Showing posts with label Datuk Mukhriz Mahathir. Show all posts
Showing posts with label Datuk Mukhriz Mahathir. Show all posts

Saturday, April 30, 2016

Usul pecat Muhyiddin, Mukhriz selepas PRN Sarawak - Nazri

DI KUCHING
Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz akan mengemukakan usul pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir daripada UMNO pada mesyuarat MT parti itu, yang dijadualkan selepas Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11.

Beliau berkata, tindakan Muhyiddin yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri dan Mukriz yang juga bekas Mnteri Besar Kedah untuk bersekongkol dengan parti pembangkang sedangkan mereka masih anggota UMNO, adalah melanggar prinsip UMNO.

"Kebebasan bersuara yang diberikan UMNO kepada mereka selama ini telah disalahgunakan dan ia sudah cukup untuk membuktikan kesalahan mereka berdua," katanya di sini, hari ini.

Nazri yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan berkata, UMNO mengamalkan demokrasi dan membenarkan anggotanya mengkritik namun, kritikan Muhyiddin dan Mukhriz sudah melampaui batasan.

"Selepas pilihan raya negeri ini, kita akan adakan mesyuarat dan saya sendiri akan mengusulkan supaya kedua-dua mereka dipecat. Kita perlu ambil tindakan," katanya.

Nazri diminta mengulas tindakan Muhyiddin, Mukhriz dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menghadiri siri ceramah bertajuk 'Bicara Isu Semasa Selamatkan Malaysia' di Jitra, Kedah, semalam.

Ditanya mengenai tindakan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem menghalang kemasukan individu tertentu ke Sarawak, beliau berkata tindakan itu wajar demi menjaga keharmonian di negeri ini.

Keharmonian di Sarawak pada masa ini perlu diteruskan untuk menjamin kemajuan ekonomi yang berterusan, katanya.

"Jika kita lihat suasana kempen pilihan raya negeri kali ini, ia dijalankan dengan begitu tenang dan bertamadun sekali tanpa kejadian tidak diingini berlaku, jadi mereka ini perlu dihalang daripada menghasut rakyat Sarawak," katanya.

- BERNAMA

Monday, March 28, 2016

Deklarasi Kelantan sokong pecat Muhyiddin, Mukhriz

NIZAM ZAIN
28 MAC 2016
Datuk Seri Mustapa Mohamed.
KUALA LUMPUR - Semua pimpinan Umno Kelantan sebulat suara bersetuju memecat mana-mana pemimpin parti itu yang terlibat dalam usaha penyingkiran Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai perdana menteri.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata keputusan itu dicapai pihaknya menerusi 'Deklarasi Kelantan' sebagai ikrar taat setia kepada presiden parti.

"Ikrar taat setia itu diserahkan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu pertemuan pada Khamis lepas. Deklarasi ini ditandatangani oleh semua ketua bahagian semasa perhimpunan 'Deklarasi Kelantan pada 19 Mac lalu.

"Kami sependapat mereka kena dipecat daripada parti, itu bertulis dalam deklarasi itu bertarikh 19 Mac lalu," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir yang menghadiri Kongres Rakyat anjuran pembangkang di Shah Alam, pada Ahad lepas.

Mustapa juga mengesahkan bahawa veteran Umno, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah turut menandatangani deklarasi, sekali gus menyatakan sokongan kepada usaha mempertahankan kepimpinan Najib.

Friday, August 14, 2015

Sekurang-kurangnya Mukhriz sudi dengar, kata Anina

OLEH NABIHAH HAMID
Wanita Umno Langkawi Anina Saadudin yang baru-baru ini menjadi terkenal kerana video 'Najib kencing' selepas ia menjadi viral berkata beliau gembira kata-katanya kini diberi perhatian. – Gambar fail, 14 Ogos, 2015.

Meskipun menteri besarnya kesal dengan luahan kata-kata kesat yang dilontarkan sewaktu mesyuarat perwakilan, Wanita Umno Langkawi Anina Saadudin, yang menjadi terkenal dalam video "Najib kencing" yang kini viral, gembira kata-katanya didengari dan akan diberi perhatian.

Menyifatkannya sebagai sesuatu yang positif, Anina berkata sekurang-kurangnya Datuk Mukhriz Mahathir sudi memberikan respons.

Katanya, pemimpin Umno yang lain juga seharusnya mengambil serius suara yang dilontarkan akar umbi dan perkara yang dibangkitkan rakyat seluruh negara.

"Bukan sahaja Mukhriz, ini juga isyarat kepada pemimpin Umno yang lain untuk melihat secara serius, bukan sahaja kepada 3 juta ahli Umno, tetapi masyarakat Malaysia yang lain.

"Saya bercakap bukan untuk diri saya seorang tetapi untuk rakyat lain juga," katanya kepada The Malaysian Insider ketika diminta mengulas kenyataan Mukhriz semalam yang beliau akan berusaha memahami mesej di sebalik ucapan Anina itu.

Kata Anina, pemimpin peringkat tertinggi perlu lebih berani menyuarakan ketidakpuasan hati mereka.

"Saya rasa mereka ini, pemimpin Umno ini, mereka pun tahu (masalah yang dihadapi), maka mereka kena suarakanlah," katanya.

Semalam, Mukhriz dilaporkan kesal dengan kata-kata kesat yang dilemparkan Anina terhadap presiden parti Datuk Seri Najib Razak.

Namun, menteri besar Kedah yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno itu tetap mahu memahami mesej yang cuba disampaikan dalam video tersebut.

Video Anina menjadi viral baru-baru ini, menunjukkan Anina yang berucap pada mesyuarat agung bahagian, menggunakan ungkapan seperti "Najib dah kencing tiga juta ahli Umno" – menggunakan slanga yang membawa maksud 'menipu' – dan Najib perlu "dibawa pergi berubat".

Sementara itu, Anina turut mengatakan, beliau tidak dapat membuka akaun Facebook individunya sejak 8 ogos lalu.

Bukan itu sahaja, beliau juga mendakwa tidak dapat mengakses e-melnya sejak beberapa hari lalu.

"Facebook saya tidak boleh buka, sejak 8 Ogos. Saya bagi ucapan dalam pukul 4 petang, Facebook ada masalah pukul 2 pagi (selepas itu).

"Kenapalah nak kacau, kan? Saya bukan siapa-siapa. Ahli biasa Umno sahaja," katanya yang meluahkan kekecewaan kerana gagal masuk ke laman Facebooknya sendiri.

Beliau mengesyaki akaun Facebook miliknya – yang tidak ditetapkan statusnya sebagai 'private' – digodam mereka yang marah beliau membuat ucapan berapi itu kerana ia terjadi tidak lama selepas video itu menjadi viral, walaupun beliau membuat cubaan menukar kata laluan beberapa kali.

Beliau bagaimanapun tidak mengesyaki ia angkara sesiapa.

Selasa lalu, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menasihati Anina agar lebih bersopan santun dalam memberikan teguran, mengatakan teguran terhadap pemimpin perlu dibuat seperti menegur ibu bapa sendiri.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno yang juga menteri pertanian dan asas tani itu turut melarang keras mana-mana bekas pemimpin Umno daripada mengeluarkan kata-kata kesat terhadap perdana menteri.

Menjawab teguran itu, Anina mempertahankan tindakannya, mengatakan perkataan digunakannya dalam video tersebut sudah cukup bersopan dan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sebelum ini menegur secara berhemah tidak didengari malahan dibuang daripada Kabinet bulan lalu. – 14 Ogos, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/sekurang-kurangnya-muhkriz-sudi-dengar-kata-anina#sthash.9LEoUICU.dpuf

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-