Thursday, August 2, 2018

‘Bantulah kami penoreh getah’

MOHAMAD NORZAHARUDDIN KASIMON
2 OGOS 2018

Norman menunjukkan penghasilan getah beku yang semakin sedikit.

SEGAMAT - Rata-rata penoreh getah di sini yang ditemui mahu kerajaan mengambil langkah mewujudkan satu skim bantuan yang mampu mengeluarkan mereka daripada keadaan yang semakin terhimpit ekoran kejatuhan teruk harga komoditi getah ketika ini.

Norman Haron, 41, berkata, pendapatannya sebagai penoreh merosot sehingga 50 peratus iaitu sekitar RM500 sebulan disebabkan kejatuhan harga getah yang berada di bawah paras RM2 selain penghasilan yang semakin berkurangan akibat pelbagai faktor termasuk cuaca.

“Walaupun terdapat bantuan kejatuhan harga getah serta bantuan musim tengkujuh sebelum ini, ia tak banyak membantu kerana hanya pemilik kebun saja yang layak memohon bantuan tersebut bukannya penoreh yang mengambil upah mengerjakan kebun.

“Dengan pengeluaran getah yang semakin merosot disebabkan penyakit daun luruh dan cuaca serta harga pasaran yang rendah, kami sebenarnya berada di bawah paras kemiskinan,” katanya.

Menurutnya, dia yang mengambil upah mengerjakan kebun penduduk kampung seluas 1.5 hektar selepas kebun getahnya ditanam semula kini hanya mampu meraih pendapatan di bawah RM500 sebulan dan pendapatan tersebut tidak mencukupi untuk menyara keluarganya.

Bagi M Azman Miskam, 55, kehidupan penoreh getah ketika ini sememangnya memerlukan perhatian kerajaan.

“Kami sedar keluhan kami hanya mengundang pandangan serong golongan tertentu yang tak pernah rasa apa yang kami alami dan yang paling menyedihkan kami dituduh pemalas.

“Namun apakan daya, inilah hakikat yang terpaksa kami lalui dan ada kalanya ada di antara kami menoreh sehingga tiga kebun sehari semata-mata mahu menambah pendapatan,” katanya.

Katanya, dia yang mengambil upah menoreh kebun penduduk kampung bersama isterinya, Zaharah Abdullah, 52, juga terpaksa mencari kerja sampingan lain memandangkan terpaksa menyara dua anak mereka yang kini berada di universiti.

Bagi Khamis Sar, 62, pula, dia mengakui hasil pendapatan mengambil upah menoreh sudah tidak mampu menyara keluarga.

“Sekarang harga getah RM1.80 sekilogram dan memang tak cukup untuk menampung hidup dan sebab itu saya sendiri terpaksa melakukan pelbagai kerja sampingan bagi menambah pendapatan.

“Kalau nelayan diberikan elaun sara hidup dan pelbagai bantuan peralatan, bantuan serupa seharusnya diberikan kepada kami kerana kehidupan kami makin terhimpit,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-