Friday, June 26, 2015

Skandal pembelian hartanah MARA: Siapa dan berapa jumlah terlibat?

Pendedahan eksklusif yang dibuat oleh akhbar Australia The Age yang bertajuk “Corrupt Malaysia money distorts Melbourne market” bukan sahaja memalukan nama baik Malaysia tetapi juga menimbulkan persoalan integriti dan sejauh mana wang amanah rakyat MARA disalahgunakan.


Menurut laporan tersebut, pembelian hartanah The Dudley yang sepatunya berlaku pada harga RM51.5 juta telah dibeli pada harga RM65.4 juta yang mana lebihan RM 13.8 juta daripada nilai sebenar telah diselewengkan.

Siasatan yang dijalankan oleh National Oversight and Whistleblowers (NOW) terhadap syarikat Thrushcross Land Holding Ltd yang disyaki terlibat dalam transaksi ini mengesahkan bahawa syarikat ini telah didaftarkan di Kepulauan British Virgin (rujuk lampiran). Thrushcross dipercayai dikawal oleh MARA melalui anak syarikat iaitu MARA Inc yang mana salah seorang pengarah utama Thrushcross adalah Dato Mohammad Lan Allani iaitu pengerusi MARA Inc.

Dato Mohammad Lan Allani adalah seorang pemimpin Barisan Nasional yang merupakan bekas Adun Sulabayan yang terletak dalam Parlimen Semporna selama dua penggal dan juga bekas pengerusi Kelab Backbenchers Sabah.

Ini menimbulkan pelbagai kecurigaan dan tanda tanya tentang bagaimana wang amanah rakyat terlibat dalam skandal ini.

1. Mengapa syarikat yang terlibat dalam urusniaga ini iaitu Thrushcross Land Holding Ltd didaftarkan di Kepulauan British Virgin yang terkenal sebagai destinasi untuk berlindung dari cukai? Mengapa ianya tidak didaftarkan terus di Malaysia atau Australia?

2. Selain daripada The Dudley, benarkah MARA melalui MARA Inc juga dikatakan telah mengadakan pembelian tiga lagi hartanah di Australia iaitu 746 Swanston Street, 51 Queen Street dan 333 Exhibition Street?

3. Dan jika benar, adakah jumlah urusniaga 4 hartanah ini menelan belanja RM 244.47 juta dan adakah kesemua urusniaga ini dijalankan pada harga munasabah atau pada harga yang dinaikkan?

Persoalan-persoalan yang dikemukakan ini diharap dapat membantu merungkaikan tuduhan berat yang dilemparkan oleh The Age.

Kami juga menyambut baik komitmen yang diberikan oleh Dato’ Seri Najib Razak untuk menyiasat skandal pembelian hartanah oleh MARA.

Sekiranya tuduhan penyelewengan dalam pembelian The Dudley mempunyai asas, Perdana Menteri perlu mengarahkan siasatan menyeluruh termasuk pembelian hartanah-hartanah yang lain yang secara keseluruhannya melibatkan ratusan juta ringgit wang amanah rakyat.

Rafizi Ramli
Ahli Parlimen Pandan
Pengarah NOW

Akmal Nasir
Pengarah NOW

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-