Masa depan parti yang pernah menguasai Malaysia selama lebih 6 dekad itu semakin suram, dengan pemerhati menjangkakan kejatuhannya tidak lagi dapat disekat.
Satu masa dulu dikenali sebagai 'abang besar' dalam kerajaan, Umno kini berdepan risiko dikuburkan pada PRU akan datang.
Projek terbaru PKR untuk memastikan presidennya Anwar Ibrahim kekal sebagai perdana menteri selepas pilihan raya umum ke-16 mengundang pelbagai persoalan mengenai masa depan Umno, parti yang pernah menjadi platform utama semua perdana menteri Malaysia.
Pemerhati dan bekas pemimpin parti berkata, kempen PKR untuk menjadi dominan dalam kerajaan memberikan petanda buruk terhadap masa depan Umno.
Parti yang pernah diberi jolokan "abang besar" ketika di tampuk kuasa selama enam dekad itu, kini dilihat "menumpang" di bawah kerajaan diketuai Pakatan Harapan (PH), hasil 26 kerusi yang mampu dimenanginya pada PRU15 lalu.
Bekas setiausaha eksekutif Barisan Nasional Pulau Pinang, Azizi Safar berkata langkah PKR itu tidak mengejutkan, kerana parti itu ditubuhkan dengan matlamat utama "menenggelamkan".
"Itu fakta sejarah," Azizi, yang masih ahli Umno, memberitahu MalaysiaNow.
"Jika PKR mahu jadi parti politik utama negara, tiada ruang untuk Umno bangkit semula sebagai parti politik utama negara sekiranya Umno kekal jadi penumpang dalam 'kapal PH'."
"Kapal PH" yang dimaksudkan itu ialah "kerajaan perpaduan", kerjasama politik dijalinkan selepas PRU15 yang menyaksikan BN setuju menyokong Anwar sebagai calon perdana menteri berikutan keputusan parlimen tergantung.
Langkah Pengerusi BN dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi itu dilihat sebagai talian hayat terakhir untuk Anwar selepas berdekad berjuang untuk jawatan tertinggi itu.
Pada konvensyen khas PKR Ahad lalu sempena ulang tahun ke-25 penubuhannya, timbalan presidennya Rafizi Ramli mengumumkan gerak kerja parti yang mahu meneruskan kepimpinan Anwar sebagai perdana menteri sehingga PRU16.
"Keseluruhan kepimpinan dan kekuatan parti akan mula digerakkan untuk turun ke negeri-negeri secara berkala dan diperturunkan ke cabang-cabang menandakan persediaan untuk PRU-16 bermula pada hari ini dengan sasaran lengkap.
"Insya Allah persiapan yang bermula dua tahun lebih awal ini akan memastikan Anwar Ibrahim kekal sebagai Perdana Menteri selepas PRU yang akan datang," kata Rafizi.
Anwar pula berkata PKR mahu menjadi "gergasi'dalam sistem politik negara", walaupun parti itu hanya mempunyai 31 daripada 82 kerusi PH di Dewan Rakyat.
Sokongan terhadap Umno, parti yang memimpin BN ketika gabungan itu menguasai kerajaan dengan majoriti dua pertiga, mula merosot sejak 1999, walaupun dapat pulih seketika pada 2004 pada PRU pertama selepas Abdullah Ahmad Badawi menggantikan Dr Mahathir Mohamad.
Bagaimanapun, pada 2008, Umno menerima pukulan dari gabungan PAS-PKR-DAP dikenali sebagai Pakatan Rakyat, dan trend tersebut diteruskan pada 2013 sehingga akhirnya hilang kuasa pada 2018.
PRU15 pada November 2022, penolakan pengundi Melayu menyaksikan kekalahan paling memalukan bagi Umno, dengan hanya menang 26 kerusi di bawah BN.
Tahun lalu, pilihan raya negeri di Pulau Pinang, Selangor, Kedah, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan meninggalkan Umno dengan hanya 19 kerusi di enam negeri itu, daripada 108 yang ditandinginya.
Isham Jalil
Isham Jalil, bekas jurucakap Umno yang semakin lantang bersuara sejak dipecat Disember lalu, meramalkan Umno akan hilang semua kerusi parlimennya di Semenanjung Malaysia jika kerjasama dengan PH diteruskan."Jika dan bila ini berlaku, Umno hanya akan menjadi parti satelit kepada PH dan DAP, serta hanya mampu bergantung kepada pengundi bukan Melayu untuk kekal sebagai sebuah parti politik.
"Akar umbi Umno tidak mahu mengikuti Umno Zahid," kata Isham, salah seorang penyokong setia bekas perdana menteri Najib Razak, kepada MalaysiaNow.
Sekiranya tidak bekerjasama dengan PH, apakah pilihan Umno?
"Umno kena bekerjasama dengan parti-parti yang sealiran dengannya seperti Perikatan Nasional. Untuk terus bersama PH, ini sukar kerana orang Melayu masih enggan menyokong DAP," kata Ahmad Atory Hussain, pemerhati veterab politik Melayu, merujuk kepada DAP yang mendominasi kerusi PH.
Azizi menjangkakan jumlah kerusi ditandingi Umno akan semakin mengecil sekiranya masih bersama PH.
"Ini mengecilkan lagi peluang Umno untuk menang lebih banyak kerusi."
Bagi Isham, tidak banyak yang boleh membantu parti tersebut selagi bekerjasama dengan PH.
"Ia tidak lagi menjadi parti yang berjuang untuk orang Melayu seperti tujuan asalnya, tetapi parti yang mengikut DAP dan PKR," kata Isham.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.