Tuesday, March 3, 2015

Semuanya di tangan UMNO

Oleh Asy Syabli

Usai Multaqa Ulama seMalaysia anjuran ulama PAS minggu lalu, banyak komentar diberikan. Ada yang positif, ada yang negatif, ada yang sinis, ada yang konstruktif dan tidak kurang juga yang destruktif.

Hal itu normal dalam kehidupan manusia moden yang diwarnai dengan keindahan pluralisme kehidupan, pemikiran dan politik. Tambah lagi, ia merupakan acara politik yang diwarnakan dengan terma agama, maka sudah pasti akan mengundang seribu satu reaksi.

Apa yang penting, multaqa tersebut perlu dilihat dalam konteks politik semasa. Ia berlangsung di dalam satu suasana yang begitu kondusif sebagai pencetus perubahan dan juga berpotensi menjadi 'game changer'.

Kematian tokoh penyatu Pakatan Rakyat (PR), Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, tersumbatnya Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke dalam penjara, isu Altantuya yang timbul kembali dan juga konflik PAS-DAP berhubung isu hudud tidak boleh dinafikan menjadi pencorak kepada atmosfera multaqa tersebut. Premis yang perlu dipersetujui, program berkenaan merupakan satu pengisytiharan manifestasi politik.

JIka diamati, laungan agar PAS dan Umno bersatu di bawah payung BN bukan lagi satu klise ataupun laungan kosong. Banjir mega, ataupun tsunami darat yang melanda Kelantan memperlihatkan riak ke arah perbincangan yang lebih intensif di kalangan ramai pihak. Perselisihan DAP-PAS berhubung isu hudud dan pilihan raya PBT menambahkan lagi kekeruhan hubungan di antara dua parti komponen PR. Keadaan ini semakin menjadi mukadimah selanjutnya agar perbincangan mengenai usaha penyatuan Umno-PAS menjadi kenyataan.

Resolusi multaqa sebenarnya mempunyai mesej politik yang sarat. Selain menyatakan kesediaan PAS meninggalkan PR dan juga menyingkirkan mereka di dalam PAS yang berpotensi menghalang usaha berkenaan, multaqa itu juga membawa mesej besar golongan ulama muda PAS kepada Umno.

Mesej tersebut merupakan political bargain dan political challenge PAS kepada Umno menguji sejauh mana kejujuran mereka inginkan perpaduan atau penyatuan di antara dua parti Melayu terbesar itu. Para ulama muda (baca selepas ini sebagai golongan multaqa) PAS dan seluruh pesertanya menekankan kepada umum PAS masih seperti dulu, tidak berubah dan jauh sekali ingin menjadi PAS yang baru seperti yang cuba ditonjolkan oleh sesetengah pihak.

Mereka sebulat suara melaungkan kejituan konservatisme PAS yang bersedia untuk meninggalkan PR, melawan mereka jika perlu dan juga menyingkirkan golongan yang menentang misi tersebut di dalam PAS. Mesej subliminal yang boleh dibaca ialah mesej PAS kepada Umno yang seolah-oleh berkata. "Kami sudah serius untuk bersatu, anda pula bagaimana?"

Maka, dalam keadaan seperti ini, PAS menghulurkan gayung untuk disambut oleh Umno. Umno yang selama ini membawa slogan-slogan dan klise kosong tentang penyatuan Umno-PAS perlu menjawab dengan pendirian dan tawaran yang lebih substantif. Politik merupakan isu survival dan kepentingan. Politik juga adalah berkaitan demand and bargain (penawaran dan permintaan).

Politik juga berkaitan dengan pengurusan kekuasaan. Golongan multaqa amat arif dalam hal ini. Mereka tidak naif seperti yang disangka ramai pihak. Golongan ulama muda PAS, ataupun yang dilihat oleh golongan penentang mereka sebagai self-proclaimed ulama (yang menaikkan diri sendiri sebagai ulama) bukanlah golongan yang buta politik dan Lebai Malang. Amat silap bagi sesiapa yang membaca sedemikian. Sikap memandang rendah terhadap mereka oleh pihak berpengaruh dalam PR inilah yang melukakan hati mereka. Jika dilihat kebanyakan golongan multaqa ini bukan lagi lebai-lebai kampung, kebanyakan ulama muda PAS sekarang ramai yang ahli perniagaan, pakar perubatan tradisional, penasihat syariah bank, pensyarah universiti, pemilik kereta-kereta mewah dan yang paling penting, kebanyakan mereka merupakan politikus realpolitik.

