Wednesday, August 19, 2020

Bicara kes rasuah bekas pengerusi TH bermula, 3 saksi dipanggil

Ainaa Aiman
-August 19, 2020 4:20 PM

Azeez Abdul Rahim tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR: Tiga individu dipanggil pada hari pertama perbicaraan kes rasuah membabitkan bekas pengerusi Tabung Haji (TH) Azeez Abdul Rahim dan abangnya, Latif Abdul Rahim hari ini.

Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi yang mengendalikan perbicaraan memanggil Adawiah Sahmad @ Abdul Samad, Muhamad Akamaludin Abdullah dan Yap Boon Seong.

Azeez berdepan 3 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta membabitkan projek menaik taraf jalan bernilai RM842.3 juta di Kedah dan Perak serta 9 pertuduhan pengubahan wang haram bernilai hampir RM140 juta. Abangnya didakwa bersubahat dengannya.

Pertuduhan rasuah dibuat mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, manakala tuduhan pengubahan wang haram bawah Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Azeez didakwa menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta daripada Mohammad Redzuan Mohanan Abdullah, pengarah Syarikat Menuju Asas Sdn Bhd, di Lembah Klang sekitar Disember 2010 dan April 2018.

Latif didakwa bersubahat atas 2 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM4 juta, sebahagian daripada RM5.2 juta yang didakwa diterima Azeez.

Azeez, Latif dan sepupu merka ditahan pada September 2018 untuk membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram.

Akmaludin, dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia, mengemukakan dokumen pendaftaran syarikat 4 buah syarikat: Menuju Asas Sdn Bhd, Azman Azeez Properties (M) Sdn Bhd, Azeera Management Consultants (M) Sdn Bhd dan Azeera Properties (M) Sdn Bhd.

Beberapa syarikat itu menyenaraikan anak Azeez sebagai ahli lembaga pengarah mereka. Mereka ialah Mohd Khairul Anwar, Mohd Khairul Azman, Khaleeda Azwa dan Khaleeda Azeera.

Akmaludin turut mendedahkan Azeez dan isterinya memegang jutaan saham dalam syarikat berkenaan.

Sementara itu, Adawiah, yang merupakan ketua jabatan perundangan di Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) berkata, Azeera Management Consultants telah memohon menjadi sekretariat perunding untuk Yapeim pada November 2003.

Yapeim bersetuju, dan syarikat itu didaftarkan di bawah salah 1 pejabat Yapeim di Jalan Kampung Attap, Kuala Lumpur.

Adawiah juga memberi keterangan, Azeera Management Consultants membeli pejabat itu daripada agensi kerajaan dengan harga RM1.35 juta pada 2006.

Yap, seperti Akmaludin dan Adawiah, juga mengemukakan dokumen kepada mahkamah berhubung perbicaraan itu.

Perbicaraan seterusnya ditetapkan pada 7 September ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-