dikemukakan pihak pendakwaan dan peguam bela Najib.


Sekiranya hakim bicara mendapati pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap Najib, maka beliau hendaklah membela diri terhadap semua tuduhan berkenaan, dan mahkamah sama akan membuat keputusan sama ada beliau bersalah atau tidak, di akhir kes pembelaan.

Berikut adalah kronologi kes Najib yang proses perbicaraannya mengambil masa selama enam tahun setengah itu.

20 September 2018 - Najib didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat tuduhan rasuah dan 21 tuduhan pengubahan wang haram dan wang jaminan ditetapkan RM3.5 juta

31 Oktober 2018 - Kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

1 Mac 2019 - Najib gagal menggugurkan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, mendiang Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pendakwaan

7 Mei 2019 - Najib sekali lagi gagal merayu di Mahkamah Rayuan untuk menggugurkan Sri Ram

28 Ogos 2019 - Perbicaraan kes bermula

2 April 2020 - Perbicaraan ditangguhkan kerana pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

4 Mei 2020 - Perbicaraan dijadualkan bersambung 13 Mei 2020 dengan mematuhi garis panduan mahkamah terbuka susulan COVID-19.

5 Oktober 2020 - Perbicaraan dijadualkan disambung pada 19 Oktober selepas Najib selesai menjalani kuarantin di rumah selama dua minggu selepas pulang dari Sabah untuk berkempen pilihan raya.

5 Januari 2021 - Perbicaraan bersambung selepas hampir empat bulan ditangguhkan.

14 Disember 2021 - Perbicaraan ditangguhkan kerana status MySejahtera Najib masih mengklasifikasikannya sebagai individu dalam perintah pengawasan dan pemerhatian

25 Ogos 2022 - Najib hadir perbicaraan di Mahkamah Tinggi buat kali pertama selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman 12 tahun penjara bagi kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd

29 Januari 2023 - Sri Ram meninggal dunia pada usia 79 tahun.

18 Ogos 2023 - Mahkamah Tinggi tolak permohonan Najib untuk menggugurkan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah kerana hubungan hakim itu dengan bekas peguam 1MDB Jasmine Loo Ai Swan.

30 Mei 2024 - Pendakwaan menutup kesnya selepas enam tahun, 235 hari perbicaraan dan 50 saksi dipanggil.

20 Ogos 2024 - Najib tarik balik rayuan untuk menggugurkan Sequerah daripada mendengar kesnya.

3 Okt 2024 - Sequerah tetapkan 30 Oktober untuk keputusan sama ada Najib perlu membela diri atau dibebaskan

Tuesday, October 29, 2024

Bela diri atau bebas kes 1MDB

sinarharian.com.my
NOOR AZLIDA ALIMIN
29 Oktober 2024 08:00am

KUALA LUMPUR - Selepas enam tahun didakwa, nasib Datuk Seri Najib Tun Razak sama ada diperintah bela diri atau dibebaskan daripada empat kes menggunakan kedudukan untuk suapan hampir RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram babit wang sama, akan diputuskan Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu.

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini hakim Mahkamah Rayuan) dijadualkan membaca keputusan itu pada jam 9 pagi.

Jika mahkamah mendapati pihak Timbalan Pendakwa Raya berjaya membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan, maka bekas Perdana Menteri itu, diperintah membela diri.

Najib, 71, akan dilepaskan dan dibebaskan serta-merta sekiranya keputusan tidak memihak kepada pendakwaan, kerana gagal membuktikan kes prima facie.

Mengikut pertuduhan pindaan Najib, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan hampir RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.
Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan hampir RM2.3 bilion dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.

Kesalahan didakwa dilakukan di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi 21 pertuduhan pengubahan haram, antara 22 Mac dengan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, bekas Menteri Kewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Seminggu sebelum mahkamah memutuskan keputusan berkenaan, Najib membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia, menerusi kenyataan yang dibacakan anaknya, Datuk Mohamad Nizar di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis berhubung salah laku dalam 1MDB.

Pada 30 Mei lalu, prosiding kes pendakwaan berhubung penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1MDB, di Mahkamah Tinggi akhirnya tamat, selepas 50 individu selesai memberi keterangan terhadap bekas Presiden UMNO itu.

Antara saksi itu ialah bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd Bakke Salleh; bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Saksi pendakwaan ke-50, bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan yang sebelum ini melarikan diri ke luar negara dan kemudian menyerah diri kepada pihak berkuasa pada 7 Julai 2023 lalu, merupakan saksi terakhir dipanggil.

Prosiding di peringkat pendakwaan terbabit, bermula pada 28 Ogos 2019 dan ia berlangsung selama 235 hari.

Dalam kes ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, Mohamad Mustaffa P Kunyalam dan Kamal Bahrin Omar.

Sementara pembelaan bagi pihak bekas Ahli Parlimen Pekan ini, dibarisi peguam-peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Alaistair Brandah Norman dan Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin.

Najib ada dua lagi kes lain

Selain kes 1MDB, Najib masih berdepan dua lagi kes mahkamah iaitu pecah amanah jenayah berjumlah RM6.6 bilion membabitkan International Petroleum Investment Company (IPIC) dan pengubahan wang haram (AMLA) dana SRC International sebanyak RM27 juta.

Kedua-duanya masih di peringkat pengurusan kes iaitu IPIC di hadapan Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin manakala kes SRC di hadapan Hakim, K Muniandy.

24 Oktober 2018 (kes pecah amanah jenayah)

Najib dan Mohd Irwan Serigar, 69, mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah ke atas harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada IPIC.

Mereka dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia di Putrajaya antara 21 Disember 2016 dan 18 Disember 2017.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Jun lalu, memberi masa dua minggu kepada pihak pendakwaan untuk melengkapkan dokumen kes pecah amanah (CBT) dana kerajaan sebanyak RM6.6 bilion sebagai bayaran ke Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa (IPIC) kepada pihak Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Hakim Muniandy menjadualkan semula perbicaraan kes SRC yang membabitkan penyelewengan RM27 juta itu ke 21 hingga 25 April dan 19 hingga 23 Mei, tahun depan.

