Sunday, August 11, 2019

GPS lancar petisyen desak kerajaan haramkan Dong Zong

11/08/2019

Kumpulan pendesak Cina cuba main sentimen agama, fitnah tulisan jawi dan khat sebagai usaha Islamisasi masyarakat bukan Islam


BANGI, 10 Zulhijjah 1440H, Ahad – Gerakan Pengundi Sedar (GPS) melancarkan satu petisyen bagi menggesa kerajaan mengharamkan kumpulan pendesak Cina, Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).

GPS dalam petisyen berkenaan berkata, pertubuhan itu telah banyak melakukan tindakan ekstrem dalam memaksa kehendak mereka kepada rakyat Malaysia.

“Baru-baru ini, kerajaan mahu memperkenalkan tulisan jawi dan khat di sekolah vernakular kerajaan (SJKC dan SJKT) untuk pelajar tahun 4.

“Dong Zong merupakan antara paling awal bermati-matian menentangnya dengan menekan kerajaan dengan pelbagai tuntutan. Mereka juga mengumpulkan NGO-NGO Cina dan india dan menghasut mereka menentang usaha ini.

“Akhirnya kerajaan bertolak ansur dengan melonggarkan syarat-syarat implementasinya sehingga pembelajaran ini menjadi pilihan (optional) dan setakat tiga muka surat dalam buku teks,” kata GPS.

Bukan itu sahaja, GPS berkata, kumpulan pendesak itu bahkan tidak berpuas hati dengan tolak ansur kerajaan dan cuba bermain dengan sentimen agama pula, apabila memfitnah tulisan jawi dan khat sebagai satu usaha Islamisasi masyarakat bukan Islam.

“Kini, mereka mahu gerakkan satu petisyen membantah tulisan jawi. Ini menimbulkan fitnah yang besar kepada negara terutamanya umat Islam di Malaysia.

“Selain itu, mereka menuntut agar sijil peperiksaan persendirian (UEC) diterima sebagai tiket untuk masuk ke universiti awam (IPTA) walaupun kerajaan sudah memberikan ruang untuk mereka masuk ke universiti swasta dan universiti kerajaan negeri.

“Maka, kita tuntut agar pertubuhan Dong Zong ini diharamkan oleh kerajaan dan kami yakin bahawa ada banyak lagi pertubuhan cina yang jauh lebih sederhana, patriotik dan moderat,” katanya.

Petisyen yang dilancarkan sejam lalu itu, sudah memperoleh lebih 2,000 tandatangan. Orang ramai boleh menandatangani petisyen itu dengan melayari platform change.org.

Semalam, Dong Zong dilaporkan merancang merangka satu petisyen bantahan terhadap pengajaran khat dan jawi di sekolah vernakular.

Pengerusi Dong Zong, Tan Tai Kim berkata, tulisan Jawi dikaitkan dengan Islam, antaranya untuk menyebarkan Al-Quran, berdasarkan kajian sesetengah cendekiawan dan karya sastera.

Petisyen berkenaan juga akan menggesa Kementerian Pendidikan mengekalkan bahagian pengenalan tulisan Jawi, Cina dan Tamil seperti di dalam buku teks Bahasa Melayu Tahun 5 sebelum ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-