Friday, August 14, 2015

Sekurang-kurangnya Mukhriz sudi dengar, kata Anina

OLEH NABIHAH HAMID
Wanita Umno Langkawi Anina Saadudin yang baru-baru ini menjadi terkenal kerana video 'Najib kencing' selepas ia menjadi viral berkata beliau gembira kata-katanya kini diberi perhatian. – Gambar fail, 14 Ogos, 2015.

Meskipun menteri besarnya kesal dengan luahan kata-kata kesat yang dilontarkan sewaktu mesyuarat perwakilan, Wanita Umno Langkawi Anina Saadudin, yang menjadi terkenal dalam video "Najib kencing" yang kini viral, gembira kata-katanya didengari dan akan diberi perhatian.

Menyifatkannya sebagai sesuatu yang positif, Anina berkata sekurang-kurangnya Datuk Mukhriz Mahathir sudi memberikan respons.

Katanya, pemimpin Umno yang lain juga seharusnya mengambil serius suara yang dilontarkan akar umbi dan perkara yang dibangkitkan rakyat seluruh negara.

"Bukan sahaja Mukhriz, ini juga isyarat kepada pemimpin Umno yang lain untuk melihat secara serius, bukan sahaja kepada 3 juta ahli Umno, tetapi masyarakat Malaysia yang lain.

"Saya bercakap bukan untuk diri saya seorang tetapi untuk rakyat lain juga," katanya kepada The Malaysian Insider ketika diminta mengulas kenyataan Mukhriz semalam yang beliau akan berusaha memahami mesej di sebalik ucapan Anina itu.

Kata Anina, pemimpin peringkat tertinggi perlu lebih berani menyuarakan ketidakpuasan hati mereka.

"Saya rasa mereka ini, pemimpin Umno ini, mereka pun tahu (masalah yang dihadapi), maka mereka kena suarakanlah," katanya.

Semalam, Mukhriz dilaporkan kesal dengan kata-kata kesat yang dilemparkan Anina terhadap presiden parti Datuk Seri Najib Razak.

Namun, menteri besar Kedah yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno itu tetap mahu memahami mesej yang cuba disampaikan dalam video tersebut.

Video Anina menjadi viral baru-baru ini, menunjukkan Anina yang berucap pada mesyuarat agung bahagian, menggunakan ungkapan seperti "Najib dah kencing tiga juta ahli Umno" – menggunakan slanga yang membawa maksud 'menipu' – dan Najib perlu "dibawa pergi berubat".

Sementara itu, Anina turut mengatakan, beliau tidak dapat membuka akaun Facebook individunya sejak 8 ogos lalu.

Bukan itu sahaja, beliau juga mendakwa tidak dapat mengakses e-melnya sejak beberapa hari lalu.

"Facebook saya tidak boleh buka, sejak 8 Ogos. Saya bagi ucapan dalam pukul 4 petang, Facebook ada masalah pukul 2 pagi (selepas itu).

"Kenapalah nak kacau, kan? Saya bukan siapa-siapa. Ahli biasa Umno sahaja," katanya yang meluahkan kekecewaan kerana gagal masuk ke laman Facebooknya sendiri.

Beliau mengesyaki akaun Facebook miliknya – yang tidak ditetapkan statusnya sebagai 'private' – digodam mereka yang marah beliau membuat ucapan berapi itu kerana ia terjadi tidak lama selepas video itu menjadi viral, walaupun beliau membuat cubaan menukar kata laluan beberapa kali.

Beliau bagaimanapun tidak mengesyaki ia angkara sesiapa.

Selasa lalu, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menasihati Anina agar lebih bersopan santun dalam memberikan teguran, mengatakan teguran terhadap pemimpin perlu dibuat seperti menegur ibu bapa sendiri.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno yang juga menteri pertanian dan asas tani itu turut melarang keras mana-mana bekas pemimpin Umno daripada mengeluarkan kata-kata kesat terhadap perdana menteri.

Menjawab teguran itu, Anina mempertahankan tindakannya, mengatakan perkataan digunakannya dalam video tersebut sudah cukup bersopan dan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sebelum ini menegur secara berhemah tidak didengari malahan dibuang daripada Kabinet bulan lalu. – 14 Ogos, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/sekurang-kurangnya-muhkriz-sudi-dengar-kata-anina#sthash.9LEoUICU.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-