3 Februari 2019 (pengubahan wang haram)

Najib mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram yang mana beliau didakwa menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya.

Najib didakwa melakukan kesalahan terbabit di AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, pada 8 Julai 2014.

Pertuduhan dibuat menurut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Beliau sebelum ini didakwa di Mahkamah Sesyen namun kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi pada 13 Mac 2019 susulan permohonan pihak pendakwaan.

Prosiding perbicaraan yang sepatutnya bermula 22 Julai lalu, ditangguhkan ke tarikh lain dan hasil carian di sistem kehakiman, sebutan kes itu ditetapkan pada 25 November ini.

Tuesday, June 12, 2018

Dua Pasukan Khas Teliti Kertas Siasatan 1MDB – Peguam Negara

 Semasa


PEJABAT Peguam Negara menubuhkan dua pasukan khas bagi meneliti kertas siasatan berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) setelah menerimanya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.

Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, Jabatan Peguam Negara memerlukan sedikit masa untuk meneliti kertas siasatan berkenaan, namun mengambil maklum akan keperluan penelitian perkara berkenaan dengan kadar segera, lapor Harian Metro.

“Pejabat Peguam Negara sukacita memaklumkan kertas siasatan berkaitan kes 1MDB telah diterima petang ini daripada pihak SPRM.

“Bagi memastikan tugas ini dapat dilaksanakan secara berkesan, saya menubuhkan satu pasukan untuk mengkaji kertas siasatan berkenaan dengan tujuan untuk memulakan pendakwaan jenayah jika ada.

“Satu lagi pasukan lain adalah untuk mengkaji daripada sudut prosiding guaman yang berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua pasukan itu akan dianggotai pegawai terdiri daripada Timbalan Pendakwaraya dan Peguam Kanan Persekutuan berpengalaman yang akan terus melaporkan hasil kajian kepadanya.

“Saya sudah menandatangani permohonan untuk bantuan bersama dalam perkara jenayah daripada Switzerland, Amerika Syarikat (AS), Perancis dan Emeriyah Arab Bersatu.

“Harapan saya adalah agar dapat mengambil tindakan lanjut serta menjalin kerjasama dengan mereka,” katanya.

Monday, June 11, 2018

Mahkamah akan buktikan saya tak bersalah - Najib

Rohaniza Idris
roha@nstp.com.my

NAJIB Razak yakin mahkamah akan membuktikan dirinya tidak bersalah.  -Foto fail

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan beliau tidak menerima faedah mahu pun mencuri wang dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) atau mana-mana pihak.

Malah katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak pernah mengambil apa-apa kenyataan daripada beliau pada 2015 seperti didakwa ada kertas pertuduhan dikeluarkan ke atas dirinya.

Beliau berkata, malah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengakui tanpa bukti kukuh, menahan atau mendakwa dirinya di mahkamah adalah tidak mudah.

“Dr Mahathir juga mengakui bukti tidak kukuh dan jika saya didapati tidak bersalah oleh mahkamah, maka segala tuduhan yang dilempar dan tindakan oleh Pakatan Harapan (PH) selama ini akan dipersoalkan oleh rakyat.

“Dengan berkata demikian, Dr Mahathir telah mengaku PH membuat segala tuduhan itu terhadap saya tanpa bukti kukuh,” katanya dalam entri terbaharu beliau di akaun Facebooknya, hari ini.

Hari ini, Dr Mahathir ketika bercakap pada majlis makan malam dengan diaspora Malaysia di Jepun berkata, percubaan terburu-buru untuk mendakwa Najib daripada skandal 1MDB mungkin akan melepaskannya.

“Banyak orang sedang menunggu - bila kami akan menangkap Najib, tetapi tidak begitu mudah, kita perlu mengumpul bukti keterangan yang kukuh di mahkamah. Jika kami gagal melakukannya, beliau mungkin menang. Cuba fikir apa yang akan berlaku jika Najib menang perbicaraan dan didapati tidak bersalah.

“Kemudian semua janji yang kami buat, semua perkara buruk yang kami katakan mengenai beliau akan dipersoalkan oleh orang yang mengundi kami,” katanya.

Najib berkata, kenyataan Dr Mahathir itu juga membuktikan kertas pertuduhan yang didakwa sudah disediakan untuk mendakwa saya pada 2015 adalah tidak benar dan sebahagian dari konspirasi menggunakan individu tertentu di dalam pentadbiran kerajaan untuk menggulingnya.

“Pada ketika itu, kenyataan saya tidak pernah diambil oleh SPRM, justeru bagaimana pula ada kertas pertuduhan? Hanya sekarang, mereka mahu melakukan justifikasi kepada tuduhan mereka dengan mencari ‘bukti’, sama ada ia benar, diimaginasikan atau direka.

“Saya ingin ulangi, bahawa saya tidak menerima faedah mahupun mencuri wang dari 1MDB atau mana-mana pihak. Jika saya didakwa atas alasan politik, saya yakin mahkamah akan membuktikan saya tidak bersalah,” katanya.

Beliau turut menegaskan anaknya tidak memiliki syarikat senarai awam, memiliki kereta mewah ‘supercar’ bernilai berjuta Ringgit dan tidak pernah dianugerahkan kontrak kerajaan atau menjalankan perniagaan dengan kerajaan.

“Selain itu, saya juga sedih apabila ramai rakyat beragama Islam berpendapatan rendah di negara ini yang memerlukan bantuan bagi memenuhi tuntutan agama menunaikan Haji, kini tidak lagi menerima bantuan dari kerajaan.

