SEKILAS PANDANG: Sekali-sekala, akan ada individu yang merasakan perlu mendapat perhatian ramai. Namun, daripada membuat apa yang menjadi kebiasaan orang lain, individu itu cuba mendapatkannya dengan membuat khabar angin di internet.
Dahulu, caranya adalah emel berantai dan posting di Facebook. Namun, kebanyakan khabar angin hari ini tersebar melalui Whatsapp dan applikasi pesanan telefon pintar lain. Gosip paling terbaru di kalangan rakyat Malaysia – yang sukakan gosip dan hal-hal sensasi – adalah kononnya tangki minyak penuh boleh menyebabkan kenderaan meletup akibat gelombang haba.
Mesej itu menasihati orang ramai agar mengisi minyak separuh penuh, kerana mendakwa haba akan menyebabkan tangki yang penuh meletup. Katanya lagi, sudah lima kali kes seperti itu terjadi.
Majoriti akan mengabaikan sahaja mesej-mesej sebegini. Namun Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) tidak membiarkannya begitu sahaja dan telah menyangkal mitos tersebut.
Dalam wawancara bersama The Star, Ketua Pengarah Miros Profesor Wong Shaw Voon memberikan penjelasan terperinci, bahawa bahagian kereta direka untuk bertahan dalam pelbagai persekitaran. Katanya lagi, cuaca di Malaysia tidaklah terlalu panas jika dibandingkan dengan Timur Tengah, atau Amerika ketika musim panas.
Khabar angin ini seolah-olah disebarkan sempena musim “balik kampung” Tahun Baru Cina, yang mencapai kemuncak pada 18 Februari lalu. Adakah penyebarnya berharap dapat mencetuskan kesesakan besar-besaran di lebuhraya, jika pemilik kenderaan hanya mengisi minyak separuh penuh?
Apa-apa pun, penyebarnya ternyata berniat jahat. Mungkin inilah masanya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berbuat sesuatu untuk menghentikan, atau sekurang-kurangnya mengurangkan kegiatan menyebarkan khabar angin di media sosial.
Tanpa sebarang bentuk tindakan, khabar angin seperti ini pasti akan terus bertambah. Dengan setiap khabar angin terbaru, kebarangkalian untuknya bertukar menjadi tragedi sebenar juga akan meningkat.
Adakah kita bersedia menghadapi risiko itu?
- See more at: http://bm.theantdaily.com/Terkini/Henti-sebar-khabar-angin-sebelum-jadi-tragedi#sthash.GA1ZDVCX.dpuf
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.