Apa yang paling penting, Resolusi Multaqa merupakan reaksi golongan ini menunjukkan mereka bukan naif. Mereka kini sedang menunjukkan mereka lebih arif untuk maju setapak ke hadapan dan juga mereka sedar kewujudan dan keupayaan mereka untuk menjadi 'Game Changer'.

Sudah tiba masanya Umno juga menunjukkan mereka serius dalam hal penyatuan Umno-PAS. Umno perlu berani membuat tawaran politik sebenar agar golongan multaqa tidak akan dapat menolak lamaran Umno. Sikap simpati Umno terhadap ulama PAS yang mereka dakwa dipinggirkan golongan pro-PR di dalam PAS saja tidak cukup. Liputan setiap hari bermuka-muka tentang para ulama PAS juga tidak cukup untuk membuktikan keseriusan Umno dan juga penghargaan mereka terhadap ulama PAS.

Memberikan ruang di media penyiaran kepada para ulama muda PAS muncul sebagai selebriti juga tidak cukup lagi. Umno perlu benar-benar ikhlas mempelawa PAS ke dalam BN dengan memberikan ruang-ruang strategik untuk PAS bersama Umno memartabatkan Islam di dalam pentadbiran kerajaan selaras dengan dasar PAS.

Dalam hal ini, tidak keterlaluan jika Umno menawarkan jawatan timbalan perdana menteri II kepada presiden PAS sebagai bukti keihklasan Umno untuk memartabatkan ulama dan memperjuangkan Islam bersama PAS.

Tawaran tersebut tidak akan dibuat oleh PR kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang jika PR menang. PAS sedar hal ini, tetapi mereka dikaburi dengan janji Anwar untuk perubahan di Putrajaya. PR perlu sedar, tanpa PR pun, PAS boleh sampai ke Putrajaya bersama Umno, dan tanpa perlu meninggalkan agenda hudud mereka.

Umno juga mungkin perlu menawarkan jawatan timbalan menteri kesihatan kepada ulama PAS yang ramainya pakar jampi dan perubatan tradisional demi menjayakan usaha memartabatkan Islam oleh PAS. Demi meraikan ramainya usahawan produk makanan sunnah dan juga para penasihat syariah di bank-bank di kalangan ulama muda PAS, mungkin Umno juga boleh menawarkan jawatan timbalan menteri kewangan kepada mereka.

Mungkin juga jawatan timbalan menteri besar di Perak dan Terengganu boleh diwujudkan untuk memberikan ruang kepada PAS membentuk kerajaan perpaduan bersama di peringkat negeri bersama Umno. Tawaran seperti ini sudah pastinya akan memberikan kesan besar untuk golongan multaqa menang besar dalam pemilihan PAS pada Muktamar PAS dalam bulan Jun nanti.

Jika keadaan seperti ini berlaku, PR mungkin boleh menarik nafas lega. Mereka tidak perlu lagi menghabiskan waktu untuk menyelesaikan pertelingkahan dalam sesama parti komponen. Adalah lebih baik untuk PR menumpukan usaha membangunkan negeri-negeri di bawah pemerintahan mereka dan juga memantapkan barisan pembangkang.

Mungkin juga PR memerlukan parti-parti lain yang lebih menghayati konsep perubahan yang mereka bawa sama ada daripada parti-parti di Borneo ataupun kewujudan parti baru yang membawa nafas politik baru lebih segar. Biarlah PAS menjadi sebahagian sejarah PR saja. Apa yang pasti rakyat Malaysia memerlukan kedua-dua pemerintah dan pembangkang yang kuat, serta fokus untuk politik yang lebih matang dan sihat.

Jika semakin dihalang PAS daripada bersama BN dan membiarkan mereka terus bersama PR, semakin banyak perkataan kotor dan kebinatangan yang akan dihasilkan golongan multaqa di hari-hari mendatang, dan ini tidak bagus untuk generasi baru yang membaca media dan ingin menceburkan diri ke dalam politik.

Walau apa pun, segalanya terletak di dalam tangan Umno. Golongan multaqa memberikan isyarat yang besar, hanya Umno saja yang masih belum memberikan respons jelas. Bak kata pepatah Inggeris, "The ball is in Umno's court now”. – TMI

Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com/index.php?option=com_k2&view=item&id=252482:semuanya-di-tangan-umno&Itemid=2#ixzz3THUWrfTm
Follow us: @MsiaChronicle on Twitter

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-