“Dr Mahathir adalah silap untuk mendakwa wang yang digunakan 1MDB bagi membiayai beribu jemaah haji, adalah hasil curi. Dr Mahathir kerap membuat dakwaan duit dicuri dari 1MDB. Bagaimana agaknya, 1MDB mencuri wang 1MDB sendiri untuk membolehkan syarikat ini membiayai jemaah haji?

Katanya, jemaah haji yang dibiayai 1MDB tidak perlu bimbang kerana dana yang digunakan untuk membantu mereka menunaikan Rukun Islam kelima itu adalah dari sumber halal kerana dirinya akan menanggung dosa yang besar jika ia adalah sebaliknya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Jun 2018 @ 7:09 PM

Sunday, June 10, 2018

Pengarah SRC serah diri


Kosmo Online/
Negara/
10 Jun 2018 2:03 AM

Saksi penting kes anak syarikat 1MDB kini diberi perlindungan oleh SPRM



KUALA LUMPUR – Seorang saksi penting yang dikehendaki pihak berkuasa dalam siasatan ke atas anak syarikat 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), SRC International Sdn. Bhd. diberikan perlindungan penuh selepas dia menye­rah diri kepada Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM).

Menurut satu sumber, Datuk Suboh Mohd. Yasin, 67, yang pernah bertugas sebagai Pengarah SRC International telah tampil pada awal minggu ini untuk membantu siasatan SPRM berhubung skandal syarikat tersebut.

Sumber tersebut berkata, pegawai SPRM ada bertemu Suboh di Indonesia kira-kira tiga tahun lalu namun dia tidak memberikan kerjasama kerana Datuk Seri Najib Tun Razak yang dikaitkan secara langsung dalam skandal berkenaan masih menjadi Perdana Menteri.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Saturday, June 9, 2018

Usaha bongkar 'fail merah' masih dijalankan - Guan Eng


Pembongkaran ‘fail merah’ terbukti masih belum berakhir apabila Menteri Kewangan, Lim Guan Eng membayangkan beberapa fail tersebut akan mendedahkan lebih banyak skandal susulan siasatan yang masih dijalankan di kementerian itu.

“Jika anda merujuk skandal yang bernilai berbilion ringgit, yang paling besar... saya rasa setakat itu sahaja.

“Bagaimanapun, siasatan ini masih lagi dijalankan. Selainnya dalam jumlah yang kecil, (mungkin) babitkan jutaan (ringgit). Kita akan menanganinya kemudian.”

“Dokumen itu juga masih diteliti. Ini merupakan proses yang getir tetapi perlu dilakukan. Kita perlu menunggu dan membersihkannya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual eksklusif dengan Bernama yang diadakan genap sebulan berakhirnya pilihan raya umum ke-14 yang menyaksikan kejayaan Pakatan Harapan menawan Putrajaya.

Ditanya mengenai kemungkinan ‘fail merah’ tertentu dimusnahkan sebelum peralihan kerajaan, Lim berkata: “Anda boleh memusnahkan dokumen tapi kita boleh menyusunnya (semula). Kemajuan hari ini membolehkan jejak wang sedemikian mampu dikesan. Oleh itu, adalah sukar untuk menyembunyikannya.”

Beliau berkata, sewaktu memulakan tugas sebagai menteri kewangan pada 22 Mei 2018, maklumat yang dibentangkan kepadanya adalah jauh lebih buruk daripada jangkaan awal.

“Saya amat terkejut. Malah, sejak itu saya terpaksa mengharungi ‘lautan’ dakwat merah ini,” katanya.

Pendedahan sebelum ini menunjukkan kerajaan terpaksa berusaha mendapatkan wang berjumlah RM6.9 bilion bagi membayar hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sejak April 2017.

Ini kemudiannya disusuli oleh pendedahan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini turut menggunakan wang daripada urus niaga dengan Khazanah Nasional Bhd serta hasil jualan tanah kepada Bank Negara Malaysia untuk melunaskan obligasi hutang 1MDB.

Ketika rakyat masih terkejut dengan perkembangan itu, mereka didedahkan pula dengan satu skandal saluran paip gas membabitkan RM9.41 bilion yang turut dikaitkan dengan 1MDB.

“Mereka tergamak berbohong,” kata Lim yang turut berkongsi nada kecewanya.

“Mereka (BN) juga katakan bahawa mereka hanya mengikut standard IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa). Sebab itulah jumlah (hutang) sebanyak RM686.8 bilion. Namun bagaimana pula dengan jaminan hutang kerajaan yang mencecah 199.1 billion?

“Begitu juga projek perkongsian awam-swasta bernilai RM201.4 bilion yang membawa kepada jumlah hutang mencecah sehingga RM1 trilion.

“Dalam terma ekonomi, sebarang hutang yang meragukan perlu diakui sebagai hutang lapuk dan perlu diselesaikan.

“Apa yang kita ada merupakan bebanan hutang yang perlu kita langsaikan bagi pihak syarikat seperti 1MDB,” katanya.

Menurutnya, di sebalik perkembangan itu, rakyat Malaysia masih bernasib baik kerana menyaksikan perubahan kerajaan pada pilihan raya lepas.

“Kita kini dapat menangani isu hutang dengan sewajarnya.”

Lim turut menegaskan bahawa kerajaan baharu ini bukanlah bersifat ‘mulut manis’ dan rakyat berhak mengetahui perkara sebenar.

Justeru, apa yang penting adalah memaklumkan perkara sebenar berkaitan keadaan kewangan negara bagi membolehkan Malaysia memulakan proses pembinaan semula, katanya.

Kerajaan Pakatan Harapan juga tidak membazirkan sebarang masa untuk memulakan tugas yang diamanahkan dengan seberapa segera.

“Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamed) telah mengumumkan pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kita juga telah menstabilkan harga minyak, mengumumkan Bantuan Sara Hidup Rakyat dan pemberian bayaran khas RM400 untuk penjawat awam Gred 41 dan ke bawah (sempena Hari Raya),” katanya.

