Monday, June 29, 2015

Parti baharu : Umno akan beri kelulusan segera

Oleh Timmy Say


Dua pengumuman penting sudah dilakukan Umno minggu lepas. Presidennya Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pemilihan Umno akan ditangguhkan selama 18 bulan.

Pengumuman ini disusuli dengan kenyataan Datuk Ahmad Maslan bahawa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan mengambil tempat sebelum pemilihan Umno.

Ini menimbulkan kemungkinan PRU14 akan bertindih dengan pilihan raya negeri Sarawak tahun depan.

Persoalannya ialah apa yang menyebabkan Najib, meskipun dilanda masalah cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), begitu yakin dengan ramalan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir yang BN akan tewas jika beliau yang menerajui BN pada PRU14 adalah tidak tepat?

Jawapannya ada pada ura-ura parti baru yang bakal ditubuhkan oleh mereka yang tewas dalam pemilihan PAS kali ini.

Umno mengetahui undi kaum Bumiputera dan Melayu terbahagi kepada tiga kelompok – mereka yang menyokong Umno, mereka yang menyokong PAS dan mereka yang tidak menyokong kedua-dua parti itu.

Bagi Umno, majoriti kerusi yang ditandinginya, mereka perlu berdepan dengan PAS di kawasan majoriti Melayu. Di kerusi campuran, Umno berdepan dengan calon PAS ataupun PKR ataupun parti pembangkang di Sabah.

Undi yang diperlukan Umno adalah daripada kalangan mereka yang menyokong Umno. Umno boleh menang jika undi kepadanya bertambah atau undi kepada lawannya berkurang atau terbahagi dalam perang 3 penjuru.

Mengharapkan undi Umno meningkat pada situasi rakyat sedang merana kos sara hidup yang tinggi dan dua parti komponennya MCA dan MIC yang kini tempang adalah perkara yang amat berisiko. Umno hanya mengharapkan undi mereka kekal.

Oleh itu, Umno hanya boleh bergantung kepada pecahnya undi daripada kalangan mereka yang melawannya dan ura-ura penubuhan parti baharu oleh mereka yang tewas di pemilihan PAS baru-baru ini adalah berita yang amat dinantikan dan menggembirakan Umno.

Bagi Umno, parti baharu yang dicanang ini bukanlah satu ugutan kepada undi mereka kerana parti baharu ini terdiri daripada kalangan mereka daripada pembangkang dan sememangnya tidak menyukai Umno, yang dulu bersama PAS tapi kini tidak menyukai PAS.

Mereka adalah daripada “market” penyokong pembangkang yang sama. Keadaan akan berbeza kalau mereka ini parti serpihan Umno yang beralih kepada pembangkang seperti Semangat 46.

Namun soal undi adalah perkara kedua. Perkara yang diintai Umno ialah konflik perebutan kerusi yang bakal dicetuskan parti yang baharu ini di kalangan parti pembangkang.

Umum mengetahui, bab pembahagian kerusi adalah perkara yang paling sensitif di kalangan parti pembangkang.

Kerusi yang sudah ada di tangan (ditandingi di PRU yang lepas) jarang akan diberikan kepada orang lain. PAS, PKR dan DAP masing-masing sudah hampir pasti mengekalkan kerusi yang bakal ditandingi mereka nanti di PRU14.

Jika parti baru ini tertubuh, di manakah mereka akan bertanding?
Apakah DAP dan PKR akan memberikan kerusi mereka kepada parti baharu atas semangat pakatan yang baharu? Sudah tentu tidak. Tiada siapa yang sanggup mengurangkan kuota kerusi masing-masing untuk memberikan ruang kepada parti baharu ini.

Hakikatnya kerusi yang ada itu terhad untuk menjamin satu lawan satu dengan BN. Bagi PKR dan DAP, sudah tentu kerusi yang ada akan diberikan kepada mereka yang berjuang untuk parti masing-masing selama ini.

Contohnya, tidak terlintas PKR sanggup melepaskan kerusi parlimen Bera kepada parti baharu, meskipun ini kerusi yang tewas. Bayangkan kesanggupan mereka untuk berkongsi kerusi yang menang kepada parti yang baharu?

Bagaimana pula dengan kerusi-kerusi DAP? Ini lagi tidak mungkin kerana kerusi-kerusi di DAP menjadi rebutan ramai di kalangan mereka sendiri atas faktor mereka merasakan undi bukan Melayu sudah ada di tangan.

Berdasarkan pengalaman PAS berunding kerusi dengan DAP dan PKR, parti baru ini sebenarnya sedar pada akhirnya mereka terpaksa mengintai kerusi-kerusi yang ditandingi PAS. Ini kerana semua kerusi yang bakal dimiliki oleh parti baharu selepas tertubuhnya ia, adalah juga kerusi PAS pada asalnya.

Masalahnya, parti baharu ini juga tahu PAS sudah tentunya tidak akan berunding dengan mereka ini kerana mereka adalah serpihan kepada parti PAS. Dengan jiwa yang tidak takut pada kekalahan, parti baharu tahu PAS tidak akan berkompromi untuk memberikan kerusi kepada parti baharu.

Berlatar-belakangkan itu, Umno sedang mengintai peluang untuk mengecapi semula rezeki lumayannya sebelum PRU13 yang sering terhasil melalui pertandingan tiga penjuru kerana perebutan kerusi di kalangan parti pembangkang. Pertandingan tiga penjuru dengan perpecahan undi pembangkang hanya menguntungkan Umno.

Oleh itu, diharapkan mereka yang sering memberikan amaran menentang tindakan PAS yang kononnya memberikan hayat kepada Umno, akan tetapi pada masa yang sama ingin menubuhkan parti yang baharu, cuba merenungkan semula siapakah sebenarnya yang bakal membantu mengekalkan Umno di Putrajaya pada akhirnya?

Percayalah Umno akan memberikan kelulusan segera kepada penubuhan parti baharu ini, meskipun pada zahirnya parti baru ini dilihat melawan Umno, akan tetapi hakikatnya ia adalah penyambung nyawa politik mereka. – TMI

Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com/index.php?option=com_k2&view=item&id=295132:parti-baharu-umno-akan-beri-kelulusan-segera&Itemid=2#ixzz3eP4Em9oH
Follow us: @MsiaChronicle on Twitter

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-