Friday, January 9, 2015

Syarikat tempatan terbitkan program pendidikan seks melalui TV web

Pengacara program pendidikan seks "Popek-Popek", June Low. - Foto www.popteevee.net

KUALA LUMPUR, 9 Januari:

Ketika kehangatan topik sama ada pendidikan seks wajar diperkenalkan dalam kurikulum sekolah di negara ini sudah reda, sebuah syarikat tempatan muncul dengan ‘inisiatifnya’ untuk mendidik remaja Malaysia tentang perkara itu melalui TV web miliknya, Pop Tee Vee.‎

Orang ramai boleh menonton program bernama “Popek-Popek” yang disiarkan dalam bahasa Melayu itu, di PopTeeVee.net dan YouTube.com/popteevee.

Program sebanyak 12 episod itu, dikendalikan pendidik kesihatan seksual, June Low yang dikatakan akan menjawab segala pertanyaan mengenai seksual dengan cara menghiburkan.

Program itu dikatakan akan ke udara dua minggu sekali, pada jam 11 pagi.

Episod pertama selama 3 minit 21 saat telahpun dimuat naik ke laman sosial YouTube, pada 6 Januari lalu dengan judul “Popek-popek: Apa itu dara.”

Dalam episod itu, seorang pemanggil wanita bertanya mengenai dara dan penggunaan tampon.

Low yang turut dibantu seorang artis lelaki bernama Sudarshan, memberi penjelasan secara terperinci kepada pemanggil.

Antara lain, Low menjelaskan, selaput dara bukan hanya boleh rosak semasa melakukan aktiviti seksual, tetapi ia juga boleh koyak ketika melakukan aktiviti fizikal yang lasak.

Sudarshan pula dilihat membantu Low dengan melakukan demonstrasi, bagi menjelaskan persoalan tersebut.

Di penghujung episod pertama itu, Low menjelaskan, penggunaan tampon tidak akan membuatkan dara seseorang wanita itu terkoyak, tetapi ia hanya akan menarik sedikit permukaan selaput dara.

Low berkata, soalan yang dianggap remeh berkaitan seks perlu diambil berat, kerana ia adalah sebahagian pendidikan seks yang baik untuk negara.

Sudarshan bertindak selaku pembantu kepada Low, dalam program pendidikan seks yang dirakam dan dimuat naik ke laman web Pop Tee Vee dan juga YouTube. – Foto www.popteevee.net

Menurutnya lagi, program pendidikan seks melalui Pop Tee Vee diwujudkan, sebagai tindak balas terhadap kekurangan pendidikan seks berkualiti di negara ini.

Melalui laman web www.popteevee.net, terdapat satu sinopsis atau ringkasan berkaitan program itu untuk mempromosikan program pendidikan seks berkenaan.

“Ada soalan mengenai sex? Memperkenalkan siri pendidikan seks Popek Popek – rancangan kesihatan seksual pertama di Malaysia!

“Siri menarik ini menonjolkan bakat pengacara, June Low, pelatih pendidikan seks; dan Sudarshan, artis hiburan tempatan.

“Pasangan pengacara ini memberi jawapan jelas kepada pelbagai soalan penonton dengan gabungan info pendidikan seks yang bertemakan hiburan.

“Apa lagi, dapatkan jawapan yang anda perlukan dan harungilah kehidupan tanpa was was!,” demikian sinopsis program di laman web Pop Tee Vee.

Ketika berita ini disiarkan, The Rakyat Post mendapati, program itu telah dilanggan (subscribed) oleh 23,128 pengguna laman sosial, namun reaksi keseluruhan masyarakat, badan bukan kerajaan (NGO) serta pihak berkuasa belum diketahui.

Klip video episod pertama program berkenaan boleh ditonton melalui https://www.youtube.com/watch?v=j-lJDELPqJ8.

Untuk rekod, Pop Tee Vee adalah satu rangkaian TV web yang merupakan sebahagian daripada syarikat Popfolio Network, yang menggelarkan dirinya sebuah syarikat ‘PopDigital”.

Selain “Popek-Popek“, program lain terbitannya adalah Effing Show, Giler Selamba Jane dan #TanyaYBeee.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/01/09/syarikat-tempatan-terbitkan-program-pendidikan-seks-melalui-web-tv/#ixzz3OKz9IwX9

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-