Sunday, January 13, 2019

Mohon TOL 30 tahun di Cameron Highlands




MyMetro
Wartawan NSTP
Ahli Parlimen Bayan Baru merangkap Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin mengadakan sidang media sempena Pilihan Raya Kecil Parlimen P.078 Cameron Highlands di Tanah Rata, Cameron Highlands. NSTP/AIZUDDIN SAAD

TANAH RATA 13 JANUARI 2019. KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) mahu kerajaan Pahang memberi lanjutan masa sehingga 30 tahun kepada penerima lesen pendudukan sementara (TOL) untuk menjalankan aktiviti pertanian mereka di kawasan ini.

Timbalan Menterinya, Sim Tze Tzin, berkata langkah sedemikian perlu bagi membolehkan usaha kerajaan membangunkan aktiviti pertanian khususnya di Cameron Highlands, dapat dilaksana dengan jayanya.

Beliau berkata, ketika ini ramai petani yang menggunakan TOL untuk menjalankan aktiviti pertanian, berdepan kesukaran mengembangkang pertaniannya, sekali gus menjejaskan peluang pertumbuhan ekonomi di kawasan ini.

“Di Cameron Highlands ada dalam 80 peratus petani menghadapi masalah ini. Benda (masalah) ini sudah lama, sudah 60 tahun tapi masih tidak diselesaikan.

“Kita (MOA) mempunyai wawasan dan halatuju jelas untuk Cameron Highlands, sebab itu kita mahu kerajaan negeri mempunyai azam dan tekad baru untuk memberi satu halatuju baru (dalam mencari penyelesaian terhadpa masalah ini,” katanya pada sidang media di Cameron Highlands, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri sewajarnya mengambil perhatian berhubung permasalahan ini memandangkan hal ehwal tanah terletak di bawah tanggungjawab mereka.

“Kita sudah bawa isu ini lama tetapi tidak ada maklum balas daripada kerajaan negeri. Jika masalah pengurusan dan pentadbiran TOL tidak diselesai, petani juga tidak dapat merancang untuk membangunkan aktiviti pertanian untuk tempoh yang panjang,” katanya.

Beliau berkata, kelewatan urusan memperbaharui TOL contohnya, menyebabkan petani sukar untuk membuat pinjaman bank, memohon untuk mengambil pekerja asing, apatah lagi terbabit dalam program inovasi baharu berkapasiti tinggi bertujuan meningkatkan produktiviti hasil pertanian mereka.

“Kalau tempoh (TOL) pendek, mereka juga tidak akan bawa teknologi baharu, tarik pelabur tempatan. Sebab itu pembangunan pertanian di Cameron Highlands, kedudukannya masih kekal sama sejak berpuluh tahun dan tidak boleh maju,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini petani pertama kali memohon TOL, diberi tempoh selama tiga tahun, kemudian mereka perlu memperbaharui lesen itu setiap tahun.

“Sekarang ini masalahnya, contoh bulan Januari dia mahu perbaharui, tidak ada jaminan ia diluluskan atau tidak. Ada kes sampai lima tahun tak boleh buat (perbaharui TOL). Jadi bagaimana dengan pertanian mereka.

“Ada kes yang tidak dapat diperbaharui, tiba-tiba dia (petani) dapat surat kena bayar cukai tanah. Jadi petani di sini susah untuk merancang. Mereka juga tidak boleh dapat pinjaman kewangan,” katanya.

Beliau berkata, satu jawatankuasa membabitkan pelbagai pihak termasuk MOA, kerajaan negeri, agensi berkaitan seperti MARDI serta badan bukan kerajaan (NGO) sudah ditubuhkan kementerian Ogos lalu, bagi menyelesaikan permasalahan ini.

Menyentuh berhubung tanah haram,Tze Tzin berkata, ia sama sekali tidak berkaitan dengan pekebun yang menguruskan pertanian menerusi TOL dan kerajaan sama sekali tidak kompromi terhadap pihak yang sengaja membuka tanah pertanian secara haram.

“Tanah haram kita sudah ada penguatkuasaan. (Kita akan pastikan) tidak ada lagi pembukaan yang baru. Kita tidak setuju tentang penerokan haram tetapi kita bercakap tanah yang telah diusahakan secara sah oleh petani,” katanya.

Semalam, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sehingga kini 24,007.4 hektar atau 3.2 peratus keluasan Cameron Highlands diberikan kepada pekebun melalui TOL untuk diusahakan.

Kerajaan negeri juga katanya, sentiasa membantu pekebun di kawasan ini dan bersedia menghulurkan bantuan sewajarnya jika mereka mematuhi peraturan ditetapkan.

Lagi berita berkaitan PRK Cameron Highlands


Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 January 2019 @ 12:25 PM

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-