Diterbitkan 30 Jan 2019, 10:02 malam

Kerajaan menimbang untuk memberi pajakan panjang - sehingga 99 tahun - untuk menangani isu tanah rizab Melayu dalam pembangunan semula Kampung Baru, kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad.
"Kita sedang fikirkan beberapa mekanisme untuk uruskan soal status tanah rizab Melayu di Kampung Baru.
"Seperti yang telah di sebut Kabinet, antaranya untuk memberi pajakan panjang. Maknanya orang yang bangunkan (tanah itu) boleh dapat pajakan (misalnya) 60 tahun atau 99 tahun.
"Akhirnya tanah itu kembali kepada pemilik yang sama. Hak milik tidak terjejas," katanya dalam perjumpaan dengan media hari ini.
Walaupun tinjauan menunjukkan 88 peratus penduduk setuju kawasan itu dibangunkan semula, Khalid berkata antara masalah yang dihadapi adalah pemilikan tanah, antaranya "geran untuk satu lot rumah memiliki 12 nama".
Beliau berkata kementeriannya berazam untuk merangka penyelesaian tentang masalah itu menjelang akhir tahun ini bagi menjaga status tanah rizab Melayu di situ di tengah-tengah rancangan pembangunan semula.
"Kita tak mahu (penduduk) terpinggir kerana ini asalnya penempatan Melayu, kedudukan begiu strategik dan kawasan sekelilingnya sedang dibangunkan.
"Kita boleh bangunkan (Kampung Baru) dan semua pewaris akan dapat manfaat," katanya lagi.
'Memang Kg Kerinchi'
Sementara itu, Khalid berkata nama Kampung Kerinchi tidak pernah ditukar secara rasmi kepada 'Bangsar South'.
Katanya, Bangsar South hanya merujuk kepada projek pembangunan di Kampung Kerinchi, justeru tidak timbul isu ia dikembalikan kepada nama asalnya.
Kampung Kerinchi dikatakan dinamakan sebagai Bangsar South pada 2012 apabila berlakunya gentrifikasi (pembangunan semula yang membawa masuk penduduk luar - lazimnya berkedudukan ekonomi lebih baik daripada penduduk sedia ada) di situ.
Awal bulan ini, Anggota Parlimen Lembah Pantai berkata telah memenuhi salah satu janji kempen PRU ke-14 apabila mengembalikan nama Kampung Kerinchi.
Khalid bagaimanapun berkata, pihak berkuasa akan menaikkan lebih banyak poster dan papan tanda agar lebih ramai yang tahu Kampung Kerinchi adalah nama asal kawasan itu.
[Baca berita asal]
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.