Friday, July 10, 2015

Harakah, PAS santuni gelandangan sempena Ramadan

 Ditulis oleh Harakah

MELIHAT kepada realiti masyarakat di Malaysia, kota-kota besar di Malaysia seperti di Kuala Lumpur, jangan fikir dengan pertumbuhan dan pembangunan pesat di sekitar negara, lebih-lebih lagi di ibu kota dan beberapa pusat pertumbuhan di Lembah Klang, tiada insan yang hidup menderita dan merana dalam kemiskinan.

Bayangkan wajah-wajah tua terbaring lesu, bangun dari tidur setiap pagi dengan berasa badan dan tulang lenguh dan sakit kerana telah bermalam sekali lagi di kaki lima atau di bangku yang sejuk di pinggir padang awam atau di tepi jalan. Kotak-kotak kosong dijadikan lapik untuk merehatkan jasad dan melelapkan mata.

Apapun, di sinilah kediaman mereka, di sinilah tempat mereka hidup dan mati, di sinilah syurga dan neraka duniawi mereka.
Begitulah sebahagian rutin harian bagi ratusan, mungkin ribuan rakyat Malaysia yang berhadapan dengan keadaan ketidaktentuan tempat tidur dan makanan sepanjang hari dalam hidup mereka. Merekalah yang disebut sebagai golongan gelandangan atau homeless.

Rata-rata mereka mempunyai pekerjaan tetap dan ada yang tidak bekerja disebabkan tidak berpelajaran, sering ditipu dan mempunyai keyakinan yang sangat rendah. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, begitulah hidup seharian. Selepas itu terus berasa lapar dan mula mencari tempat yang boleh mensaji sarapan percuma.
Mohd Noor Mohamad bersama sebahagian gelandangan yang sempat disantuninya.

Satu persoalan yang terlintas, tatkala melihat golongan-golongan tua, tidur di jalanan, entahkan makan entahkan tidak, riak muka mereka gembira tatkala tangan-tangan kami menghulur makanan asasi tetapi masih ramai antara kita mengambil sikap kurang prihatin terhadap golongan yang memerlukan.

Mengikut tinjauan Harakah, terdapat beberapa NGO yang prihatin untuk memberikan makanan kepada golongan gelandangan mengikut hari dan waktu serta 9 lokasi popular pengagihan makanan seperti: 1. Pasar Seni; 2. Dataran Kota Raya; 3. Stesen Bas Klang; 4. Masjid India; 5. Masjid Negara; 6. Bangkok Bank, Jalan Tun HS Lee; 7. Kota Raya; 8. Pudu Sentral; 9. Swiss Garden Hotel, Jalan Pudu.

Di kota metropolitan Kuala Lumpur, menyaksikan lambakan gelandangan menyebabkan golongan ini mudah dilihat. Ibarat burung pulang ke sarang, apabila malam menjelma sekitar jam 11 malam kelihatan susuk tubuh tanpa mengira usia dan jantina membentangkan sekeping kotak, beralaskan sehelai surat khabar dan berbantalkan lengan menjadikan kaki lima jalan sebagai tempat beradu.
Sukarelawan Harakah bergambar beramai-ramai di hadapan pejabat Harakah sebelum bergerak menyantuni gelandangan pada 26 Jun lalu.

Jumlah gelandangan di bandar raya Kuala Lumpur dikatakan semakin meningkat. Mengikut kajian Datuk Bandar pada tahun lalu, semasa itu ada kira-kira 600 gelandangan di sekitar Kuala Lumpur. Namun beliau mengakui pertambahan jumlah gelandangan di ibu kota itu. Menurut bancian DBKL, kini ada kira-kira 1,500 hingga 2,000 gelandangan di Kuala Lumpur setiap hari.

Kawasan tertentu sekitar ibu negara menjadi tempat berkeliaran golongan gelandangan. Kawasan yang menjadi tumpuan mereka ialah Hentian Puduraya, Kompleks Daya Bumi, kompleks Kotaraya, Cahaya Suria di Jalan Tun Perak dan kawasan lapang perhentian bas di Jalan Tun Tan Cheng Lock serta di beberapa tempat lain di kota, seperti di Chow Kit dan juga kawasan sekitar.
Abby Abadi turut serta menyantuni gelandangan pada 26 Jun lalu.

Sempena bulan Ramadan yang mulia ini, Harakah dan PAS turut terpanggil untuk menyantuni golangan gelandangan ini. Banyak pengalaman menarik yang diperolehi ketika Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad yang juga Pengerusi Harakah bersama dengan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohd Noor Mohamad yang juga Bendahari PAS Pusat turun menyantuni gelandangan untuk menyantuni mereka dan mengedarkan sahur mulai jam 1 hingga 3 pagi pada 26 Jun lalu.

Gelandangan di sekitar Pejabat Agung PAS pula sentiasa disantuni oleh Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS (LKKP) untuk berbuka puasa sepanjang Ramadan sejak beberapa tahun lalu.

Antara pengalaman menarik ketika menyantuni mereka adalah tatkala mereka sendiri bercerita bagaimana mereka boleh jadi sebegini. Ada yang disebabkan kerana masalah kad pengenalan, tak diterima kerja dan sentiasa dibuang. Ada pula yang ditinggal keluarga dan bermacam-macam lagi sebab mereka menjadi gelandangan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-