Golongan pesara juga tidak terkecuali apabila kerajaan turut mengumumkan bayaran khas RM200.

“Ini membabitkan pembayaran sebanyak RM22 bilion iaitu wang yang dikembalikan semula kepada rakyat. Kita boleh lakukan ini tanpa GST,” katanya.

Mengulas kemajuan masa depan, beliau berkata apa yang penting adalah untuk mengurangkan aspek kewangan dan berjimat.

“Sebagaimana yang Tun Dr Mahathir tekankan, kita juga tidak boleh mengharapkan lagi pemberian habuan secara percuma.”

Ditanya mengenai perancangan kerajaan Pakatan Harapan dan manfaat yang bakal dibentangkan dalam Bajet 2019, beliau berkata : “Biarkan saya tangani dahulu perkara yang berlaku pada tahun ini.

“Kita perlu menelan ubat (pahit), apalagi Perdana Menteri kita adalah seorang doktor. Bagi saya, soal ini (masalah hutang negara) masih boleh dipulihkan.”

- Bernama

Saturday, June 2, 2018

Umno: Kami semua salah, ‘terlalu takut’ tegur Najib skandal 1MDB

Oleh Aliff Fikri Aziz

Polis merampas 72 beg dan 284 kotak dari tiga unit kediaman di Pavilion Residences, Kuala Lumpur pada 18 Mei 2018. — Foto oleh Hari Anggara

PETALING JAYA, 2 Jun ― Seorang pemimpin Umno mengakui kekalahan pada pilihan raya lalu kerana takut menegur Datuk Seri Najib Razak berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata mereka takut melihat Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat apabila mengkritik Najib, perdana menteri waktu itu.

Selain mantan timbalan perdana menteri itu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan anaknya Datuk Seri Mukhriz Mahathir juga membantah skandal itu.

Ketua bahagian Umno Cheras berkata tidak ada yang terkecuali dalam Umno, setiap anggota parti bersalah dalam hal itu, lapor Malaysiakini.

“Semua bertanggungjawab. Kami wajar dipersalahkan kerana tiada yang bersuara seperti Mahathir, Muhyiddin atau Mukhriz,” kata Syed Ali.

“Kami terlalu takut untuk bersuara, [jadi] kami mendakwa Najib betul dan tiga pemimpin itu mahu sabotajnya. Kami hanya ikut arus.”

Syed Ali, setiausaha Umno Wilayah Persekutuan, mendedahkan beliau tidak berani menegur Najib walau “separuh percaya” dan simpati pada Muhyiddin.

Pemimpin Umno itu mengakui penolakan terhadap Najib memberikan kemenangan kepada Pakatan Harapan tetapi kini terlewat untuk menyalahkan sesiapa.

“Sudah terlambat. Malah ini bukan masanya untuk menyalahkan [orang lain]. Kita sendiri salah kerana tidak bercakap tetapi hanya mengikut...,” katanya.

Rabu lalu, polis menyiasat Najib selama beberapa jam di rumahnya berhubung rampasan wang tunai RM114 juta, 284 beg mewah dan puluhan kotak barangan kemas di pangsapuri mewah pada 18 Mei lalu.

Pada 22 dan 24 Mei, bekas perdana menteri juga disiasat selama berjam-jam oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dana bekas anak syarikat 1MDB yang didakwa masuk ke akaun peribadinya.

Barisan Nasional (BN), termasuk Umno, hanya memperoleh 79 kerusi berbanding Pakatan Harapan 122 kerusi pada pilihan raya 9 Mei. Susulan itu, beberapa pemimpin dan parti komponennya meninggalkan gabungan tersebut.

Wednesday, May 23, 2018

1MDB muflis, tak mampu bayar hutang - Guan Eng

MyMetro
Utama
Ooi Tee Ching dan Hazwan Faisal Mohamad
LIM Guan Eng ketika sidang media selepas pertemuan bersama Ahli Lembaga 1MDB dan Arul Kanda di Putrajaya.  FOTO Mohd Fadli Hamzah

1MALAYSIA Development Bhd (1MDB) mengesahkan mereka sudah muflis dan tidak mampu membayar hutangnya.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, perkara itu dinyatakan sendiri oleh Pengarah 1MDB kepadanya ketika sesi perjumpaan hari ini.

Pada perjumpaan itu, Guan Eng bersama tiga Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Siti Zauyah Md Desa, Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir dan Datuk Asri Hamidon berjumpa dengan dua ahli Lembaga Pengarah 1MDB, Datuk Norazman Ayob dan Datuk Kamal Mohd Ali.

Selain itu, Menteri Kewangan turut mengadakan perjumpaan dengan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy yang ditemani bekas Ketua Pegawai Kewangannya (CFO), Azmi Tahir dan bekas Penasihat Undang-undangnya, Ivan Chen.

Guan Eng berkata, tujuan perjumpaan itu adalah untuk mengetahui status kewangan 1MDB terutama keupayaan syarikat itu membayar semula hutangnya.

“Kedua-dua pengarah 1MDB mengesahkan bahawa 1MDB sudah muflis dan tidak mampu membayar hutang mereka.

“Bekas CFO, Azmi telah menulis kepada Kementerian pada Mac lalu menyatakan yang 1MDB tidak mampu melangsaikan faedah yang akan berakhir pada April dan Mei ini.

“Bagaimanapun, ketika ditanyakan perkara ini kepada Arul, beliau mengatakan sedang bercuti sehingga tamat kontraknya pada Jun ini. Justeru beliau mendakwa tidak tahu menahu menganai kedudukan kewangan syarikat,” katanya pada sidang media di pejabat kementerian di Putrajaya, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mei 2018 @ 7:11 PM

Monday, May 21, 2018

Kerajaan tubuh pasukan khas siasat kes 1MDB

MyMetro
Utama
Zanariah Abd Mutalib
zanariah_mutalib@nstp.com.my
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berucap di perhimpunan pertama bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah

KERAJAAN menubuhkan Pasukan Khas Siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi menjalankan siasatan terperinci berkaitan kes 1MDB, pengesanan dan rampasan aset serta pendakwaan terhadap individu yang melakukan kesalahan jenayah dalam pengurusan syarikat berkenaan.

