Dalam satu hantaran Facebook lewat malam tadi, bekas menteri kewangan dan ketua menteri Pulau Pinang itu mengimbas kembali bagaiamana dia tidur di atas lantai papan dan "tidak bernasib baik seperti menteri kewangan sebelumnya" iaitu Najib Razak, semasa ditahan SPRM berhubung kes 1MDB dan SRC International.
"Saya terpaksa tukar pakaian kepada baju oren lokap SPRM, mengharungi tidur malam beralaskan lantai papan di bilik lokap yang sempit (tanpa bantal mahupun tilam), dan tidak berbasib baik seperti menteri kewangan sebelum saya yang tidak perlu bermalam walau satu malam pun di lokap.
"Sama ada ini satu bentuk pilih kasih atau tidak, hanya SPRM yang boleh menjawabnya," katanya.
Dia juga berkata merasa kecewa apabila mendapat tahu isterinya, Betty Chew, turut ditahan SPRM di Pulau Pinang semalam, dan bimbang dia juga akan berdepan perkara yang sama.
"(Isteri ditahan) Walaupun dia tidak ada kaitan dengan projek terowong mahupun apa-apa hal kerajaan.
"Sedikit lega apabila dia telah dilepaskan daripada tahanan. Bimbang juga jika dia ditahan bermalam di lokap SPRM seperti saya," katanya lagi.
Lim, yang menjadi ketua menteri Pulau Pinang daripada 2008 hingga 2018, menegaskan dakwaannya bahawa dia menjadi mangsa tindakan politik.
"Saya tidak hairan PN (Perikatan Nasional) cuba menekan saya dengan tuduhan tidak berasas. Ini kerana kerajaan yang tidak dipilih rakyat ini perlu mengukuhkan majoriti tipis mereka di Parlimen.
"Tetapi untuk mereka menjadikan isteri saya sebagai sasaran, yang walaupun seorang peguam namun tidak pernah hidup dengan mewah, membuktikan bahawa mereka sanggup menyeksa jiwa tanpa perasaan belas kasihan," katanya.
Semalam, Lim mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan meminta suapan membabitkan kes projek terowong dasar laut di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.
Isterinya juga dijangka didakwa mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLA) di Mahkamah Butterworth pada Selasa ini.
Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki ketika dihubungi Malaysiakini mempertahankan tindakan SPRM menahan semalaman Lim dan memberitahu dia bukan ahli politik pertama yang dikenakan tindakan sedemikian.
Dia menyenaraikan Najib sebagai antara ahli politik yang turut ditahan semalaman oleh SPRM sebelum dibawa ke mahkamah, walaupun tidak jelas sama ada bekas perdana menteri itu turut bermalam di dalam lokap.
Kata Azam lagi, keputusan untuk menahan suspek bergantung pada budi bicara pegawai penyiasat, dan diperuntukkan di bawah undang-undang.
Sebelum ini, Najib berkata dia tidak bermalam di lokap SPRM sebelum dibawa ke mahkamah untuk didakwa atas pertuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa melibatkan 1MDB.
"Saya tak masuk dalam lokap, saya dalam bangunan SPRM," katanya kepada pemberita selepas membayar ikat jamin pada 21 September 2018.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.