Tuesday, May 29, 2018

Jual semua GLC perkaya golongan elit, kata profesor UM

Robin Augustin 
May 29, 2018

Terence Gomez beri amaran langkah itu akan menumpukan kekayaan di tangan segelintir orang.
Terence Gomez berkata hanya sekumpulan kecil orang di sektor swasta yang memiliki dana untuk membeli GLC. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seorang ahli akademi meminta kerajaan untuk tidak mengikut seruan penswastaan semua syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Terence Gomez, seorang profesor ekonomi politik di Universiti Malaya berkata, langkah menyerahkan syarikat-syarikat penting seperti bank, utiliti dan perladangan kepada sektor swasta bukan langkah yang bijak.

Beliau mengulas komen pengulas politik, M Bakri Musa, yang baru-baru ini mencadangkan kerajaan meleraikan “kekusutan GLC di Malaysia” dengan melepaskan semua entiti itu.

Gomez berkata hanya sekumpulan kecil orang di sektor swasta yang memiliki dana untuk membeli GLC.

“Kalau kita swastakan semua GLC, kita hanya menumpukan kekayaan di tangan tangan elit perniagaan dan ini akan menyumbang kepada kekayaan yang tidak sama rata,” katanya. “Kemiskinan bukanlah sangat masalah besar di Malaysia tetapi ketaksamaan kekayaan dan pendapatan yang semakin membesar.”

Gomez menjelaskan GLC mempunyai pelbagai bentuk seperti syarikat tersenarai, syarikat pemegangan, badan berkanun dan institusi pembangunan.

Sebagai contoh, beliau menamakan Maybank, Sime Darby, Khazanah Nasional, Permodalan Nasional, Perkeso, Felda, Felcra dan Mara.

“Kamu tidak boleh serah semua kepada sektor swasta,” katanya. “GLC seperti Felda, Mara, PNB, dan Felcra ditubuhkan untuk mengagihkan semula kekayaan dan mereka terus memainkan peranan besar dan penting dari segi pembangunan saksama.

“Apa yang kita perlukan ialah rancangan yang difikirkan secara teliti dan mendalam untuk mereformasikan GLC dan menentukan apakah peranan mereka dalam ekonomi.”

Gomez terkejut kerajaan baru belum menubuhkan jawatankuasa untuk mengkaji “perkara mendesak” itu.

Beliau berkata perdana menteri sendiri berkata GLC sudah menjadi raksasa yang perlu direformasikan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-