Saturday, October 3, 2015

Akan wujud pecahan undi dengan bertambahnya parti, kata penganalisis politik

Pilihan parti politik yang banyak kepada pengundi pastinya akan mewujudkan pecahan undi terutamanya dalam kalangan pengundi Melayu.

KUALA LUMPUR, 3 Oktober:

Penubuhan Parti Amanah Negara (Amanah) sebagai sebuah parti baru di negara ini, pengundi akan mempunyai banyak pilihan pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Penganalisis Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Kartini Aboo Talib Khalid berkata, pembentukan parti baru itu sendiri melambangkan amalan demokrasi di negara ini, dan pilihan yang banyak kepada pengundi pastinya akan mewujudkan pecahan undi terutamanya dalam kalangan pengundi Melayu.

“Parti politik yang didominasi oleh masyarakat Melayu adalah Umno, Pas, PKR, PSM dan kini Amanah dan dengan kewujudan parti ini, lebih banyak pecahan undi berdasarkan minat dan pilihan pengundi.

“Kita akan melihat pecahan undi dan taburannya membabitkan parti politik Melayu yang mana ia memberi kelebihan kepada pengundi Cina untuk memilih perikatan yang mereka bentuk.

“Ia akan menyebabkan parti Melayu akan bergantung kepada pengundi Cina untuk mendapat undi majoriti bagi membentuk sebuah kerajaan,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata untuk mewakili pergerakan demokratik positif, Malaysia perlu membenarkan mana-mana parti politik baru untuk berkembang tanpa kritikan yang keras.

Sementara itu, penganalisis politik, Datuk Mohamad Agus Yusoff berkata beliau turut berminat dengan landskap politik baru dengan penyertaan Amanah, namun katanya, impak parti berkenaan bagaimana pun masih belum terserlah.

Katanya, Amanah sendiri tidak akan berjaya sekiranya berdiri sendiri namun akan lebih baik sekiranya bersama pakatan pembangkang.

“Parti itu (Amanah) masih belum mempunyai kekuatan untuk menentang Pas di Kelantan dan Terengganu kerana ia mempunyai akar umbi yang kuat.

“Sekiranya Kelantan dan Terengganu berdepan dengan perlawanan tiga penjuru antara Pas, Amanah dan Umno pada PRU akan datang, Umno dilihat lebih berpeluang untuk menang berikutan pecahan undi Pas dan Amanah.

“Namun di negeri lain pula, Amanah dijangka akan terus memberi impaknya,” katanya.

Dalam pada itu, pakar sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkata, melihatkan sejarah politik negara, serpihan parti seperti Amanah gagal untuk menunjukkan signifikannya dalam landskap politik negara.

Parti itu katanya, sering berdepan dengan masalah mengekalkan perjuangan asal mereka dan untuk mendapatkan keyakinan pengundi.

“Rakyat tahu bahawa serpihan parti ini biasaya ditubuhkan oleh mereka yang kecewa kerana tidak dapat maju ke hadapan dalam parti asal mereka.

“Mereka yang sering lompat parti juga dilihat sebagai sebagai seseorang kurang amanah dan oleh itu, tidak boleh dipercayai terutamanya untuk jawatan di mana mereka akan mewakili rakyat,” katanya.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/10/03/akan-wujud-pecahan-undi-dengan-bertambahnya-parti-kata-penganalisis-politik/#ixzz3nSQeMqH5

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-