Sunday, August 2, 2015

Pembunuhan ngeri Gedau, orangutan Borneo

oleh Joe Leong

HIDUPAN LIAR BORNEO: Daripada bumi Borneo tercetus satu kisah sedih tentang orangutan jantan berusia 20 tahun yang ditemui cedera teruk di satu ladang kelapa sawit dan kini telah mati akibat kecederaannya.

Kes ini menunjukkan bertapa kejamnya manusia terhadap hidupan liar. Kepada warga Sabah, orangutan bukan sekadar haiwan liar di hutan rimba. Mereka spesis terancam yang dilindungi undang-undang dan merupakan tarikan para pelancong ke negeri ini.
Orangutan jantan, yang dikenali sebagai Gedau itu mati di Pusat Kuarantin dan Klinik Orangutan Sepilok, berhampiran Sandakan pada 26 Julai, dua minggu setelah ditemui dikelar dan ditikam di ladang sawit kecil di Beluran.

Gedau, yang juga merupakan nama tempat orangutan tersebut ditemui, telah bertarung nyawa sejak 13 Julai apabila dibawa ke klinik oleh Unit Penyelamat Hidupan Liar daripada Jabatan Hidupan Liar Sabah.

Pekerja di ladang sawit berkeluasan 80 ekar di Gedau di daerah Beluran, mendapati kehadiran orangutan tersebut tetapi tidak sedar dia luka teruk sehingga sehari sebelumnya.

Pada ketika itulah, pemilik ladang menghubungi Jabatan Hidupan Liar Sabah dan melaporkan kehadiran orangutan. Pasukan penyelamat bergegas ke kawasan tersebut yang terletak 80km dari Sandakan dan menemui orangutan itu dalam keadaan mengejutkan.

Pemeriksaan yang dilakukan Dr Laura Benedict mendapati, orangutan itu tercedera teruk di bahu kanan dengan luka sepanjang 13cm.

Luka dipercayai disebabkan objek tajam kemungkinan parang, menurut kenyataan Jabatan Hidupan Liar Sabah.

Dahinya juga ditikam dangan objek yang dipercayai bujak atau tombak.

Orangutan itu dihantar ke Sepilok bagi rawatan selanjutnya dan dipantau pasukan doktor haiwan setelah keadaannya stabil. Dr Laura telah merawatnya sebaik mungkin, namun Gedau mati juga akhirnya.

Orangutan merupakan haiwan dilindungi dan spesis terancam mengikut Jadual 1 Bahagian 1 Akta Perlindungan Hidupan Liar 1997.

Syam Sul, pekerja ladang dari Indonesia berusia 38 tahun, kemudian dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Sandakan kerana mencederakan hidupan dilindungi menurut Sekysen 71 Akta tersebut. Dia boleh dikenakan denda RM20,000 atau hukuman dua tahun penjara, atau kedua-duanya.

Hukuman itu dibuat sebelum kematian Gedau dan kini Jabatan Hidupan Liar Sabah ingin merayu bagi hukuman yang lebih berat.

“Kini kes dianggap pembunuhan hidupan yang dilindungi dan bukan sekadar mencederakan, saya telah mengarahkan Pegawai Pendakwaraya membincangkan kes dengan mahkamah bagi merayu hukuman yang lebih berat dikenakan kepada pembunuh orangutan,” ujar William Bya, pengarah jabatan tersebut.

Berikutan kejadian, menteri Pelancongan, Budaya dan Alam Sekitar Sabah Masidi Manjun menggesa komuniti tempatan membantu pihak berkuasa melindungi orangutan.

“Sabah merupakan kawasan yang besar. Kita tidak mampu mengerah pegawai penguatkuasa ke serata pelusuk. Kita perlu orangramai memainkan peranan di dalam melindungi orangutan. Kita kehilangan banyak orangutan. Kita perlu lindungi mereka,” tegasnya.

- See more at: http://bm.theantdaily.com/Terkini/Pembunuhan-ngeri-Gedau-orangutan-Borneo#sthash.pn16YrTs.dpuf

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-