KOMEN: Bulan Ramadan tahun ini, seperti mana di tahun-tahun lalu, memang ditunggu-tunggu.
Sejak Rabu minggu lepas, masjid-masjid di seluruh negara penuh sesak menjelang waktu solat Isya’ kerana ramai yang berhasrat menunaikan solat Tarawih selepasnya.
Di Shah Alam, saya saksikan para jemaah melimpah sehingga ke luar masjid serta surau.
Baik yang tua, muda, berkereta mewah, berskuter, samada berjubah, berkurta, berbaju melayu dan berkemeja, semuanya ada.
Ramadan ternyata bulan gemilang buat umat Islam.
Tetapi tidak seperti tahun yang sudah-sudah, bulan mengambang yang menjadi lambang Pas kelihatan sedikit suram.
Pihak progresif dan ulama yang menjadi ahlinya kini kian renggang.
Hari ini, timbul pula berita Kumpulan 18 yang terdiri daripada golongan progresif yang disingkirkan sedang menyusun kembali halatuju perjuangan mereka.
Sebuah parti baru bakal bermula?
Begitulah tajuk yang terpampang di portal-portal berita.
Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad memberi gambaran sekiranya pembentukan parti baru itu berlaku, ia didorong soal perjuangan.
“Jika Pas pada hari ini bersifat keras, tak mampu berkawan dan bekerjasama dengan pihak lain seperti diharuskan syariat Islam maka parti baru perlu dibentuk,” katanya.
Phahrolrazi
Presiden PasMA yang juga ahli Pas, Phahrolrazi Zawawi pula berkata, sebuah parti baru ― yang bakal bertanding di kawasan yang ditandingi Pas dalam pilihanraya akan datang ― akan menggantikan parti Islam itu kerana Pakatan Rakyat (PR) sudah tidak lagi wujud.
Phahrolrazi juga yakin bahawa Pas tidak akan mampu meraih kejayaan besar jika bergerak sendirian, sekaligus menjadikannya parti yang lebih kecil berbanding BN dan “Pakatan Baru”.
Mungkinkah Pas kini di hari-hari terakhirnya di dalam gabungan pembangkang yang dibentuknya bersama PKR dan DAP suatu masa dahulu?
Ke mana haluannya selepas ini? Adakah gerhana bakal melanda?
Saya kira Pas tentunya akan kekal utuh di Kelantan dan Terengganu, tetapi melihat kepada gambaran yang lebih besar, parti itu bakal menghadapi kesukaran di negeri-negeri Pantai Barat Semenanjung.
Bayangkan Pas bertanding tanpa nama-nama yang telah sinonim dengannya sejak 1980an dan 1990an termasuk Salahuddin Ayub, Nizar Jamaluddin, Mat Sabu, Mujahid Yusuf Rawa, Dzulkefly Ahmad, Suhaizan Kaiat dan ramai lagi.
Sukar bukan?
Namun, segelintir ahli berpandangan pemimpin-pemimpin dari golongan ulama mampu mengambil alih tempat mereka.
Maksudnya apa? Zaharuddin Ahmad bertanding di Shah Alam? Khalil Abdul Hadi di Sepang?
Dan siapa pula lawan mereka kelak? Khalid Samad? Hanipa Maidin?
Presiden Pas Abdul Hadi Awang bagaimanapun berkata, ahli Pas dan pemimpin yang memilih untuk menyertai parti baru yang kononnya bakal ditubuhkan akan ‘tenggelam’ bersama-sama dengan organisasi itu.
“Sesiapa yang mengikuti perjalanan bersama atau membaca sejarah PAS, akan menyaksikan gelombang dan liku perjuangan dan hilangnya pemimpin paling tinggi, ahli biasa atau penyokong secara sendirian atau tenggelam bersama parti dan pertubuhan yang dijadikan bahteranya.
“Adapun perkara yang akan datang berada dalam ilmu Allah dan kita diwajibkan mengambil iktibar serta sentiasa berilmu, berdoa dan bertawakkal kepada Allah,” kata Abdul Hadi menerusi satu surat terbuka.
Mungkin ada benarnya, sekiranya kita melihat contoh Berjasa dan Hamim yang ditubuh bekas pemimpin Pas sedikit masa lalu namun akhirnya terkubur.
Namun itu berlaku sebelum kehadiran teknologi maklumat dan laman media sosial yang mampu membantu sesebuah parti politik baru mempromosi kehadiran sambil menarik lebih ramai ahli.
Apa-apapun, sekiranya benar anak bulan progresif bakal menjelma tak lama lagi, saya ucapkan selamat berjaya buat kedua-dua kumpulan ulama serta bukan ulama.
Salam sejahtera buat kalian semua.
- See more at: http://bm.theantdaily.com/Terkini/PAS-menuju-suram-di-saat-rakyat-menunggu-bulan-baru#sthash.O9wrvXJF.dpuf
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.