Gabungan Pembebasan Akademik Institusi Pengajian Tinggi (GPA-IPT) menyifatkan tempoh lima tahun yang diperlukan kerajaan untuk menghapuskan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) sebagai tidak munasabah.
Melalui kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, gabungan berkenaan menggesa agar pemansuhan akta itu dipercepatkan.
"Lima tahun adalah satu tempoh yang lama dan kami melihat ini sebagai alasan untuk Pakatan Harapan mengelak daripada memenuhi janji mereka.
"Tempoh yang panjang ini akan menyebabkan mahasiswa terus dikongkong oleh pentadbiran universiti dan kerajaan," kata kenyataan media GPA-IPT.
Kenyataan itu merujuk laporan Malaysiakini semalam yang memetik Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching sebagai berkata pentadbiran Pakatan Harapan (HARAPAN) menetapkan tempoh lima tahun untuk memansuhkan AUKU.
Teo berkata tempoh berkenaan diperlukan bagi kerajaan bagi mengkaji dan melakukan perundingan bersama semua pihak berkepentingan untuk menggantikan akta itu.
Mengulas lanjut, GPA-IPT mendakwa semenjak kemenangan HARAPAN pelbagai tuntutan telah dilakukan mahasiswa namun tiada respons sehingga ke hari ini.
Tiga gerakan yang telah menghantar memorandum kepada kerajaan sebelum ini adalah GPA-IPT, Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) dan juga Mahasiswa Universiti Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).
Dalam kenyataan itu juga, GPA-IPT menyatakan dua tuntutan termasuklah agar kerajaan memberi ruang kepada wakil mahasiswa menyertai jawatankuasa yang ditubuhkan bagai mengkaji pemansuhan AUKU.
Selain itu, GPA-IPT juga menuntut penjelasan Kementerian Pendidikan alasan perlunya akta baru menggantikan AUKU.
"Kerana sebelum AUKU tiada sebarang undang-undang mengikat pergerakan pelajar melainkan Akta Univerisiti Malaya 1961 yang hanya memperuntukkan tentang penubuhan Universiti dan bukannya tentang pengawalan tingkah laku mahasiswa.
"Kuasa penuh perlu diberikan kepada Senat Universiti dan Kerajaan Mahasiswa untuk menggubal peraturan mereka sendiri tanpa ada campur tangan mana mana pihak luar," katanya.
GPA-IPT juga menggesa agar perjumpaan antara Kementerian Pendidikan bersama-sama dengan mahasiswa dilakukan secepatnya sebelum bukanya semester yang baru pada bulan sembilan akan datang.
Kementerian Pendidikan sebelum ini mengumumkan penubuhan sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada 12 anggota pelbagai latar belakang untuk mengkaji AUKU dan berunding dengan pihak berkepentingan.
Teo dalam kenyataannya di Dewan rakyat semalam turut menambah bahawa bagi langkah jangka pendek kementerian akan memansuhkan peruntukan yang menghalang pelajar daripada berpolitik dalam kampus.
"Kita tiada halangan untuk BN dan Pakatan Harapan masuk universiti, bukan untuk isu politik tetapi kongsi pandangan ," katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.