Tuesday, April 25, 2017

Orang India mahu hak, peluang sama rata, bukan pelan tindakan

FMT Reporters
April 24, 2017

Peguam P Uthayakumar berkata pelan tindakan nampak elok atas kertas tetapi nampak seperti retorik permainan Umno untuk mengasingkan orang India miskin daripada pembangunan arus perdana
PETALING JAYA: Peguam P Uthayakumar mengkritik pelan tindakan untuk masyarakat India, mendakwa ia meneruskan retorik rancangan Umno untuk mengasingkan orang India miskin daripada pembangunan arus perdana.

Beliau berkata tuntutan gerakan hak asasi orang India bertarikh 28 Julai 2007 sudah mengemukakan 18 perkara mengenai hak dan peluang sama rata untuk orang India.

“Orang India yang miskin akan terus mengemis untuk perkara asas ketika Umno terus mempercepatkan permainan politik sogokan yang kini digelar sebagai pelan tindakan untuk masyarakat India,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Kuasa politik alternatif juga tidak banyak membantu kerana mereka nampaknya membiarkan agenda perkauman Umno.”

Uthayakumar mengulas mengenai rancangan pembangunan 10 tahun “Pelan Tindakan Untuk Masyarakat India” yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam.

Antara program yang bakal diperkenalkan adalah skim dana saham RM500 juta untuk isi rumah berpendapatan rendah, pertolongan khas meningkatkan kemasukan pelajar India ke institusi pengajian tinggi, meningkatkan penyertaan orang India dalam perkhidmatan awam, dan sistem kelulusan khas bagi membantu orang Inida yang lahir di Tanah Melayu sebelum 1957 mendapatkan taraf kewarganegaraan.

Uthayakumar berkata pelan tindakan nampak elok “atas kertas”, tetapi satu-satunya langkah ke depan untuk masyarakat India adalah peluang sama rata.

Beliau berkata Najib selaku pengerusi jawatankuasa jemaah menteri tentang isu India pernah berjanji akan menyelesaikan 18 perkara dalam tuntutan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) itu.

Menurutnya, janji itu dibuat selepas Najib membebaskan beliau dari tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 9 Mei 2009.

“Sementara itu, dalam masa beberapa hari selepas pilihan raya umum 2013, Najib menghantar saya kembali ke penjara selama 2 tahun lagi di Penjara Kajang, yang mana saya tidak menyesal, dan seorang timbalan menteri tertentu dilantik pelan tindakan untuk orang India @ gimik pilihan raya 2013.

“Saya percaya saya dihukum terutamanya kerana saya menolak jemputan terbuka untuk bertemu dengannya sebelum pilihan raya,” kata Uthayakumar.

Beliau berkata beliau pernah meletakkan syarat kepada perdana menteri untuk sekurang-kurangnya melaksanakan 5 tuntutan Hindraf.

“Najib, atas sebab yang jelas, memilih untuk tidak respon,” katanya, dan menambah beliau percaya ia kerana tuntutan itu tidak mengikut pemerintahan Umno ke atas Malaysia “sebagai negara Melayu dan Islam”.

Beliau berkata tuntutan pertama adalah 450,000 orang India kelahiran Malaysia tanpa kewarganegaraan diberi taraf warganegara.

“Mengapa tidak sedangkan Zakir Naik boleh diraikan di rumah Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri) Zahid Hamidi di Country Heights dan diberi status penduduk tetap dalam masa beberapa bulan?”

Tuntutan kedua adalah semua 523 sekolah Tamil diberi geran tanah dan dibiaya kerajaan sepenuhnya.

Ketiga semua 18,000 kuil dan perkuburan Hindu diberi geran tanah, dan keempat 100,000 geran tanah seperti skim tanah Felda diberi kepada orang India miskin.

Beliau juga mahu 100,000 lesen perniagaan dengan pinjaman seperti pinjaman perniagaan Mara.

Uthayakumar berkata langkah itu perlu sebagai permulaan untuk membetulkan “60 tahun ketidakadilan”.

“Lapan tahun kemudian ‘menjelang’ pilihan raya umum ke-14, Najib mengumumkan satu lagi pelan tindakan ‘kosong’ untuk masyarakat India yang nampak elok hanya atas kertas.”

Beliau berkata apabila tempoh rancangan 10 tahun sudah tamat dan tidak dilaksanakan atau kurang berkesan, Umno akan berkata “dasar pelan tindakan bagus tetapi pelaksanaannya tidak bagus.”

Beliau mempersoalkan keberkesanan Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam sebagai pengerusi jawatankuasa eksekutif pelan tindakan kerana tidak pernah ada pegawai kanan kerajaan dipecat kerana enggan melaksanakan dasar Najib untuk orang India sebelum ini.

“Apa peluang presiden MIC?”

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-