Wednesday, June 24, 2015

Bekas hakim Mahkamah Tinggi Syariah Perak bakal sambut raya di penjara

Hassan Basri ketika Mahkamah Sesyen Ipoh menjatuhkan hukuman penjara 19 tahun dan denda RM210,000 atas tujuh tuduhan rasuah pada Disember 2010. - Foto laman blog MB Online

PUTRAJAYA, 24 Jun:

Gara gara rasuah, bekas hakim Mahkamah Tinggi Syariah Perak, Hassan Basri Shafie bukan sahaja terpaksa menyambut Aidilfitri tahun ini dalam penjara, malah akan menghabiskan sekurang-kurangnya enam tahun di balik “tirai besi”.

Ini kerana pagi tadi Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun ke atasnya setelah disabitkan bersalah dalam tujuh kes rasuah.

Hassan Basri, 61, yang gagal dalam rayuan terakhirnya untuk mengetepikan sabitan terhadap tujuh tuduhan rasuah, dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman.

Panel tiga anggota Mahkamah Rayuan yang dipengerusi Hakim Datuk Wira Mohtaruddin Baki sebulat suara menolak rayuan Hassan Basri untuk mengetepikan sabitannya setelah mendapati ia adalah wajar.

Tempoh hukuman penjara bagaimanapun dikurangkan sebanyak empat tahun, berbanding hukuman asal sebelum ini 10 tahun.

Selain itu, Mahkamah Rayuan juga mengekalkan denda sebanyak RM210,000 yang dikenakan ke atas beliau oleh Mahkamah Sesyen.

Hasan Basri juga bernasib baik kerana panel yang turut dianggotai Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dan Datuk Seri Zakaria Sam memerintahkan hukuman penjara antara satu hingga enam tahun bagi setiap kesalahan yang dilakukan berjalan serentak.

Hukuman ke atas Hassan Basri, yang kelihatan tenang ketika keputusan dibacakan diperintahkan berkuatkuasa mulai hari ini.

Beliau sebelum ini bebas dengan jaminan RM105,000 dengan dua penjamin sementara menunggu keputusan mahkamah Rayuan hari ini.

Terdahulu, bekas hakim Mahkamah Tinggi Syariah itu didakwa atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah daripada dua individu.

Seorang daripadanya terbabit dalam dua kes bernikah tanpa melalui prosedur yang betul, manakala satu lagi berkaitan pemulangan wang jaminan dalam kes berkaitan minum arak serta menggalakkan perjudian.

Semua kesalahan berlaku di beberapa lokasi di Perak antara 6 Ogos 2006 dan 15 Aug 2007.

Mahkamah Sesyen Ipoh pada 14 Disember 2010 mensabitkan beliau bersalah dan menjatuhkan hukuman 10 tahun penjara.

Sebelum Mahkamah Rayuan, Hassan Basri membuat rayuan di Mahkamah Tinggi namun gagal apabila mahkamah mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen.

Hassan Basri dipercayai hakim syarie pertama di negara ini yang disabitkan bersalah melakukan rasuah.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/06/24/bekas-hakim-mahkamah-tinggi-syariah-perak-bakal-sambut-raya-di-penjara/#ixzz3dyYupCsw

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-