Thursday, December 12, 2019

Ramai pelancong China, India berani tinggal secara haram

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar
12/12/2019
Undang-undang ketat, cuma lemah dari aspek penguatkuasaan


BANGI, 15 Rabiulakhir 1441H, Khamis – Jumlah pelancong China dan India yang masih berada dalam negara ini berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 2 adalah satu perkara yang amat membimbangkan.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Teo Kok Seong berkata, angka yang didedahkan sehingga mencecah belasan ribu menunjukkan ramai pelancong tinggal di negara ini secara tidak sah.

“Sudah tentu memberi kesan tidak baik kepada sesebuah negara yang menghadapi masalah macam ini. Saya kira perkara ini seboleh-bolehnya dibanteras oleh negara lain di dunia bahkan negara yang cakna mengenai imigresen,” katanya ketika dihubungi Ismaweb hari ini.

Kok Seong mengakui undang-undang di negara ini ketat, bagaimanapun kata beliau, kita lemah dari segi penguatkuasaan sehingga pelancong-pelancong itu berani tinggal di Malaysia secara tidak sah.

“Justeru, kerajaan serta pihak Imigresen patut ambil tindakan tegas terhadap mereka ini kerana menggugat kedaulatan negara,” kata beliau.

Sebelum ini, Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 2 mendapati tiada rekod tarikh keluar lebih 95 peratus pelancong China dan India yang melawat ke negara ini antara 2016 sehingga tahun lalu.

Menurut laporan itu sepanjang 2016 hingga 2018 data ketibaan 79,799 warga China melalui Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) didapati 76,258 (95.6 peratus) tidak mempunyai rekod tarikh keluar.

Bagi warga India pula, kemasukan yang dicatatkan ialah 41,243 antara 2017 dan 2018 tetapi 39,806 atau 96.5 peratus tidak mempunyai catatan tarikh keluar.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, berlaku sedikit salah faham berkaitan Laporan Ketua Audit Negara 2018, mengenai jumlah pelancong China yang masih berada di negara ini.

“Berdasarkan semakan imigresen, jumlah sebenar pelancong China yang tidak keluar dari negara ini hanyalah 23 peratus (18,341) dan bukannya 95.6 peratus (76,258) seperti yang dilaporkan oleh Jabatan Audit Negara.

“Perbezaan terbabit berlaku disebabkan terdapat pelancong China yang masuk ke negara ini melalui Sistem Maklumat Pendaftaran Pelancong Elektronik (eNTRI). Tetapi apabila mereka keluar, ia tak ada rekod menerusi eNTRI, sebaliknya hanya rekod keluar melalui sistem biasa,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-