Pejabat Perdana Menteri hari ini memaklumkan, pasukan khas berkenaan ditubuhkan selepas dipersetujui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, pasukan khas itu akan diketuai bersama bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed; Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dato Seri Mohd Shukri Abdull dan bekas pegawai kanan Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid bin Bador.

"Keanggotaan pasukan ini akan terdiri daripada SPRM, Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia, Bank Negara Malaysia dan beberapa peguam yang mempunyai kepakaran dalam perkara berkaitan.

"Pasukan khas ini akan bertanggungjawab dalam keseluruhan aspek penyelarasan siasatan, pengesanan kewangan dan perolehan aset yang berpunca dari salah laku dan penyelewengan dana 1MDB yang tersimpan atau dilaburkan di dalam dan luar negara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, pasukan khas itu juga bertanggungjawab untuk mendapatkan kerjasama dengan pelbagai pihak agensi penguatkuasaan Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura, Kanada dan lain-lain negara yang berkaitan.

"Kerajaan berharap penubuhan pasukan khas ini dengan pembabitan pelbagai agensi penguatkuasaan akan berupaya mengembalikan maruah negara yang tercemar selama ini, selain mengembalikan wang dan aset rakyat Malaysia berikutan skandal kleptokrasi hasil salah laku dan penyelewengan dana 1MDB," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mei 2018 @ 2:45 PM

Tuesday, May 15, 2018

Laporan audit 1MDB kini Dokumen Terbuka

Rohaniza Idris
roha@nstp.com.my

MyMetro
Utama

PEJABAT 1MDB di Kuala Lumpur. FOTO arkib NSTP

LAPORAN Pengauditan Syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang dikelaskan sebagai Rahsia pada 22 Januari 2016 kini dikategorikan semula sebagai Dokumen Terbuka.

Perkara itu disahkan Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad dalam satu kenyataan dua perenggan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya,beliau merujuk Laporan Pengauditan 1MDB yang dikelaskan sebagai RAHSIA pada 22 Januari 2016 dan dibentangkan kepada

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC) pada 4 Mac 2016.

“Saya memaklumkan bahawa Laporan Pengauditan 1MDB itu telah dikelaskan semula sebagai Dokumen Terbuka dan Ringkasan

Eksekutif mengenainya boleh didapati di portal Jabatan Audit Negara di www.audit.gov.my,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mei 2018 @ 9:21 PM

Monday, May 14, 2018

Kerajaan siapkan pertuduhan, sebelum tubuh RCI 1MDB

Bernama
Diterbitkan 14 Mei 2018, 9:42 malam


Kerajaan perlu menetapkan pertuduhan yang kukuh terhadap mereka yang terlibat dalam kontroversi berkaitan dana pelaburan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebelum menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Kita tidak boleh terus (menubuhkan) Suruhanjaya Diraja sehingga kita mempunyai beberapa pertuduhan kukuh terhadap mereka.

“Selepas itu, barulah kita mempunyai pilihan untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk meneliti banyak aspek berbeza yang melibatkan 1MDB," kata beliau pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bersama ketua setiausaha kementerian di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, hari ini.

Dr Mahathir menjawab soalan mengenai janji Pakatan Harapan untuk menubuhkan RCI, seperti yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

'Umno belum tentu sah'

Mengenai status dokumen yang sensitif, Dr Mahathir berkata beliau tidak tahu sama ada dokumen tersebut telah dimusnahkan atau dikeluarkan tetapi telah mengarahkan semua kemeenterian bahawa tiada apa-apa dokumen boleh dikeluarkan atau dimusnahkan dari sekarang.

Mengenai usaha mendapatkan pengampunan diraja bagi Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Dr Mahathir berkata ia mungkin tertangguh sedikit tetapi janji untuk membebaskan beliau akan diteruskan dengan beberapa proses undang-undang perlu dipatuhi.

Ditanya kemungkinan Umno bekerjasama dengan HARAPAN, Perdana Menteri berkata Umno tidak boleh berada dalam HARAPAN kerana Umno belum tentu sah atau tidak sah.
- Bernama

Friday, February 2, 2018

Jangan fitnah kata RM42 bilion lesap - PM


2 FEB:   Walaupun mengakui 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menanggung hutang berjumlah RM42 bilion, namun Perdana Menteri melahirkan keyakinan bahawa ia mampu dijelaskan.

“Jangan fitnah kata RM42 bilion lesap. RM42 bilion tak lesap. Itu hutang. Hutang boleh kita lunaskan melalui aset yang lebih.

“Kalau tak betul, kita betulkan. Kalau ada kepincangan kita ambil tindakan,” kata Datuk Seri Najib Razak semasa berucap pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Program Khas Haji PM tajaan Yayasan 1MDB di Masjid Putra di Putrajaya, hari ini.

Sementara itu, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata kerugian jual beli mata wang asing (FOREX) Bank Negara Malaysia yang dilakukan bekas pemimpin negara sebelum ini berjumlah RM31 bilion lebih besar kerugiannya.

“Itu kerugian forex berjumlah RM31 bilion itu lebih besar kerugian kepada negara kita.

“Dalam zaman siapa? Dalam zaman orang yang kata kononnya haji tajaan 1MDB ini tidak mabrur, Tuhan tak terima,” ujarnya.

Kenyataan Najib dipercayai merujuk kepada Pengerusi Pakatan Harapan,Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi perdana menteri pada era 80 an sehingga 2003.

