Thursday, January 1, 2015

2014 tahun yang paling mencabar dalam karier - Najib

Najib berkata pada tahun depan, keutamaan kerajaan adalah untuk proses pemulihan untuk membina semula infrastruktur, perniagaan dan kediaman yang rosak atau hilang. - Foto Blog NajibRazak.com

KUALA LUMPUR, 31 Disember:

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak menyifatkan tahun 2014 merupakan tahun yang paling mencabar dalam kariernya sebagai pemimpin negara.

Beliau berkata, dalam tempoh beberapa bulan sahaja, negara telah kehilangan 93 rakyat Malaysia susulan tragedi pesawat MH370, MH17 dan seterusnya menjadikan Malaysia tumpuan dunia.

“Bukan sekali, malah dua kali. Kehilangan MH370 dan kemusnahan MH17 adalah sebahagian daripada sejarah Malaysia tahun ini. Saya turut bersedih dengan kehilangan insan tersayang mereka. Seperti rakyat Malaysia, saya juga turut berduka dengan tragedi ini.

“Rakyat Malaysia bersatu ketika menerima dugaan ini. Dalam menghadapi dua dugaan besar ini, kita bersatu,” ujarnya menerusi perutusan Tahun Baru 2015 di laman webNajibRazak.com.

Dalam perutusan berkenaan, Najib turut memuji tindakan semua pihak dalam bertindak balas terhadap krisis yang melanda.

“Kita tidak dapat memperbetulkan semuanya, tetapi apabila MH370 hilang, kita mampu mengumpulkan semua 26 negara, termasuk China dan Amerika Syarikat dalam pencarian yang meliputi hampir separuh dunia. Apabila Malaysia meminta, dunia menjawab.

“Selepas beberapa bulan terpalit dengan tragedi MH370, apabila negara berdepan dengan zon konflik, Malaysia mampu untuk mendapatkan kejayaan yang tidak mampu dikecapi oleh negara lain iaitu mendapatkan semula badan dan kotak hitam pesawat MH17,” katanya.

Katanya, pada penghujung tahun ini pula, negara ditimpa ujian sekali lagi apabila negeri di Pantai Timur dan utara mengalami banjir yang dahsyat.

“Kita sudah biasa dengan banjir di Malaysia tetapi saya terkejut dengan keadaan banjir pada kali ini. Skala kemusnahan yang berlaku sungguh besar dengan ramai mangsa mengalami penderitaan yang teruk.

“Tumpuan utama kerajaan ketika ini adalah untuk membantu mereka yang memerlukan dengan menyalurkan bekalan makanan dan bantuan kepada terkandas atau kehilangan tempat tinggal termasuk bantuan kewangan,” ujarnya.

Menurutnya, pada tahun depan, keutamaan kerajaan adalah untuk proses pemulihan untuk membina semula infrastruktur, perniagaan dan kediaman yang rosak atau hilang.

“Kita harus pastikan pembangunan yang kita lakukan adalah mesra alam supaya banjir yang bakal terjadi pada masa hadapan tidak seteruk tahun ini atau lebih buruk,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-