Suraya Roslan
suraya@hmetro.com.my
KRISIS kepemimpinan berterusan antara Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan ‘kem’ mantan perdana menteri antara cabaran terbesar yang perlu ditangani segera.
Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian, berkata pihak yang menolak Muhyiddin akan mengambil beberapa pendekatan termasuk tidak menerima titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan membawanya ke parlimen.
“Mereka mungkin minta sidang tergempar diadakan dengan memohon kepada Speaker Dewan Rakyat tetapi atas budi bicara speaker terima atau tidak.
“Bagaimanapun, sidang Parlimen boleh ditangguhkan atas permintaan Perdana Menteri tetapi usul undi tak percaya bukan mudah dilakukan dan memerlukan banyak proses,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurutnya, cabaran lain dihadapi Muhyiddin adalah untuk memulihkan semula perpaduan dan jurang yang melebar disebabkan fahaman politik kian ‘membarah’ dalam kalangan masyarakat dan penyokong.

MUHYIDDIN. FOTO BERNAMA
“Dalam berdepan krisis politik, Perdana Menteri harus memulihkan kos sara hidup dan membangunkan ekonomi negara selain memastikan nilai kesejahteraan boleh diperbaiki.“Seterusnya, cabaran untuk meningkatkan integriti politik kerana ramai beranggapan usaha kerajaan lepas akan terkubur dengan terbinanya kerajaan baharu disebabkan pihak lagi satu tidak dapat terima keputusan (lantikan PM) ini,” katanya.
Ditanya bagaimana cara Muhyiddin untuk melakukan penyatuan politik, Sivamurugan percaya Perdana Menteri kelapan itu seorang yang berjiwa besar dan mempunyai pengalaman bekerja dengan pihak sana.
“Beliau pernah berkerja dengan pihak terbabit mungkin ada jalan penyelesaian bersama untuk memudahkan mengurus tadbir negara,” katanya.
Ditanya sesetengah pihak tidak dapat pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri hingga mewujudkan tanda pagar #notmyPM, Dr Sivamurugan berkata, mungkin ramai beranggapan mandat diberikan rakyat pada 9 Mei diambil dengan cara lain.
“Terima saja kearifan YDPA dalam mencari jalan penyelesaian terbaik,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2020 @ 8:00 AM
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.