Friday, January 9, 2015

Adakah pemecatan di Harakah akan cemarkan imej berprinsip PAS?

oleh Pasukan theantdaily

KOMEN: Keputusan PAS untuk menamatkan kontrak dua editor kanan akhbar rasminya, Harakah, serta meminta ketua pengarangnya, Ahmad Lutfi Othman yang sedang bercuti sakit, untuk meletakkan jawatan telah menimbulkan tanda tanya di media sosial, terutamanya dalam kalangan penyokongnya.

Penamatan ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penyokong setia parti itu, yang ramai melihatnya sebagai tidak perlu.

Menurut sebuah laporan Malaysiakini pada 6 Januari, langkah itu dikaitkan dengan beberapa artikel yang ditulis oleh abang Ahmad Lutfi, Dinsman – yang juga merupakan seorang penulis terkenal – yang mengkritik kepimpinan ‘ulama’ PAS. Ahmad Lufti telah dimaklumkan mengenai 'keputusan' yang dibuat oleh lembaga pengarah Harakah itu, seminggu yang lalu.

"Atas faktor kesihatan, beliau dinasihatkan berhenti dan ditawar 'pencen illat' dengan bayaran separuh gaji oleh PERKESO (Pertubuhan Keselamatan Sosial). Bagaimanapun beliau menolak tawaran itu dan merayu agar terus diberikan kerja itu," kata sumber kepada Malaysiakini, yang tidak mahu namanya disiarkan.

Menurut sumber itu lagi, ahli lembaga pengarah Harakah yang dipengerusikan oleh Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali akan membincangkan perkara itu semula pada mesyuarat mereka Februari akan datang.

Ditanya siapa bakal mengetuai lidah rasmi PAS itu tanpa Lutfi, sumber itu memaklumkan masih tiada keputusan dibuat. Timbalan ketua pengarang kumpulan Harakah kini disandang oleh Taufek Yahya.

Susulan dengan tindakan drastik itu, sebuah laman FB Madrasah Seni membuat kenyataan untuk menganjurkan Himpunan Solidariti untuk kawan-kawan di Harakah sempena program Baca Puisi Bulanan dan derma untuk mangsa banjir di Kelantan di Madrasah Seni (Jalan Gombak, Kuala Lumpur) pada 9 Januari ini.

Selain itu, pihak pengurusan Madrasah Seni membantah keras tindakan tersebut menerusi satu kenyataan dikeluarkan Dinsman, "Hari ini pimpinan PAS jadi tidak boleh ditegur. Tegur saja terus melenting dan gunakan kuasa apa yang ada untuk hentikan teguran. Saya ingatkan allahyarham Tan Sri

Azizan Razak (bekas menteri besar Kedah) saja yang macam itu dulu. Rupa-rupanya kebanyakan ulama yang ada dalam PAS sekarang pun macam itu juga. Maka tersingkirlah Datuk Tarmizi Md Jam dan Roslan Hamid daripada Harakah, dan Ahmad Lutfi Othman pun diminta supaya berhenti.

Pemberhentian di Harakah itu juga mendapat perhatian rakan-rakan dalam Seniman Paksi Rakyat (Paksi). Maka Paksi yang kebetulan sedang membuat persiapan untuk memulakan program Baca Puisi Bulanan di Madrasah Seni (Jalan Gombak, Kuala Lumpur) pada 9 Januari ini, mendapati waktunya sangat sesuai untuk menunjukkan solidariti kepada rakan-rakan di Harakah tersebut.

Lalu diputuskan, di samping meraikan penyair Chan Yong Sin dengan antologi puisi “Bebas” yang ditulisnya sewaktu dalam tahanan ISA selama 11 tahun itu, majlis itu juga akan meraikan Ahmad Lutfi dan rakan-rakan wartawan Harakah yang dianiaya.

Selama ini, Pakatan Rakyat, termasuk PAS, mengkritik Barisan Nasional kerana tidak menghormati kebebasan bersuara dan menyalahgunakan Akta Hasutan dan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak.

Tetapi sekarang, PAS sedang bertindak dengan cara yang sama.

- See more at: http://bm.theantdaily.com/Terkini/Adakah-pemecatan-di-Harakah-akan-cemarkan-imej-berprinsip-PAS#sthash.80wktmwk.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-