TRIBUT HARI LAHIR: Beliau dikenali ramai, dan digelar dengan pelbagai nama.
Dikenali sebagai doktor yang menjadi perdana menteri paling lama Malaysia, beliau juga penulis muda yang sangat mengambil berat kaumnya, sehingga hampir-hampir mengubah arus perjalanan negara demi menjaga masa depan mereka.
Namanya dikenali merentasi generasi. Pemujanya memanggilnya dengan nama ‘Tun’, darjah kebesaran yang dikurniakan selepas 22 tahun memimpin negara.
Ketika itu, ramai rakyat Malaysia merasakan seperti melihat keajaiban. Dr Mahathir Mohamad, individu yang memegang negara dalam genggamannya sejak sekian lama akhirnya bersara.
Pengaruh dan kuasanya begitu besar, sehingga penentangnya menggelarnya dengan nama ‘Maha Firaun’, merujuk Firaun yang zalim dalam kisah Nabi Musa a.s dalam Quran.
Malah ada yang skeptikal dengan perletakan jawatan itu, mengatakan Mahathir sudah terlalu biasa mengawal segala untuk berhenti begitu sahaja. Apatah lagi anaknya Mukhriz Mahathir masih dalam Umno. Dan bapa mana yang tidak akan membuat yang terbaik untuk membantu anaknya berjaya, terutama jika si anak dilihat akan mengikut jejak langkahnya?
Ketika itu, ramai merasakan Mahathir akan berhadapan kesukaran untuk membiasakan hidup tanpa kancah politik. Tidak keterlaluan jika mengatakan majoriti rakyat Malaysia menghembus nafas lega melihat beliau akhirnya melepaskan kuasa, sekurang-kurangnya secara rasmi.
Hari ini, ketika Mahathir menginjak usia 90 tahun, ramai yang mendendangkan irama yang berbeza.
Di mata mereka, beliau bukan lagi autokrat yang keras dan menindas, tetapi negarawan yang berani memperjuangkan nasib rakyat. Kelantangan dan keberaniannya menentang perdana menteri, terutama dalam isu 1MDB, telah mencetuskan pujaan dan kekaguman ramai.
Popularitinya cukup meluas, sehingga penentangnya dan mereka yang membencinya dulu mula berharap yang beliau akan memulakan cetusan perubahan dalam kepimpinan negara.
Tetapi kita tidak boleh lari dari sejarah dan masa silam. Begitu juga dengan Mahathir.
Namun impian membara seorang bapa terhadap anaknya pun tidak cukup untuk menjelaskan motivasi Mahathir dalam perlawanannya terhadap Najib.
Tindak dan langkahnya, pelbagai pendekatan yang digunakan (serta dakwaan taktik kotornya) dan nekad yang ditunjukkan adalah petanda bahawa ia bukan sekadar untuk menaikkan Mukhriz, tetapi melangkauinya.
Barangkali apa yang kita nampak adalah secebis daripada Mahathir ‘yang sebenar’ – doktor idealistik yang mendiagnosis masalah kaumnya dan menulis ‘Dilema Melayu’ sebagai penyelesaian. Mahathir sejak dulu lagi tidak teragak-agak untuk melawan mereka yang berkuasa, hanya berpandukan keyakinan, keteguhan dan cinta terhadap kaum dan negara.
Usia mungkin menghalangnya, tetapi Mahathir masih menunjukkan semangat dan karisma yang sama, yang membuatkan beliau terus bertahan dan melepas setiap halangan.
Barangkali ini adalah perlawanan terakhir Mahathir – untuk membetulkan setiap kesalahan, membaiki apa sahaja kesilapan. Barangkali beliau mahu menyembuhkan semua penyakit yang dihadapi negara, yang datang daripada pemimpin yang tamak, pentingkan diri sendiri dan korup.
Di matanya, Mahathir benar-benar percaya yang beliau telah mendedikasikan hidupnya untuk Malaysia, dan segala tindakannya adalah demi negara dan rakyatnya. Orang yang memiliki dedikasi sebegitu mustahil akan berhenti sebelum selesai, terutama apabila beliau sendiri bertanggungjawab terhadap sebahagian masalah yang dihadapi Malaysia hari ini.
Apa lagi yang mampu menggerakkan seorang yang berusia 90 tahun seperti Mahathir begitu sekali?
Mahathir bukanlah ‘orang yang baik’, dan beliau tidak pernah cuba menjadi begitu. Beliau tidak berkhutbah tentang ideal yang tinggi dan murni, tetapi mendukung matlamat dan kaedah yang praktikal. Mahathir barangkali hampir-hampir menjadi diktator, tetapi beliau berjaya menjalankan tugasnya.
Mahathir tidak pernah mengaku dirinya sebagai seorang yang mulia. Tetapi sudah tiba masanya kita rakyat Malaysia mengakui bahawa beliau adalah – baik atau buruk – seorang yang luar biasa.
Selamat hari lahir ke-90, Dr Mahathir Mohamad.
- See more at: http://bm.theantdaily.com/Terkini/Suka-atau-tidak-Mahathir-adalah-tokoh-yang-hebat#sthash.PC4fVPgu.dpuf
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.