Wednesday, September 13, 2017

Pengkritik guna 1MDB untuk sabotaj ekonomi, kata Najib

Datuk Seri Najib Razak pada Selasa memberitahu komuniti perniagaan Amerika Syarikat (AS) bahawa terdapat kempen untuk sengaja mensabotaj 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan melemahkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi Malaysia.

Berucap pada Majlis Perniagaan AS-ASEAN dan Majlis Makan Malam Perdagangan AS di St Regis Hotel, Perdana Menteri berkata tindakan itu merupakan sebahagian daripada percubaan yang gagal untuk menggulingkan kerajaan sementara menunggu kitaran pilihan raya.

“Saya tahu bahawa sebahagian daripada anda mendengar beberapa cerita yang kurang positif tentang ekonomi Malaysia, terutama mengenai 1MDB.

"Bagaimanapun, saya harus mengingatkan anda bahawa walaupun ada masalah, beberapa ahli politik pembangkang di negara kami memperbesar-besarkannya," kata Najib.

Perdana Menteri berkata daripada menutup isu itu, kerajaan sebaliknya mengarahkan siasatan dijalankan ke ats syarikat itu pada tahap yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara sebelum ini.

Najib berkata beliau mengarahkan supaya syarikat itu dirasionalisasikan apabila nampak jelas syarikat itu gagal.

"Ini berjalan lancar dan banyak aset yang dahulunya dimiliki oleh 1MDB kini berkembang maju," katanya.

Najib sebelum ini mengadakan perbincangan dengan Presiden Donald Trump di White House dalam lawatan kerja tiga harinya ke Amerika Syarikat.

Beliau menggesa komuniti perniagaan supaya tidak membiarkan suara politik pembangkang mengenai perkara itu mengaburkan realiti sebenar.

Perdana Menteri turut memetik ahli ekonomi Dr Bruce Gale sebagai berkata bahawa ekonomi Malaysia terus berkembang pada kadar yang jauh melebihi purata antarabangsa.

Mungkin saya wajar memberitahu anda bahawa Dr Gale ialah pengarang buku baharu bertajuk ‘Economic Reform In Malaysia: The Contribution Of Najibnomics.’

"Namun, saya tidak menaja buku itu, saya jamin dan saya sendiri tidak tahu sesuatu yang dipanggil Najibnomics !" katanya sambil menambah bahawa kemajuan besar telah dibuat dalam beberapa tahun kebelakangan ini di Malaysia.

"Bagi yang ada di sini dan tidak kenal Malaysia dengan baik: datang dan pasti terkejut. Datang dan lihat firma berteknologi tinggi yang telah berpindah ke negara kami, dan syarikat yang dibangunkan sendiri dalam negara yang kami amat banggakan.

"Datang dan lihat infrastruktur dan rangkaian pengangkutan awam baharu yang kami sedang bangunkan di Malaysia," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri menyaksikan majlis Memorandum Persefahaman antara Malaysia Airlines dan Boeing Aircraft Corporation untuk pembelian pesawat dan penubuhan kemudahan Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih di Sepang, berjumlah AS$3.9 bilion

- Bernama

Friday, September 1, 2017

Ekonomi di bawah PM Najib bagus, kata penganalisis

Penganalisis politik berkata langkah pentabdiran Najib menghapuskan subsidi dan melaksanakan GST sebagai sesuatu yang “perlu dan mendesak”. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 September, 2017.

EKONOMI Malaysia di bawah Perdana Menteri Najib Razak sebenarnya berada pada kedudukan yang baik, kata Dr Bruce Gale, tetapi pentadbiran beliau tidak diberikan pujian yang sewajarnya.

Menulis dalam akhbar The Straits Times, penganalisis politik dan ekonomi itu berkata hakikatnya di bawah kepimpinan Najib, dasar-dasar ekonomi mikro Malaysia adalah memadai.

Beliau menyebut langkah pentabdiran Najib menghapuskan subsidi dan melaksanakan GST sebagai sesuatu yang “perlu dan mendesak”, selain penglibatan Malaysia dalam rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik, yang kini sudah diketepikan oleh Amerika Syarikat yang menarik diri selepas Donald Trump jadi presiden.

“Bahawa dasar-dasar tidak popular ini diusahakan ketika ada dua pilihan raya umum (pada 2008 dan 2013) yang melahirkan pembangkang yang kuat juga membayangkan tahap keberanian politik yang jarang ada dalam kalangan pemimpin Malaysia,” tulisnya di akhbar itu hari ini.

Dr Bruce menambah pemerhati politik dan ekonomi Malaysia tidak harus membenarkan isu-isu yang dibangkitkan berhubung skandal korporat, termasuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Felda Global Ventures Capital Sdn Bhd (FGV), mengaburi pandangan mereka tentang aspek lain prestasi ekonomi Malaysia.

Sunday, August 13, 2017

1,100 jemaah haji program 1MDB selamat tiba di Mekah (Video)

SERAMAI 1100 jemaah Haji Program Haji YAB Perdana Menteri telah selamat tiba di Mekah untuk mengerjakan haji dengan empat penerbangan. Ramai jemaah haji program Khas Haji Perdana Menteri melahirkan rasa kesyukuran dan berasa bertuah menjejaki kaki ke tanah suci Mekah .

Program Khas Haji Perdana Menteri yang ditaja Yayasan 1Malaysia Deve­lopment Bhd. (1MDB) menghantar seramai 1,100 orang bagi menunaikan ibadah haji tahun ini.
Jemaah haji yang terpilih itu terdiri daripada imam, ketua kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kese­lamatan Kampung (JKKK) dari seluruh negara.

