Monday, July 16, 2018

Wajar tangguh sidang Parlimen - Azalina

Luqman Arif Abdul Karim
cnews@nstp.com.my

SUASANA di dalam Dewan Rakyat ketika Majlis Angkat Sumpah dan Persidangan Parlimen Ke-14. FOTO Asyraf Hamzah

SIDANG Parlimen wajar ditangguhkan selama 14 hari bagi memastikan prosedur pelantikan Speakar Dewan Rakyat dilaksana berteraskan Peraturan Mesyuarat.

Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang), ketika menyuarakan desakan itu menyifatkan prosedur pelantikan jawatan berkenaan umpama ‘akad dan nikah.’

Katanya, ia harus berteraskan prosedur timbal balik, iaitu proses penawaran dan penerimaan calon Speaker Dewan Rakyat yang dilaksanakan dalam tempoh 14 hari sebelum Parlimen bersidang.

"Kita tidak mahu ada tanggapan bahawa bekas hakim (Datuk Mohamad Ariff Md Yusoff) gagal baca peraturan, malah persoalan di sini kenapa masukkan nama ‘last minute’ (saat akhir).

"Kalau dulu mereka (pembangkang kini kerajaan) bersemangat nak tegakkan kebenaran dan kepentingan mengikut peraturan, mengapa sekarang bertindak sebaliknya?

"Oleh yang demikian, adalah lebih baik Parlimen ditangguhkan selama 14 hari bagi memberi laluan prosedur pelantikan Speaker Dewan Rakyat dilaksana secara sah," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Terdahulu, suasana Dewan Rakyat bertukar kecoh apabila Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) bangkit mengemukakan Peraturan Mesyuarat 4(1) bagi mempersoalkan prosedur pelantikan Speaker Dewan Rakyat.

Angkara tidak diendahkan Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah, beberapa ahli Parlimen pembangkang lain turut bangkit menyuarakan tentangan berhubung perkara itu, sambil memekik: “€˜Malaysia baharu, tapi hari pertama sudah menipu.”

Mengulas lanjut, Azalina yang juga Ketua Whip Barisan Nasional (BN) berkata, pembangkang akan mengadakan pertemuan dengan Mohamad Ariff dan Roosme dalam tempoh tempoh terdekat bagi merungkai polemik hari pertama Dewan Rakyat itu.

Sementara itu, Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) berkata, tujuh bukti merangkumi penerbitan artikel di media massa membuktikan prosedur pelantikan Speaker Dewan Rakyat bercanggah dengan Peraturan Mesyuarat.

Beliau berkata, kerajaan gagal mematuhi peruntukan mandatori yang menggariskan bahawa pencalonan nama jawatan berkenaan perlu dibuat sebelum atau pada 2 Julai, iaitu 14 hari sebelum Parlimen bersidang.

"Ketetapan pertama mengenai pelantikan Speaker Dewan Rakyat hanya timbul pada 6 Julai lalu menerusi artikel diterbitkan Malaysiakini yang mengatakan Tan Sri Rais Yatim sedia menerima jawatan itu, namun belum menerima sebarang surat.

"Pada 8 Julai, menerusi portal sama, Ketua Sekretariat Pakatan Harapan (PH), Datuk Saifuddin Abdullah dilaporkan berkata senarai calon Speaker Dewan Rakyat sudah disenarai pendek dan akan diputuskan dalam tempoh terdekat.

"Pada 10 Julai, Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) berkata PH bersetuju menamakan satu calon untuk jawatan Speaker Dewan Rakyat dan Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengumumkannya tidak lama lagi.

"Bukti sama berbentuk percanggahan garis masa prosedur pelantikan Speaker Dewan Rakyat turut direkodkan pada 10, 11 dan 15 Julai, sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai kesahihannya," katanya.

Berita berkaitan:

Mohamad Ariff Speaker Dewan Rakyat ke-9

Dewan Rakyat kecoh!

Dewan Rakyat mula bersidang hari ini


Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Julai 2018 @ 11:53 AM

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-