Amir Abd Hamid
amir@hmetro.com.my

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
FOTO Eizairi Shamsudin
KEPIMPINAN kerajaan baharu dipayungi Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin diharap dapat mengembalikan semula institusi agama Islam yang dirombak dan ekonomi Malaysia yang terjejas di bawah pentadbiran lama.
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketika ini semua pihak harus bersatu padu dan mengenepikan perbezaan pendapat untuk membela nasib rakyat yang terjejas.
“Alhamdulillah, episod dan babak ketegangan politik dengan awan hitam sudah berarak dengan memberikan cahaya baru sudah berakhir.
“Tetapi ini adalah satu permulaan babak politik baharu di Malaysia, kita jangan lupa golongan miskin bandar dan luar bandar, kita harus melihat semula institusi agama Islam yang dirombak harus dikembalikan ke landasannya dan begitu juga syarikat di bawah Tabung Haji, GLC, Khazanah dan sebagainya hendaklah didapatkan semula kerana semua institusi ini adalah teras agensi Bumiputera,” katanya ketika ditemui di Istana Negara, Kuala Lumpur, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, ini bukan soal isu perkauman tetapi ia sudah termaktub dalam dasar negara.
“Alhamdulillah, kita perbetulkan semua keadaan itu, kita tidak akan berjanji bulan dan bintang tetapi kepimpinan baru di bawah Muhyiddin Yassin diharap lebih terbuka dan berpijak di bumi nyata.
“Kami dalam UMNO, Barisan Nasional dan Muafakat Nasional menyokong beliau dan akan bantu apa saja perancangan terbaik demi negara,” katanya.
Ditanya mengenai perincian barisan kabinet baharu yang akan dibentuk, Ahmad Zahid menegaskan ia akan dibincang secara tertutup.
“Saya belum dapat indikasi tetapi segalanya atas budi bicara Perdana Menteri,” katanya.
Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mac 2020 @ 1:49 PM
Politik baru apa?, Politik lama yg hapak bertahun2
ReplyDelete