Klik kelaman FB Wak Labu Farm

Saturday, July 2, 2016

Terimalah saya ganti Muhyiddin, kata Ismail

Anggota UMNO Bahagian Pagoh perlu menerima kenyataan selain memahami sistem organisasi parti yang memerlukan pengganti jika seseorang pemimpin dipecat, kata Pemangku Ketuanya Ismail Mohamed.

Beliau berkata adalah menjadi lumrah berlakunya pemindahan tampuk kepimpinan dalam organisasi jika seseorang ketua dalam organisasi terbabit sudah tiada.

"Apabila (Ketua UMNO Bahagian Pagoh) Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat (daripada parti pada 24 Jun lepas), kena faham ... jika ketua tiada, akhirnya (diturunkan) kepada timbalan dan jika timbalan dipecat pun, akhirnya (diturunkan) kepada naib ketua.

"Kita perlu terima hakikat ini dalam organisasi ... pemimpin tidak selamanya di situ (memegang jawatan) kerana satu hari nanti orang lain sudah tentu akan mengambil alih," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Pasar Tani Khas Menjelang Aidilfitri di Pasar Tani Datin Halimah, Larkin, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Kumpulan Bertindak UMNO Pagoh (KBUP) Datuk Zaaba Aman yang menggesa UMNO bahagian terbabit digantung segera atau diambil alih oleh UMNO Pusat bagi memastikan kawasan tersebut 'bersih' dan tidak dijadikan platform untuk menyokong perjuangan individu.

Ismail meminta semua pihak untuk memahami bahawa perjuangan anggota bahagian tersebut adalah kerana parti dan bukannya kerana individu.

- Bernama