Friday, July 20, 2018

Penoreh 'gantung' pisau

ZUMURNI HAMZAH
20 JULAI 2018

Kebun getah terbiar apabila penoreh terpaksa mencari pekerjaan lain akibat harga getah rendah.

MACHANG - Harga getah yang rendah memaksa ramai penoreh di sini 'menggantung' pisau toreh buat seketika dan melakukan pelbagai pekerjaan lain termasuk menjadi buruh binaan demi kelangsungan hidup keluarga.

Harga getah sekitar RM2 sekilogram dikatakan tidak berbaloi dengan usaha mereka mengerah keringat sedangkan banyak mulut yang perlu disuap setiap hari.

Pengusaha kebun getah, Ismail Yusof, 73, berkata, kebun getahnya di Kampung Tualang Kelikir di sini, terbiar sejak setahun lalu apabila tiada penoreh yang berminat untuk mengambil upah menoreh.

Katanya, dia menghadapi kesukaran mendapatkan penoreh yang sanggup mengambil upah menoreh akibat penurunan harga getah.

"Pak cik dah tak mampu menoreh lagi. Dulu ada orang yang ambil upah menoreh tapi bila harga getah merosot, kebun ini terbiar.

"Orang kampung pilih untuk buat kerja lain berbanding menoreh kerana hasilnya dianggap tidak berbaloi terutamanya bagi mereka yang mempunyai banyak tanggungan. Pak cik tak boleh nak buat apa, kebun ini terbiar begitu sahaja," katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Peraih getah, Mohd Radhi Mustapha, 57, berkata, kejatuhan harga getah memberi kesan besar kepada penoreh sekali gus memaksa mereka memilih pekerjaan lain seterusnya menyebabkan pengeluaran komoditi itu terus merudum.

Katanya, dia sendiri terpaksa mengusahakan pekerjaan lain apabila pengeluaran getah semakin berkurangan.

"Dulu dalam seminggu saya dapat kumpulkan antara tiga hingga empat tan getah beku. Tapi sejak harga merosot, hasil semakin berkurangan malah nak dapat satu tan seminggu pun susah.

"Orang dah tak mahu menoreh lagi, penatnya tak berbaloi dengan hasil yang diperolehi sedangkan kos sara hidup tinggi. Penoreh terpaksa cari duit dengan melakukan kerja lain dan jika ini berterusan, kami terpaksa gulung tikar," katanya yang membeli getah beku di sekitar Kampung Pek di sini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-