Oleh Nur Izzati Mohamad
bhnews@bh.com.my
- Mac 18, 2025 @ 7:08pm
Anwar menandatangani plak simbolik perasmian pada Majlis Perasmian Masjid Jamek Perai. - Foto NSTP/Danial Saad
BUKIT MERTAJAM: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa supaya umat Islam mengimarahkan masjid dengan menyuburkan kegiatan ilmiah yang dapat menarik semua golongan terutama wanita dan anak muda.
Perdana Menteri Anwar berkata, Islam amat menekankan penguasaan ilmu agama khususnya Al-Quran yang akan memberikan kebijaksanaan serta keupayaan kepada masyarakat untuk menilai perkara baik dan buruk, sekali gus mengelak perpecahan mahupun perbalahan dalam kalangan manusia.
Sehubungan itu, katanya, pihak pengurusan masjid disaran untuk memperbanyakkan lagi program dan kelas pengajian yang mampu menarik minat masyarakat.
"Ramadan ini, kesempatan kita untuk menyempurnakan ibadah dengan niat yang jelas dan memperbanyakkan amal (termasuk) menguasai Al-Quran dan cuba memahami serta menghayatinya.
"Ini kerana jika Al-Quran ini difahami dan berada di hati ia akan menjadi petunjuk kepada manusia, memberikan kekuatan untuk membuat penilaian dan pencerahan kepada umat.
"Pengetahuan adalah dengan menguasai ilmu yang mana dengan menguasai ilmu, akan ada kebijaksanaan, hikmah dan rahmah yang sebab itu institusi masjid perlu disuburkan dengan kegiatan keagamaan bukan sahaja pada bulan Ramadan," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Masjid Jamek Perai, di sini, hari ini.
Pada majlis berkenaan, Anwar meluluskan peruntukan RM100,000 untuk digunakan pihak pengurusan masjid berkenaan untuk melaksanakan program mengimarahkan masjid antaranya kebajikan anak kariah.
Untuk rekod, Masjid Jamek Perai dibangunkan penduduk kawasan berkenaan pada tahun 1979 dan telah dibaik pulih sepenuhnya pada 29 Mac 2021 bagi menggantikan bangunan lama dengan kos perbelanjaan sebanyak RM5.5 juta.
Mengulas lanjur, Anwar berkata, menerusi penguasaan ilmu agama juga dapat dijadikan sebagai benteng untuk melawan kejahatan yang memporak perandakan hubungan masyarakat.
"Ini yang berlaku dalam polemik negara. Masjid seharusnya menjadi tempat penyatuan dan bukan platform untuk menyemai kebencian atau perpecahan dalam kalangan umat Islam.
"Jangan gunakan Islam itu hanya untuk porak-peranda, menyerang. Bagi dia (orang yang tidak tahu) kefahaman. Apapun sebelum buat keputusan kena ada kefahaman.
"Nak berbeza pendapat boleh tak perlu cerca dan maki hamun serta tak perlu untuk menidakkan orang. Kena ada perbezaan pendapat tapi tidak cepat menghukum," katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata umat Islam juga diminta untuk mempertahankan institusi zakat dalam memastikan nasib dan kepentingan orang miskin terbela.
"Islam membela rakyat miskin melalui zakat dan atas sebab itu jangan ada pecah belah yang boleh menghancurkan institusi zakat," katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.