Friday, June 26, 2015

RM12,000 syarat 'bebas' 6 wanita China, tiga polis dicekup SPRM

Harian Metro melaporkan tiga anggota polis ditahan sepasukan pegawai dan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, di atas urusan membebaskan enam wanita warga China yang melibatkan wang sebanyak RM12,000 petang kelmarin. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 26 Jun:

Tiga anggota polis ditahan sepasukan pegawai dan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, di atas urusan membebaskan enam wanita warga China yang melibatkan wang sebanyak RM12,000 petang kelmarin.

Harian Metro melaporkan tiga anggota terbabit termasuk seorang wanita masing-masing dua berpangkat lans koperal dan seorang sarjan mejar ditahan selepas selesai ‘urusan’ jam 2.30 petang di tempat letak kereta sebuah restoran di Jalan Limau Gedung, di sini.

Sumber SPRM berkata sebelum ditahan, anggota polis wanita berpangkat lans koperal di Bahagian Siasatan Jenayah itu diarahkan pegawai penyiasat kes membawa tahanan terbabit yang ditempatkan di Lokap Berpusat Shah Alam ke Jabatan Imigresen Selangor.

Katanya, anggota terbabit tidak berbuat demikian, sebaliknya membawa tahanan warga asing ke restoran itu untuk diserahkan kepada dua lagi anggota polis untuk dilepaskan atas permintaan lelaki bergelar Datuk.

“Sebaik tiba, dua anggota polis Cawangan Khas (SB) berada di kawasan restoran itu dan menyerahkan wang tunai RM12,000 kepada anggota polis wanita terbabit.

“Selepas menerima wang itu, anggota wanita itu menyerahkan enam wanita berkenaan dan mereka menaiki dua kereta berasingan dibawa lans koperal dan sarjan mejar terbabit sebelum ditahan SPRM,” katanya.

Menurut sumber, pemeriksaan menemui wang tunai RM12,000 disimpan di dalam beg galas anggota wanita terbabit selain satu cop pengesahan terima Jabatan Imigresen Selangor dan satu cop nama pegawai jabatan itu.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati anggota wanita terbabit tidak membawa dokumen penyerahan kepada Jabatan Imigresen Selangor seperti diarahkan pegawai penyiasat kes.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Simi Abdul Ghani ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terbabit dan berkata siasatan lanjut sedang dijalankan.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/06/26/rm12000-syarat-bebas-6-wanita-china-tiga-polis-dicekup-sprm/#ixzz3e8WLxaJF

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-