Kejayaan program ini merupakan bukti komitmen Perdana Menteri dalam memperkasakan syiar Islam di negara ini . Disamping itu ia juga keprihatinan PM membantu rakyat Malaysia mencapai impian mereka untuk menunaikan Haji.
Rata-rata jemaah haji berharap program ini akan dapat diteruskan dan berterima kasih kepada Perdana Menteri dan kerajaan.
Kemudahan penginapan di Maktab amat selesa dan kecekapan Tabung Haji menguruskan jemaah haji amat dipuji dan ia terbaik di dunia.

Ezaruddin Abd Rahman
Ketua Urusetia


Monday, July 24, 2017

Azalina minta pembangkang fokus isu rakyat

Oleh NUR ASLINDA NASIR
 Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Azalina Othman Said meminta pihak pembangkang memfokuskan isu rakyat terlebih dahulu daripada mengitar semula isu yang sama iaitu 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ia berikutan tindakan pembangkang yang mendakwa Parlimen sengaja menyembunyikan keterangan mengenai isu 1MDB.

Jelas Azalina, perbuatan tersebut adalah langsung tidak berasas kerana menuduh kerajaan tidak menjawab satu pun soalan 1MDB di dalam Dewan Rakyat.

“Tindakan Pembangkang memperbesarkan isu ini hanya menunjukkan mereka ketandusan isu untuk dibawa ke Parlimen. Pembangkang seharusnya memberi keutamaan kepada isu rakyat setempat di kawasan masing-masing dan bukannya mengitar semula isu yang sama.

“Saya berharap semua Ahli-Ahli Parlimen khususnya Pembangkang memanfaatkan tempoh 12 hari persidangan ini serta mematuhi Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada hari pertama sidang Dewan Rakyat Penggal Kelima ini terdapat empat soalan mengenai 1MDB iaitu daripada Ahli Parlimen PKR Petaling Jaya Utara, Tony Pua, Ahli Parlimen PKR Kelana Jaya, Wong Chen, Ahli Parlimen DAP Seremban, Anthony Loke dan Ahli Parlimen DAP Segambut, Lim Lip Eng telah tersenarai dalam Aturan Urusan Mesyuarat.

Soalan-soalan yang tidak tersenarai mungkin berada dalam pertimbangan mahkamah atau bercanggah dengan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Awal hari ini beberapa ahli parlimen pembangkang membuat kecoh kononnya soalan mereka telah ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia tanpa alasan yang kukuh.

Bagaimanapun Timbalan Speaker, Datuk Seri Mohamad Ismail Said menegaskan semua soalan yang dibangkitkan adalah ‘subjudice’.

Saturday, July 22, 2017

Saya tidak akan ditangkap sebelum PRU, kata Dr Mahathir

Nawar Firdaws 
July 22, 2017

Pengerusi PH dakwa BN mahu menggunakan skandal dagangan mata wang asing untuk menangkapnya supaya beliau tidak terlibat dalam PRU-14.
PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad yakin beliau tidak akan ditangkap sebelum pilihan raya umum akan datang.

Dr Mahathir berkata walaupun kerajaan Barisan Nasional akan cuba menangkap beliau menggunakan suruhanjaya siasatan diraja (RC) yang ditubuhkan untuk menyiasat kerugian dagangan mata wang asing yang dialami Bank Negara Malaysia (BNM) pada awal 1990-an, beliau percaya akan bebas sehingga PRU-14.

“Mereka bukan sahaja mahu memburukkan saya. Saya fikir mereka mahu tangkap saya supaya saya tidak terlibat dalam pilihan raya umum nanti.

“Apa yang dia mahu ialah singkirkan saya. Setakat ini belum berjaya, tetapi dia akan fikirkan sesuatu,” kata Dr Mahathir, merujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Tapi kalau pun mereka dakwa saya, pendengaran di mahkamah akam ambil masa yang lama. Sementara itu, saya bebas berkempen.

“Saya akan bebas, sehingga pilihan raya umum,” kata ahli politik berusia 92 tahun itu kepada pemberita di majlis rumah terbuka anjuran ahli politik DAP Datuk Zaid Ibrahim hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai RCI yang ditubuhkan untuk menyiasat kerugian yang ditanggung BNM pada 1990-an akibat dagangan mata wang asing semasa beliau menjadi perdana menteri.

Putrajaya antara lain berkata RCI akan mengesyorkan langkah yang perlu diambil terhadap mereka yang didapati terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam skandal itu.

RCI diberi tempoh masa 3 bulan untuk menyelesaikan siasatan mereka dan menyerahkan laporan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, ketika ditanya apakah beliau sedia dengan prospek dihumban ke penjara, Dr Mahathir berkata, “saya tidak boleh buat apa-apa, kalau kedaulatan undang-undang tidak lagi didaulatkan di Malaysia”.

“Orang ramai buat laporan polis terhadap Najib, dan orang itu yang ditahan dan didakwa di mahkamah.”

Dipercayai Dr Mahathir merujuk kepada dakwaan terhadap bekas Ketua Umum Bahagian Batu Kawan Datuk Khairuddin Abu Hassan dan peguam Matthias Chang, yang tahun lalu ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atas dakwaan mensabotaj perkhidmatan kewangan.

Mereka dituduh berbuat demikian selepas membuat laporan polis terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Singapura, Switzerland dan Perancis dan Hong Kong.

Dr Mahathir menafikan dakwaan beliau bertanggungjawab dalam skandal dagangan mata wang asing BNM, dan berkata walaupun sedar beliau perdana menteri ketika itu, BNM bertindak secara bebas pada masa itu.

Dr Mahathir berkata beliau tidak boleh dipertanggungajawabkan di atas kesalahan bank pusat itu.

“Kami siasat, kami siar semua penemuan kami, kami tidak sembunyikan di bawah Akta Rahsia Rasmi. Kemudian, kami bahas di Parlimen, di mana dakwaan salah laku disangkal.

“Jadi, mereka boleh dakwa saya, tetapi tidak boleh tahan saya tanpa sebab,” tambahnya.

