Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Friday, April 8, 2016

Fattah: Adun Pas terikat dengan Baiah

MOHD ZAILANI ABD RAHMAN
KOTA BHARU - Dakwaan mengatakan terdapat 10 wakil rakyat Pas yang akan keluar parti sekiranya Adun Salor Datuk Husam Musa dipecat dari Pas adalah tidak lebih daripada ugutan sia-sia.

Bekas Pengarah Strategi Pas Kelantan, Abdul Fattah Haron berkata, semua wakil rakyat Kelantan yang ada merupakan mereka yang matang dan jitu dalam politik selain mempunyai pegangan yang kuat.

Katanya, propaganda dan perang saraf yang dilakukan oleh pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Wan Rahim Abdullah akhir-akhir ini sudah tidak lagi menyengat kerana ia diselaputi dengan rasa kecewa, cemburu dan dengki dengan kedudukan Pas Kelantan.

“Makin banyak pemimpin Amanah menyerang parti dan kerajaan Kelantan, makin ramai yang bersimpati dengan parti dan kerajaan Kelantan, pemimpin Amanah yang menyerang perkara-perkara yang tidak munasabah dan tidak masuk akal oleh rakyat Kelantan sehingga menjadikan setiap patah yang dikeluarkan pemimpin Amanah ditolak oleh rakyat,”katanya kepada Sinar Harian semalam.

[ARTIKEL BERKAITAN: ‘Saya tidak berpengaruh’, kata Husam]

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Wan Rahim yang mendakwa sekiranya Husam dipecat, 10 Adun akan bertindak keluar parti dan menyertai Amanah.

Fattah yang juga Yang Dipertua Pas Rantau Panjang berkata, Wan Rahim sudah pasti sedar bahawa setiap wakil rakyat Pas mempunyai semangat wala yang tinggi selain terikat dengan Baiah yang dilafazkan.

"‎Sebab itu Husam tidak mahu keluar parti dengan secara sukarela walaupun tingkah lakunya seolah-olah sengaja memberi ruang kepada Pas untuk bertindak membuangnya.

“Sikap matang AJK Disiplin bertindak dengan melambatkan-lambat pengumuman tindakan terhadap Husam itu adalah satu tindakan yang matang dan bijak sehingga menyebabkan Husam dan Wan Rahim sendiri serba salah dan tertekan,” kata bekas Adun Bukit Tuku itu.