Friday, July 7, 2017

Sepanduk jelajah 1MDB di Pulau Pinang malam ini diturunkan

Sheridan Mahavera, Looi Sue-Chern
Persekitaran Dewan JKKK Penaga tempat ceramah jelajah 1MDB dijadualkan berlangsung masih sunyi sepi petang ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 6 Julai, 2017.

JELAJAH Pakatan Harapan (PH) mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bermula dengan langkah sukar apabila sepanduk mengumumkan acara itu di Penaga, Pulau Pinang diturunkan malam semalam.

Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang, Zairil Khir Johari mendakwa ia satu tindakan sabotaj pihak tidak dikenali.

“Sepanduk dan bendera parti dinaikkan awal minggu ini tetapi ia dibawa turun malam semalam.

“Tidak ada satu bendera yang tinggal. Kami tak tahu siapa yang menurunkannya,” Share this quote Share this quote katanya kepada The Malaysian Insight.

Zairil berkata yang mereka akan cuba menaikkan sepanduk dan bendera baru secepat mungkin.

Ceramah itu yang dijadualkan pada jam 9 malam hari ini ialah permulaan kepada jelajah PH Share this quote Share this quote di seluruh negara bagi menjelaskan skandal 1MDB kepada orang Melayu yang tinggal di kawasan pendalaman.

Penceramah akan menjelaskan saman sivil terbaru Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) yang mendakwa wang yang dicuri daripada 1MDB digunakan untuk membeli aset seperti rantai berlian merah jambu 22 karat bernilai AS$27 juta (RM117 juta) untuk isteri “Malaysian Official 1”.

Menteri Kabinet Abdul Rahman Dahlan sebelum ini mengesahkan yang MO1 ialah Perdana Menteri Najib Razak.

Ini ialah ceramah pertama anjuran DAP Pulau Pinang di kawasan pendalaman Melayu.

Lawatan The Malaysian Insight di bandar Kepala Batas mendapati persekitaran masih sunyi di sekitar tempat acara di Dewan JKKK Penaga.

Tiada bendera PH atau sepanduk acara yang bertemakan “Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi”.

Penduduk tempatan Pulau Pinang tidak pasti sekiranya ceramah itu akan berlangsung seperti dijadualkan pada 9 malam. Ada juga yang tidak mengetahui wujudnya ceramah itu.

“Saya dengar kali pertama daripada awak,” Zaidi Idris, 57, memberitahu The Malaysian Insight apabila ditanya sekiranya dia berminat menyertai ceramah itu malam ini.

“Saya berminat untuk dengar tentang skandal 1MDB tetapi saya tidak tahu ada ceramah malam ini. Saya tak tengok ada sepanduk.”

Seorang peniaga, Zuraidah Ahmad,42, pula berkata yang dia berminat pergi ke ceramah itu tetapi dia juga tidak pernah melihat sepanduk mengumumkan acara itu.

Seorang lagi penduduk Penaga yang hanya mahu dikenali sebagai Mohamad, 41, berkata dia ada mendengar ceramah 1MDB, tetapi memandangkan persekitaran masih sunyi menyebabkan dia tidak pasti yang ceramah itu masih akan diteruskan.

“Saya mungkin akan pergi dengar malam ini. Saya pergi ke ceramah BN dan PH untuk dengar apa kata mereka.

“Tentang 1MDB, selalunya orang tidak tahu siapa yang mahu dipercayai kerana satu pihak menafikan salah laku, satu lagi pihak pula kata lain (wujud salah laku),” katanya.

Saturday, July 1, 2017

Pas kesal campur tangan asing dalam isu 1MDB

HABSAH ISMAIL
Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
KOTA BHARU - Pas kesal apabila isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan campur tangan negara luar sedangkan tindakan itu boleh merugikan Malaysia.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, Pas secara jelas menolak 1MDB kerana ia didakwa merupakan satu perniagaan yang salah, sama ada dari sudut syarak atau hukum perniagaan.

“Jabatan Kehakiman (DOJ) berhak untuk melakukan siasatan ke atas siapa yang dia mahu yang melibatkan negara masing-masing termasuk isu 1MDB, tetapi kita rakyat Malaysia tidak boleh terpengaruh dengan apa-apa campur tangan dengan negara asing.

“1MDB ini bukan payah untuk difahami kerana rakyat sudah tahu ia adalah satu perniagaan yang dianggap melibatkan riba dan harta rakyat sebagai jaminan dalam perniagaan itu, malah banyak tadbir urus yang salah, juga ada campur tangan terutama politik,” dakwanya kepada Sinar Harian, di sini, hari ini.

Nik Mohamad Abduh berkata, mencukupi atau memuaskan hati rakyat sekiranya suruhanjaya bebas ditubuhkan, namun apa yang menjadi masalahnya kata beliau, kerajaan dianggap gagal untuk berbuat demikian.

“Mereka bahkan cuba menyembunyikan sesuatu dalam siasatan 1MDB, jadi rakyat sudah boleh buat keputusan bahawa kerajaan BN memang gagal menangani isu 1MDB dan kita tidak perlu campur tangan negara asing.

“Kita tak akan jadikan DOJ sebagai rujukan kerana kita sendiri sudah ada kepakaran untuk menyiasat dan kita yakin isu 1MDB ini boleh disesuaikan dengan cara pembentukan suruhanjaya bebas, malah penubuhan itu sudah dipersetujui semua pihak termasuk pembangkang dan suara rakyat sendiri,” katanya.

Nik Mohamad Abduh yang juga bekas Ketua Pemuda Pas Pusat berkata, hanya BN sahaja yang menolak penubuhan suruhanjaya bebas tersebut, oleh itu segala tangungjawab terhadap isu 1MDB terletak kepada mereka.

“Pas berharap rakyat dapat menilai dengan baik dan menyeru rakyat supaya bangkit memastikan pemerintahan politik kembali ke landasan yang benar dan diurus tadbir dengan baik,” katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-